Tuesday, December 17, 2013

Kenaikan Tol, BN Mungkiri Janji Manifesto!


Dalam Manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri sebelum PRU13 lepas, disebutkan dibawah sub-tajuk Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia Dan Transformasi Luar Bandar, ikrar BN untuk mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat-peringkat.

Kenaikan Tol, BN Mungkiri Janji Manifesto!

Perkara ini sedang menjadi topik perbualan hangat di laman media sosial kerana ia dikaitkan sebagai kegagalan BN untuk menunaikan janji apabila pengumuman kenaikan tol dibuat oleh Menteri yang berkaitan.

Walaupun ada pandangan mengatakan frasa dalam ikrar tersebut merujuk kepada caj tol bagi perjalanan antara bandar bandar (merujuk konsesi tol dibawah seliaan PLUS Berhad); bukan tol dalam bandar seperti yang diumumkan Menteri berkenaan kelmarin, tapi penulis lihat ada keperluan untuk Perdana Menteri menjelaskan maksud yang sebenarnya kepada rakyat untuk mengelakkan kekeliruan berpanjangan.

Rakyat secara keseluruhannya faham justifikasi kerajaan kenapa tol perlu dinaikkan. Semua orang tahu wang untuk membina semua lebuhraya di negara ini (kecuali Lebuhraya Rakyat PAS di Kelantan) bukan dibina dengan menggunakan wang rakyat, sebaliknya pelbagai sumber dari syarikat pemegang konsesi sendiri.

Sebab itu syarikat konsesi dibenar mengutip tol dari pengguna lebuhraya kendalian mereka untuk menampung bayaran pinjaman pembinaan projek tersebut, kos-kos terlibat dan membuat sedikit keuntungan.

Tapi kalau maksud dalam manifesto itu turut merujuk kepada pengurangan tol dalam bandar, maka seharusnya BN berpegang kepada janji tersebut.

Kalau sebaliknya Perdana Menteri kata kenyataan dalam Manifesto itu tidak merujuk kepada konsesi tol dalam bandar, tidaklah, yang penting ada pencerahan.

Penulis faham, yang buat kecoh ni bukan mengundi BN pun dalam PRU13 yang lepas, tapi kalau tidak dibendung salah faham itu, kita bimbang yang setia mengundi BN pun akan beralih arah untuk mengundi pembangkang kerana beranggapan BN tidak mempunyai intergriti apabila tidak menunaikan janji dalam Manifesto sendiri.

Apatah lagi manifesto ini bukan sekadar janji biasa, sebaliknya janji yang diperteguhkan menjadi ikrar bagi menyakinkan rakyat untuk mengundi BN dalam PRU13 yang lepas.

Soal intergriti ini penting untuk dipertahankan kerana sepanjang yang penulis tahu asas kita selama ini kenapa janji bulan bintang pembangkang pimpinan Anwar Ibrahim patut ditolak adalah kerana ia tidak mempunyai intergriti, setakat nak dapat undi, laksananya belum tentu.

Rafizi: Pemegang konsesi tol sudah mewah

Rafizi Ramli

Pemegang konsesi tol di negara ini telah pun menikmati keuntungan 'luar biasa' sehingga mencecah 61 peratus keuntungan bersih sebelum cukai dan kadar tol tersebut dipercayai antara yang tertinggi di dunia.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa pemegang konsesi yang dikuasai kerajaan itu seolah-olah 'lupa' terhadap pertambahan kenderaan di lebuh raya setiap tahun yang menyumbangkan keuntungan berlipat ganda itu.

"Dalam perjanjian konsesi telah menetapkan sasaran kenderaan yang perlu menggunakan lebuh raya, apabila jumlah kenderaan meningkat, keuntungan juga meningkat.

"Apabila kerajaan mahu menyemak semula kadar tol itu, ia menghina rakyat di kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan keuntungan yang sudah terlalu tinggi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut cadangan dan alasan kenaikan tol seperti mana yang dipertahankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar semalam sambil mengatakan pengguna jalan raya boleh membuat pilihan jika kenaikan tol terlalu tinggi, Rafizi menyifatkan ia sebagai kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Menurutnya, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya meningkat saban tahun.

"Pada 2010, Lebuhraya Plus menyaksikan peningkatan kepada 8 peratus melibatkan 417 juta kenderaan setahun manakala Lebuhraya Maju Expressway pada tahun sama mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 8.1 peratus membabitkan 78,982 kenderaan sehari.

"Dalam keadaan kos operasi yang rendah (kurang 10 peratus setahun), keuntungan yang dinikmati merupakan antara tertinggi berbanding industri lain," dakwanya.

Beliau menegaskan kenaikan itu juga 'tidak masuk akal' kerana majoriti daripada pemegang konsesi dikuasai kerajaan malah syarikat terbabit mendapat bantuan kewangan dan subsidi daripada kerajaan untuk melaksana dan mengendalikan lebuh raya bertol.

"Saya membidas sekerasnya keangkuhan Wahid yang memberi kata dua kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan itu.

"Beliau (menteri) seolah-olah tidak duduk di negara apabila tidak memahami kepayahan rakyat yang terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang," katanya lagi.

Sumber: Mykmu/SinarHarian

2 comments

  1. Tak habis2, ada saja yang naik....

    ReplyDelete
  2. adoi..naik lg..yg duk dkt kg kurung la ckit tempiasnya..yg duk kt bndar la menderita huhu

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon