Sunday, February 23, 2014

Remaja Maut Ketika Cuba Halau 'Jin'


Sekurang-kurangnya dua remaja meninggal dunia selepas mereka dibawa ke pusat perubatan alternatif bagi merawat ‘gangguan makhluk halus,’ lapor media.

Asap kemenyan
Gambar hiasan.

Dalam kejadian pertama, seorang remaja perempuan, Ghada, dipercayai dirasuk jin dan dibawa ke pusat perubatan itu untuk bertemu pemiliknya, dikenali sebagai Sheikh Abu Harith.

Saksi berkata, Abu Harith meletakkan alat perakam di kepala Ghada sambil membaca ayat al-Quran, manakala ibu dan abangnya berdiri di sebelah.

“Kemudian sheikh itu menekan satu daripada jari kaki kiri Ghada menyuruh jin yang merasuk tubuh remaja terbabit supaya keluar.

“Ghada masih sedarkan diri ketika sesi rawatan selesai dan meninggalkan klinik dalam keadaan baik,” katanya.

Bagaimanapun, kata saksi, Ghada akhirnya meninggal dunia apabila pulang ke rumah.

Ibu Ghada berkata, dia membawa anak perempuannya itu ke klinik perubatan berkenaan pada 16 Februari lalu.

Dalam kejadian kedua, Israa Zourob, 17, turut menemui ajal ketika dirawat seorang lagi pengamal perubatan seumpamanya, Abu Khalil al-Zamili di depan ibu bapa dan abangnya pada 2 Februari lalu.

Pengamal perubatan itu menyuruh Israa meminum satu liter air yang dicampur dengan setengah kilogram garam kononnya untuk membolehkan jin yang merasuk remaja itu keluar.

(Baca: Misteri Pusara Di Lebuh Raya Utara Selatan)

Ibu Israa, Um Youssef Zourob berkata, dia tidak tahu sama ada anaknya mati akibat tercekik ketika meminum air garam itu atau mengalami keracunan.

“Saya nampak muka anak saya bertukar biru ketika dipaksa agar meminum air garam itu.

“Selepas seketika Israa longlai dan tidak lagi bergerak,” katanya.

Ekoran kejadian itu, polis Gaza menahan seorang daripada pengamal perubatan alternatif terbabit.

Pihak berkuasa berkata, lelaki yang ditahan itu memiliki ijazah sarjana dalam Sains Syariah.

Jurucakap polis Gaza, Abu Shaar berkata, lelaki yang disyaki bertanggungjawab terhadap kematian pesakitnya itu masih disoal siasat.

“Pendakwa raya sudah mengemukakan bukti untuk mendakwanya dan suspek kini menunggu arahan daripada mahkamah,” katanya.

Menurut kajian dilakukan Pusat Hak Asasi Kemanusiaan Palestin, Israa bukan mangsa pertama yang mati akibat rawatan sedemikian.

Pada 1998, Sabira al-Athamna menemui ajal selepas dibelasah pengamal perubatan yang merawatnya atas alasan untuk memaksa makhluk halus yang ada di dalam tubuhnya supaya keluar. -Agensi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon