Thursday, February 06, 2014

"Kami Pekerja PKNS Bukan Binatang!"


Bekas pengurus kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB), Dr Aliff Aiman menyifatkan tindakan menamatkan kontrak mereka sebagai tidak adil dan menganiaya golongan profesional yang diambil bagi menaikkan taraf professionalisme Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pekerja PKNS

”Siapa bertanggungjawab kepada kami? Adakah ini cara kamu melayan kami?

”Kita semua bukan binatang! kita manusia lagipun kami semua orang Islam. Itu syarikat-syarikat kafir pun tidak akan buat begini,” kata Dr Aliff dengan wajah yang amat kecewa.

Beliau berkata demikian di hadapan media selepas mengadakan pertemuan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia MTUC dan Kementerian Sumber Manusia bagi mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap PKNS.

Semalam PHSB dilapor memecat 30 kakitangannya tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam berkuat kuasa serta-merta.

Kesemua kakitangan PHSB – anak syarikat PKNS – menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa. Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Sementara itu, ketika dihubungi, bekas Ketua bahagian sumber manusia kumpulan PKNS, Rina Sarif yang turut ditamatkan kontrak berkata, 19 pekerja PHSB telah menerima notis semalam manakala baki 19 yang lain bakal menerima nasib sama tidak lama lagi.

Rina berkata kesemua mereka masih mempunyai kontrak antara enam bulan hingga dua tahun yang ditamatkan begitu sahaja.

“Saya jadi HR (Sumber Manusia) selama 18 tahun. Mana ada kontrak yang ditamatkan macam ni. Ini bukan notis pemecatan (termination) 24 jam. Ini serta-merta.

“Kontrak sepatutnya jaga hidup (livelihood) pekerja. Mana ada kontrak begini,” katanya kepada Malaysiakini.

(Baca: Salahkan UMNO, Anwar Dicabar Pinda Enakmen Agama Selangor)

Khalid ketika ditemui semalam menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan tersebut dan berkata keputusan itu dilakukan sendiri pihak pengurusan PHSB.

Sementara itu, Timbalan Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid menganggap tindakan menamatkan kontrak pekerja terbabit sebagai tindakan zalim ibarat negara ‘kunta-kinte’.

Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah melanggar Akta Pekerja kerana tidak memberi justifikasi penamatan kontrak justeru melanggar kontrak yang ditandatangani sendiri oleh syarikat dan pekerja.

“Saya difahamkan ada perjanjian kontrak bersamaan seksyen 10 (Akta Pekerja) yang wajib diikuti tak kira siapa pun.

“Pihak PKNS telah melanggari Seksyen 12 iaitu pelanggaran kontrak,” katanya yang juga MP Kuala Langat.

“Ini bukan negara ‘kunta-kinte’. Perlu ada undang-undang sebelum berbuat sesuatu,” kata beliau lagi di hadapan pejabat Kementerian Sumer Manusia hari ini.

Sementara itu PKNS dalam kenyataan hari ini menafikan memecat sebaliknya hanya ‘memulangkan’ semula sejumlah 20 anggota PKNS Holdings kembali kepada anak syarikat perbadanan itu.

Ia hanya satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelakkan pertindihan tugas selaras dengan polisi tadbir urus PKNS yang mengutamakan perkhidmatan cekap. –Malaysiakini.com

Pemecatan 20 Kakitangan PKNS Merupakan ‘Value For Money’

Pekerja PKNS [2]

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu kenyataan menyifatkan pemecatan seramai 20 kakitangan anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holding Sdn. Bhd. (PHSB) merupakan langkah perkhidmatan cekap ‘value for money’.

Menurut kenyataan itu, keputusan menamatkan kontrak dibuat dalam satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelak pertindihan tugas.

“Perkhidmatan 20 anggota berkenaan di PKNS telah dibuat berperingkat secara kontrak seawal 2010 bertujuan mengisi jawatan dan memperkukuhkan beberapa bahagian baharu di PKNS antaranya pemasaran, strategi dan media, pelaburan serta pengurusan organisasi dan integriti.

“Walaubagaimanapun setelah mengkaji keputusan tersebut, PKNS berpandangan tiada keperluan untuk meneruskan khidmat 20 pegawai tersebut memandangkan kepakaran dan pengalaman yang sama sudahpun sedia ada di kalangan pegawai tetap PKNS,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, sehubungan itu, PHSB telah membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka menurut terma yang terdapat dalam kontrak masing-masing.

PHSB pada Selasa memecat 20 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa Isnin.

Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan pagi tadi selepas hadir bekerja seperti biasa.

Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria. -mStar

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon