Sunday, November 17, 2013

Perundangan Lapuk AS Yang Menyusahkan Diri Sendiri


Mungkin ramai rakyat Malaysia mengambil mudah hasrat Kuala Lumpur untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk penggal 2015-2019 kerana ada yang membuat andaian organisasi itu tidak mempunyai pengaruh dalam mewarnai geopolitik antarabangsa.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian ketika menghadiri Persidangan Agung UNESCO di Paris beberapa hari lepas.

Tambah beliau, Jemaah Menteri pada 25 Oktober telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan untuk Malaysia sekali lagi bertanding kerusi Eksekutif kerana semenjak menganggotai pertubuhan itu pada 1958, Malaysia sudah lima kali menduduki kerusi berkenaan.

Sebagai salah satu organisasi di bawah naungan PBB, pertubuhan tersebut mempunyai peranan tersendiri bukan sahaja dalam bidang pendidikan atau kebudayaan tetapi juga mampu secara tersirat memperjuangkan isu berkaitan demokrasi dan hak asasi.

‘‘Pemilihan ini akan menjadi platform terbaik untuk kita berkongsi pendapat dan amalan terbaik dengan negara-negara anggota lain di samping memastikan kepentingan dan pendirian Malaysia dapat didengari di peringkat antarabangsa," tegas Muhyiddin sebagai dalil asas keputusan Jemaah Menteri.

Menarik sekali kerana sehari sebelum itu Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova mengumumkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah hilang hak mengundi dalam organisasi tersebut kerana gagal membayar yuran yang telah tertunggak selama dua tahun.


Ketetapan itu dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan UNESCO yang menetapkan mana-mana negara ahli yang gagal melunaskan tunggakan yuran selama dua tahun akan dilucutkan hak mengundi.

Jumlah tunggakan yang ditanggung AS adalah AS$80 juta setahun dan perlu dinyatakan keengganan Washington melunaskan hutang itu adalah kerana terikat dengan peruntukan undang-undang AS yang melarang menghulurkan bantuan kewangan terhadap mana-mana organisasi PBB yang mempunyai Palestin sebagai ahli penuh.

Pada Persidangan Agung 2011 sebanyak 107 negara ahli UNESCO menerima permohonan Palestin sebagai ahli penuh sementara 14 menentang dan 52 lagi mengambil pendirian berkecuali. AS dan Israel adalah antara negara yang menentang kemasukan Palestin dalam organisasi itu.

Hasrat Washington sebenarnya mahu mengekalkan keahlian dengan hak mengundi kerana landasan UNESCO adalah antara wadah terpenting yang digunakan oleh AS untuk memperjuangkan hak demokrasi dan hak asasi secara tersirat.

Ini adalah kerana negara sasaran akan merasa agak sangsi dengan niat sebenar bantuan yang dihulurkan jika ia dilakukan oleh AS secara langsung.

UNESCO Teach Holocaust

Tetapi jika bantuan dihulurkan melalui UNESCO maka persepsi serong sedemikian rupa lazimnya tidak akan wujud. Pentingnya UNESCO kepada AS dan begitu juga sebaliknya adalah kerana setiap tahun dana kewangan yang dihulurkan AS merangkumi hampir 22 peratus dari keseluruhan perbelanjaan organisasi tersebut.

Sebagai penyumbang terbesar, AS mempunyai pengaruh yang agak besar dalam melaksanakan program pilihan mereka. Tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini apabila dana organisasi berkurangan, banyak program terpaksa dibatalkan dan majoritinya adalah program dimana AS mempunyai kepentingan secara langsung.

Kesan paling ketara adalah pembatalan program pendidikan berasaskan peristiwa Holocaust. Maksud tersurat program ini adalah untuk memberi kemudahan pendidikan kepada negara yang memerlukan tetapi yang paling penting adalah maksud tersirat yang cuba mempengaruhi persepsi masyarakat antarabangsa terhadap peristiwa Holocaust.

Presiden AS Barack Obama sedaya upaya cuba mengubah perundangan yang ditanda tangani pada era 1990an Presiden George H.W. Bush dan juga Presiden Bill Clinton kerana ditafsirkan sebagai ketinggalan zaman dan bertentangan dengan dasar rasmi Washington yang mahu melihat dua negara merdeka iaitu Palestin dan Israel ujud secara aman.

Tetapi masalahnya adalah Kongres AS menilai kehilangan hak mengundi dalam UNESCO sebagai perkara remeh kerana setiap kali Obama mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap perundangan itu, maka setiap kali cadangan itu langsung tidak dibangkitkan di Kongres.

Selagi wujudnya perundangan yang menghalang penyertaan AS dalam organisasi yang turut membabitkan Palestin sebenarnya lebih banyak merugikan AS dan Israel berbanding dengan Palestin itu sendiri.

Holocaust is a Lie

Dalam UNESCO umpamanya wujud sentimen anti Israel yang antara lain mengecam tindak tanduk rejim tersebut yang telah memusnahkan tempat bersejarah di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.

Paling menarik juga apakah tindakan yang bakal diambil AS dan Israel jika diandaikan Palestin membuat permohonan menjadi ahli dalam Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang pada ketika ini antara agensi PBB terpenting selepas Majlis Keselamatan jika isu pembangunan nuklear Iran di ambil kira.

Lebih menarik lagi jika Palestin diterima sebagai ahli Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) yang dianggap mempunyai tanggung jawab kritikal mengekang penularan senjata kimia seperti mana IAEA dengan tugas mereka mengekang penularan senjata nuklear.

Apakah Kongres AS akan membiarkan Washington hilang pengaruh dalam IAEA atau OPCW seperti mana menimpa mereka dalam UNESCO adalah begitu menarik untuk diperhatikan.

Tetapi jika Dewan Perwakilan Kongres yang dikuasai oleh Parti Republikan sanggup membiarkan Kerajaan Pusat lumpuh selama 17 hari, maka bukan perkara mustahil Kongres membiarkan AS meninggalkan IAEA atau OPCW.

Penulis ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber: Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon