Thursday, January 02, 2014

HOT! Pak Mie Penjaga 800 Ekor Anjing Liar Diarah Kosongkan Tanah!


Pasangan berbangsa Melayu yang mempunyai kasih sayang yang tinggi kepada anjing dan kucing terbiar kini sedang berusaha mencari sebidang tanah yang baru untuk menempatkan rumah perlindungan haiwan itu yang menempatkan kira-kira 800 ekor haiwan berkenaan.

Pak Mie Penjaga Anjing

Muhammad Azmi Ismail atau dikenali sebagai Pak Mie dan isterinya Halijah Idris atau Mak Intan terpaksa berbuat demikian kerana mereka diperintahkan keluar dari tanah sedia ada oleh Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS).

Tempoh tiga bulan yang diberikan MBAS secara rasminya tamat semalam dan beliau kini terpaksa membersihkan tempat perlindungan yang dibina di tebing sungai itu dan mengosongkannya.

Semalam MBAS telah memberikan amaran terakhir untuknya meninggalkan Tanjung Bendahara.

“Mengapa pihak majlis (MBAS) menghantar pegawai pada Oktober lalu agar saya menaik taraf pusat perlindungan ini dengan bumbung, lantai simen, sistem saliran dan tangki septik apabila ia akan menghalau saya dan semua haiwan keluar selepas tiga bulan? Siapa yang akan melakukan semua ini jika ia hanya untuk tempoh tiga bulan?

“Memang benar bahawa majlis (MBAS) itu tidak pernah memberikan saya apa-apa dalam bentuk hitam putih (bertulis) mengenai perkara ini, tetapi saya percaya bahawa ia akan membolehkan saya diberi lebih banyak masa daripada tempoh pendek hanya tiga bulan,” katanya memetik laporan The Star hari ini.

(Baca: Kontroversi Pak Mie Penjaga Anjing Melayu)

Tanah di Tanjung Bendahara tempat Pak Mie dan isterinya memelihara anjing dan kucing terbiar terletak di atas tanah kerajaan milik Indah Water Konsortium (IWK).

Pak Mie berkata beliau sudah mengetahui satu hari nanti beliau dan isterinya perlu berpindah dan mencari lokasi baru bagi menempatkan anjing dan kucing jagaannya itu.

“Isteri saya dan saya tahu kami terpaksa keluar juga satu hari ini. Tetapi untuk mendapat dan membeli tanah untuk tujuan itu bukan senang. Tanah yang sesuai mesti jauh dari kawasan kediaman orang lain.

“Jika saya boleh memperoleh dana, saya ingin mendapatkan 50 ekar tanah dan membina rumah perlindungan di tengah-tengah kawasan itu. Saya akan membiarkan kawasan sekeliling kosong bagi mengelakkan sebarang aduan daripada pemilik tanah berhampiran,” kata Pak Mie yang juga seorang bekas kontraktor.

Beliau sebelum ini telah mengalami pengalaman yang pahit sewaktu beroperasi di tanah miliknya sendiri di Kuala Nerang, yang lokasinya kira-kira 37km dari bandar.

Pak Mie membeli tanah berkenaan dengan menggunakan wang sumbangan untuk menubuhkan tempat perlindungan haiwan yang baru dan merancang berpindah ke sana tahun lepas.

Bagaimanapun, perancangan tergendala apabila penduduk kampung berdekatan membantah.

Beliau berkata, tiada harapan untuk mengubah fikiran penduduk berkenaan dan berpindah ke sana sekarang.

“Penduduk kampung di situ adalah orang Melayu. Saya juga seorang Melayu dan saya faham perasaan mereka. Saya tahu tidak guna cuba mengubah fikiran mereka. Selain itu, saya juga tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan keselamatan anjing-anjing saya.

“Kuala Nerang tidak akan menjadi tempat kami. Saya perlu mencari pembeli bagi tanah itu. Sekurang-kurangnya, saya boleh mendapatkan wang yang benar-benar diperlukan sekarang, ” katanya.

Menurut beliau, apabila pihak majlis hadir dan mahu beliau melakukan kerja-kerja naik taraf itu, Pak Mie beranggapan beliau akan diberi lesen untuk anjing-anjing jalanan yang diselamatkan mereka suami isteri.

“Apabila pihak majlis memberitahu saya untuk melakukan kenaikan taraf ini, saya fikir patut melakukannya dengan serta-merta. Saya juga mahu lesen anjing supaya boleh menangkis aduan.

“Majlis berbuat demikian kerana aduan, yang saya tahu ia bukanlah daripada penduduk di kawasan perumahan berhampiran. Saya berharap orang-orang yang mempunyai masalah dengan saya dan rumah perlindungan akan datang dan bercakap dengan saya sebelum membuat sebarang aduan, ” kata beliau sambil menambah dia bukan seorang lelaki yang tidak bertolak ansur.

(Baca: Top 10 Negara Yang Memiliki Hutang Paling Tinggi Di Dunia )

Walaupun Pak Mie sedang berhadapan pengusiran, beliau dan isteri bertekad melindungi haiwan-haiwan yang ada.

“Kami tidak boleh berhenti mengambil haiwan baru jika seseorang datang kepada kami membawa kotak berisi samada anak kucing atau anjing.

“Jika kami menolak, kami tahu haiwan berkenaan akan dibuang begitu sahaja dan dibiarkan hidup mencari makanan sendiri. Ia sesuatu yang kejam dan kami tidak boleh membiarkannya.

“Menjaga beratus-ratus anjing dan kucing adalah sukar tetapi ia memberi kepuasan tersendiri . Berurusan dengan manusia adalah lebih sukar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Star, Gooi Hsiao Leung berkata beliau terkejut apabila mendengar tentang amaran terakhir pihak majlis untuk Pak Mie, kerana dia juga telah diberi gambaran bahawa rumah perlindungan itu telah diberikan lebih banyak masa.

Katanya, beliau akan menyiasat dengan majlis untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan membantu Pak Mie.

Sumber: The Star

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon