Friday, September 20, 2013

Top 10 Bintang Sherlock Holmes Yang Paling Popular


Baru-baru ini pelakon veteran yang dihormati, Sir Ian McKellen diumumkan bakal melakonkan watak detektif terkemuka dunia, Sherlock Holmes untuk filem baru arahan Bill Condon, "A Slight Trick Of The Mind".

Sherlock Holmes

Berbeza dengan kebanyakan filem Sherlock Holmes yang lain, McKellen akan memainkan watak Holmes di usia tua berdasarkan adaptasi novel karya Mitch Cullins. Dalam novel tersebut, Holmes yang sudah lama bersara masih dihantui sebuah kes yang berlaku 50 tahun lalu dan memutuskan untuk menyelesaikan kes tersebut sebelum kematiannya.

Namun Sir Ian McKellen bukan pelakon pertama, kedua, ketiga mahupun yang kesepuluh membawakan watak detektif yang genius tapi aneh tersebut. Sejak novel karya asal Arthur Conan Doyle itu dikeluarkan pada 1887, hampir lebih 80 pelakon telah melakonkan karakter tersebut baik dalam filem, di pentas, di televisyen mahupun animasi.

Antara pelakon tersebut termasuk John Barrymore (datuk kepada aktres Drew Barrymore), Leonard Nimoy (lebih dikenali sebagai Spock dalam "Star Trek"), pelawak David Mitchell, bintang James Bond Roger Moore, pelakon veteran Charleton Heston, bintang British James D'Arcy, pelawak Peter Cook, bintang "Sound of Music" Christopher Plummer, Michael Caine ("The Dark Knight"), dan pelakon "My Best Friend's Wedding" Rupert Everett.

Selain mereka, pelakon-pelakon di bawah juga terkenal kerana membawakan watak detektif terkemuka dunia tersebut.

Jeremy Brett. Bagi ramai penonton dan peminat siri novel karya Arthur Conan Doyle, Jeremy Brett adalah Sherlock Holmes yang sebenar. Malah dia sudah melakonkan watak tersebut dalam 42 produksi pentas dari 1988 hingga 1989, selain daripada siri TV di saluran Granada, UK, "The Adventures of Sherlock Holmes" selama satu dekad (1984-1994).

Selain watak Sherlock, Brett juga pernah membintangi beberapa buah filem seperti "My Fair Lady" (1964) di samping Audrey Hepburn dan memainkan watak Nikolai Rostov dalam "War and Peace" (1956).

Matt Frewer. Dengan bentuk wajahnya yang cengkung seakan ilustrasi asal lukisan Sydney Paget yang menghiasi kisah Sherlock Holmes suatu masa lalu, pelakon filem "50/50" yang berasal dari Kanada ini menjadi pilihan produksi saluran Hallmark untuk melakonkan watak detektif tersebut untuk siri filem TV mereka dari tahun 2000 ke 2011, yakni "The Case of the Whitechapel Vampire" (2002), "The Sign of Four" (2001), "The Royal Scandal" (2001), dan "The Hound of the Baskervilles" (2000).

Jonny Lee Miller. Jonny Lee Miller, yang sebelum ini dikenali dengan watak titular siri TV guaman "Eli Stone", diberikan kepercayaan untuk memimpin siri televisyen Holmes versi moden, "Elementary" yang ditayangkan di saluran CBS sejak 2012.

Malangnya, disebabkan ia ditayangkan serentak dengan siri TV British, "Sherlock" lakonan Benedict Cumberbatch yang jauh lebih popular dan setia dengan karya asal (tiada siapa mahu Watson bertukar menjadi Lucy Liu!), "Elementary" tidak mendapat sambutan sehangat yang diharapkan.

John Cleese. Alumnus Monty Phython ini menulis dan membintangi sendiri filem spoof "The Strange Case of the End of Civilization as We Know It" yang ditayangkan pada tahun 1977, bukan sebagai Holmes yang asal, tetapi konon sebagai cucunya, Arthur Sherlock Holmes.

Namun begitu, sebelum filem tersebut, Cleese juga pernah muncul sebagai Holmes dalam filem televisyen tahun 1973, "Elementary, My Dear Watson".

Frank Langella. Selain Jeremy Brett, pelakon berusia 75 tahun ini juga pernah melakonkan watak detektif terkemuka ini di atas pentas, cuma bezanya dia mempersembahkannya (sebuah drama teater berjudul "Sherlock's Last Case") di pentas Broadway pada tahun 1990.

Tapi itu bukan kali pertama bintang "Frost/Nixon" ini membawakan peranan tersebut kerana pada tahun 1981, dia turut melakonkan watak titular itu dalam filem televisyen, "Sherlock Holmes" yang ditayangkan di saluran HBO.

Peter Cushing. Cushing dikenali dengan tiga watak ikonik sepanjang kerjaya seninya – saintis Baron Frankenstein, Dr. Van Helsing, dan Sherlock Holmes. Yang ketiga itu dilakonkan dalam tiga era, bermula dengan filem "The Hound of Baskervilles" yang ditayangkan pada tahun 1959, siri televisyen "Sherlock Holmes" dari tahun 1965 ke 1968, dan juga sebuah filem untuk televisyen, "The Masks of Death" pada tahun 1984.

Peter O'Toole. Berbeza dengan pelakon-pelakon lain, bintang Irish yang meraih populariti melalui filem "Lawrence of Arabia" ini hanya menjadi Holmes dari sudut suara sahaja, apabila dia dipilih untuk membuat lakon suara dalam empat filem animasi Britain tahun 1983, "Sherlock Holmes and the Baskerville Curse", "Sherlock Holmes and a Study in Scarlet", "Sherlock Holmes and the Sign of Four", serta "Sherlock Holmes and the Valley of Fear".

Robert Downey, Jr. Ketika dia diumumkan sebagai Sherlock Holmes dalam adaptasi arahan Guy Ritchie, ramai yang berpendapat pelakon yang berasal dari New York ini tidak akan dapat mempersembahkan watak tersebut seperti mana yang digambarkan dalam novel.

Pendapat itu ada benarnya, tapi dengan hasil yang agak menarik, kerana melalui filem "Sherlock Holmes" (2009) dan "Sherlock Holmes: A Game of Shadows" (2011), Robert Downey Jr. menunjukkan sisi baru berbanding watak serius Holmes yang dilakonkan oleh pelakon lain sebelum ini. Holmes versi Downey Jr. digambarkan sebagai detektif ala ejen 007 yang eksentrik dan degil.

Benedict Cumberbatch. Sherlock Holmes seperti yang dikenali para peminatnya merupakan seorang detektif yang dingin, banyak berfikir, agak menjengkelkan tetapi mampu menarik perhatian. Begitu jugalah cara pelakon British, Benedict Cumberbatch melakonkan watak tersebut dalam siri TV saluran BBC, "Sherlock", sekalipun dia harus melakukannya di era moden.

Malah, menerusi siri tersebut yang ditayangkan sejak 2010, Cumberbatch berjaya meraih populariti meluas sehingga menjadi rebutan ramai produser filem.

Basil Rathbone. Jika Jeremy Brett adalah 'Sherlock Holmes sebenar' bagi peminat karya Arthur Conan Doyle tersebut, Basil Rathbone adalah Raja Holmes yang klasik. Dia yang muncul dalam 14 buah filem Hollywood dan sebuah siri televisyen tentang detektif unik ini menjadi wajah pertama yang akan difikirkan para Sherlockian.

Namun begitu, definisi Rathbone tentang Holmes lebih mesra dan budiman berbanding Sherlock Holmes yang lain, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan lakonan Cumberbatch.

Filem-filem Holmes lakonannya adalah:
  • The Hound of the Baskervilles (1939)
  • The Adventures of Sherlock Holmes (1939)
  • Sherlock Holmes and the Voice of Terror (1942)
  • Sherlock Holmes and the Secret Weapon (1943)
  • Sherlock Holmes in Washington (1943)
  • Sherlock Holmes Faces Death (1943)
  • The Spider Woman (1944)
  • The Scarlet Claw (1944)
  • The Pearl of Death (1944)
  • The House of Fear (1945)
  • The Woman in Green (1945)
  • Pursuit to Algiers (1945)
  • Terror by Night (1946)
  • Dressed to Kill (1946)

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon