Monday, November 04, 2013

Keseronokan Berkongsi Gambar Dan Video Ngeri


Hari ini, satu hari mood saya habis sebab tengok satu video. Ganas betul video itu, orang perempuan kena bunuh dekat luar negara. Hendak tengok tak? Ada berani? Nanti saya forward," kata seorang kawan kepada saya.

Gambar Ngeri

Saya jawab tidak payahlah. Simpan saja, nanti mood saya pun jadi kacau juga. Melihat video seekor kucing dipukul dan ditendang terajang dalam Facebook (FB) pun saya tidak lalu makan selepas itu, asyik teringat-ingat dan seperti turut terasa kesakitan yang ditanggung oleh haiwan berkenaan, inikan pula manusia yang dibunuh.

Dan kawan saya ini, pemain gitar kumpulan rock yang sudah menjadi legenda di negara ini tidak habis-habis mengutuk video yang disaksikan itu.

Amat kejam, katanya, kenapalah manusia boleh bertindak ganas dan sekejam itu, sedangkan haiwan pun tidak melakukan sebegitu. Dia menekankan lagi, mood dia betul-betul ‘hancur’ pada hari itu.

Saya katakan, lain kali jangan tengok video-video seperti itu. Abaikan saja, jika ditonton juga, memang amat menganggu fikiran.

Sebenarnya, macam-macam video keganasan manusia terhadap manusia atau manusia terhadap haiwan dari dalam dan luar negara dipaparkan di alam maya dan dikongsi oleh pengguna-pengguna laman sosial terutamanya dalam FB mereka.

Adakalanya, kita yang pada mulanya tidak mahu menontonnya, akhirnya terjebak juga melihatnya kerana perasaan ingin tahu, sudahnya kita yang terpaksa menanggung rasa marah, sedih dan amat terganggu dengan video berkenaan.

Entah apa motif video dan gambar seperti ini hendak dipertontonkan kepada orang ramai oleh pemilik FB berkenaan pun saya tidak faham.

Mungkin lebih bertujuan menarik perhatian supaya ramai orang memberikan komen dalam FBnya, bukan sangat mahu menunjukkan rasa simpati. Keseronokan seperti inilah sepatutnya dihentikan.

Dan baru-baru ini apabila gambar dan rakaman CCTV seorang wanita ditembak mati oleh pengawal keselamatan dalam rompakan di sebuah bank di Subang Jaya disebarkan begitu meluas di laman sosial dan blog, ramai yang marah-marah di atas penyebaran tersebutt, tetapi yang hairannya yang marah-marah itu pun turut berkongsi sama gambar dan rakaman CCTV berkenaan dalam FB mereka.

Cuba letakkan diri kita sebagai ahli keluarga mangsa terdekat. Suami, atau isteri, atau anak-anak mangsa. Tentunya kita tidak tergamak melihat orang yang kita sayang diperlakukan sebegitu dalam keadaan mengerikan dan tidak sempurna.

Janganlah menambah penderitaan mereka. Sekiranya kita tidak dapat membantu meredakan kesedihan mereka, cukuplah kita sekadar menyedekahkan al-Fatihah kepada mangsa, tidak perlulah disebarkan video dan gambar-gambar sebegitu. Hormatilah keluarga mangsa.

Sebelum ini pun begitu banyak gambar mangsa pembunuhan, mati lemas atau kemalangan jalan raya disebarkan di laman sosial dan dikongsi oleh ribuan pengguna. ‘

Keseronokan’ berkongsi gambar dan video seperti ini sebenarnya boleh saja dikaitkan dengan memiliki moral yang rendah.

Sebabnya, dalam dia sibuk-sibuk berkongsi dan menurunkan komen dalam laman sosial mengenai kejadian itu, keluarga mangsa sedang menanggung derita dan trauma yang amat mendalam.

Seharusnya, kita perlu ada rasa tanggungjawab dalam berkongsi gambar, video dan maklumat terutamanya yang membabitkan keganasan.

Mungkin video yang anda kongsikan bersama itu boleh mendorong orang lain yang `berjiwa kacau’ untuk menirunya dan melakukan kepada orang lain.

Lalu, kita jugalah nanti yang mengutuk kejadian-kejadian jenayah yang bermacam-macam caranya ini, sedangkan tanpa disedari kita jugalah yang membuka laluan untuk mereka melakukannya.

Dalam pada itu, ramai juga yang suka berkongsi maklumat mengenai perkara-perkara yang tidak sahih, perkara yang masih dalam siasatan polis ataupun maklumat yang tidak dikemaskini.

Contohnya, kehilangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun baru-baru ini yang akhirnya mayatnya ditemui dalam keadaan menyayat hati dimuatkan dalam sebuah beg, tetapi gambar mangsa itu masih dikongsi oleh orang ramai di dalam laman sosial sebagai remaja yang hilang sehingga berhari-hari lamanya selepas penemuan mayat remaja berkenaan.

Mungkin terlalu sibuk mengemaskini status dan bahan-bahan yang dikongsi di dalam FB, mereka lupa hendak baca surat khabar, hendak baca berita dalam talian atau hendak tengok berita di televisyen.

Siaran televisyen di negara ini mempunyai banyak saluran yang menyiarkan berita-berita semasa, tetapi mereka ini tetap berpandukan dan merujuk kepada maklumat dalam FB sajalah.

Itu yang membuatkan pengetahuan mereka mengenai isu-isu semasa menjadi begitu terhad dan begitu mudah dieksplotasikan.

Memandangkan penggunaan media sosial ini merupakan satu amalan yang tidak dapat dielakkan pada zaman ini, sewajarnya kita menggunakannya dengan berhemah dan apa yang dikongsi boleh beri manfaat kepada orang lain, bukan menyusahkan.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon