Monday, September 23, 2013

Scha Alyahya Jalani Pembedahan Buang Ketumbuhan Dalam Rahim!


Pelakon dan pengacara popular Scha Alyahya dilaporkan baru sahaja selesai menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan dalam rahimnya, awal September lalu.

Scha Alyahya

Menurut Scha, doktor mengesahkan dirinya menghidap Endometriosis iaitu sejenis ketumbuhan dalam rahim.

“Doktor maklumkan ketumbuhan itu belum sampai tahap serius, tetapi jika tidak dibuang, ia boleh membesar dan membahayakan nyawa.

“Atas nasihat doktor, saya setuju dibedah dan tidak mahu berlengah lagi,” katanya memetik laporan Metro Ahad.

Selepas menjalani pembedahan itu, doktor menyarankan pelakon kelahiran Kedah ini untuk berehat selama sebulan namun disebabkan dia tidak betah duduk diam, Scha hanya bercuti selama dua minggu sebelum kembali bertugas seperti biasa.

Selepas diangkat menjadi duta produk elektronik Sen Heng, kini Scha dan suaminya, Awal Ashaari sekali lagi berganding menjadi pengacara, mengendalikan rancangan The Band yang akan disiarkan di Astro Prima tidak lama lagi.

Apa itu Endometriosis?

Endometriosis

Endometriosis berlaku apabila tisu di dalam rahim wujud atau tumbuh di bahagian lain dalam badan seperti di telur (ovari), pundi kencing, usus, rektum dan lain-lain. Endometrium ini juga boleh tumbuh pada dinding/otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar Adenomyosis.

Semasa proses kitaran haid setiap bulan, tisu dalam rahim akan membesar dan menjadi tebal, seterusnya telur akan merembeskan hormon yg akan menghakis tisu tersebut dan ianya akan keluar sebagai darah haid.

Bagi tisu yg wujud di luar rahim (endometriosis), situasi ini tidak berlaku. Kemungkinan tisu ini akan berdarah sedikit tetapi tidak dpt keluar dari bahagian badan dan menyebabkan penggumpalan darah di kawasan itu dan menjadi punca kesakitan yg dialami oleh mereka yang menghidapi penyakit ini.

Risiko mendapat endometriosis bertambah apabila seseorang itu:
  • Datang haid dalam usia yang sangat muda
  • Mempunyai kitaran haid yang panjang melebihi 7 hari
  • Tidak pernah melahirkan anak
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidapi endometriosis

Apakah punca Endometriosis?

Punca sebenar endometriosis masih tidak dapat diketahui dengan tepat. Namun begitu terdapat beberapa kemungkinan yang menyebabkan berlakunya keadaan seperti ini.

Kemungkinan terdapatnya darah kotor yang melimpah dan tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Kejadian ini mungkin disebabkan oleh rahim yang agak jatuh ke belakang (retroverted uterus). Keadaan rahim sebegini sering dikaitkan dengan endometriosis bilamana mereka yang mempunyai rahim yang menghadap ke hadapan (anteverted) jarang mengidap penyakit endometriosis.

Ada juga yang menyatakan bahawa tisu endometrium ini di bawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar. Tetapi hakikat sebenarnya kita tidak tahu bagaimana ianya berlaku.

Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku dikalangan wanita-wanita yang sering tertekan jiwa mereka (stress), yang mudah menggelabah dan di kalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi I.Q.nya.

Juga, ada pendapat yang mengatakan bahawa punca endometriosis berlaku adalah disebabkan daya ketahanan wanita itu telah lemah dan lentur, dimana tisu-tisu yang sepatutnya keluar dari tubuh telah menyerang tubuh itu sendiri.

Hakikat yang terjadi, apabila tisu endometrium ini mula melekat dimana-mana tempat, ia akan mulai tumbuh. Lapisan ini akan menjadi bertambah tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dan bila haid berlaku lapisan ini juga akan turut mengeluarkan darah.

Bila keadaan ini berlaku dalam telur (ovari) lama kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ovarian cysts atau chocolate cysts kerana mengandungi darah kotor yang berbentuk seperti pasta coklat.

Gejala-gejala endometriosis adalah seperti:
  • Sangat sakit di bahagian bawah perut sebelum dan semasa datang haid
  • Haid yang tidak teratur atau darah haid yg banyak
  • Sakit semasa atau selepas hubungan kelamin
  • Sakit di bhg belakang pinggang
  • Sembelit atau cirit birit

Untuk mengenal pasti penyakit ini, doktor akan melakukan scan mll ultrasound di bahagian pelvik. Untuk lebih mendapat kepastian, laparoskopi di bahagian pelvik akan dilakukan.

Rawatan penyakit ini bergantung kepada:
  • Umur pesakit
  • Tahap serius gejala yg anda alami
  • Tahap serius penyakit anda
  • Samada anda mahu mengandung atau tidak (salah satu komplikasi penyakit ini adalah susah untuk mengandung atau kemandulan, jadi jika anda inginkan anak, anda perlu melakukan pembedahan untuk merawat dan membuang penyakit ini).

Rawatan adalah berjumpa doktor setiap 6 atau 12 bulan untuk doktor memastikan penyakit tersebut tidak melarat ke tahap yang serius. 
Sakit yang dialami boleh dikurangkan dengan mengambil ubat tahan sakit manakala untuk memastikan penyakit tersebut tidak melarat, doktor akan menyarankan anda supaya mengambil pil cegah hamil berterusan selama 6-9 bulan. 
Pil ini dapat membantu untuk membantutkan proses pembesaran tisu di luar rahim tersebut. Ia juga dapat mengurangkan kesakitan akibat ketiadaan haid. Salah satu contoh pil yang dimaksudkan ialah progesterone pil dan ia juga boleh didapati dalam bentuk suntikan. 
Kesan sampingan pada ubat ini ialah berat badan bertambah dan juga depression.
Bagi mereka yang tidak mengalami pengurangan sakit setelah mengambil ubat pada tahap penyakit sangat serius dan ingin mendapatkan anak, pembedahan untuk membuang tisu di bahagian luar rahim tersebut adalah pilihan terbaik.

Bagi mereka yang telah berusia, doktor akan menyarankan pesakit melalukan pembedahan untuk membuang sistem peranakan seperti rahim dan ovari (kilang telur).

Kesimpulannya, rawatan dengan ubat tidak boleh mengubati penyakit ini tetapi berfungsi mengawal kesakitan. Hanya dengan pembedahan mampu membuang penyakit ini namun kebarangkalian untuk penyakit ini berulang masih ada.

Doktor selalunya menyarankan agar wanita yang menghidapi penyakit ini agar hamil kerana sepanjang proses penghamilan, haid akan berhenti dan ini boleh mengurangkan kesakitan dan melambatkan proses penyakit ke tahap yang lebih serius.

Apakah komplikasi penyakit ini?

30-40% daripada wanita yang menghidapi penyakit ini mungkin akan mandul, namun setelah pembedahan dilakukan, peluang untuk hamil kembali normal.
  • peratusan mengandung di luar rahim dan keguguran adalah agak tinggi di kalangan wanita yang menghidapi penyakit ini.
  • sekiranya tisu rahim tersebut tumbuh di bahagian usus atau pundi kencing, ianya boleh menyebabkan masalah kesukaran membuang air, tapi ini jarang berlaku.
  • kesakitan yang dialami setiap bulan ketika kedatangan haid juga akan menghadkan aktiviti seharian anda.
  • tisu di bahagian luar rahim yang membengkak boleh menyebabkan pendarahan.
  • tisu di luar rahim tersebut juga boleh berubah menjadi kanser terutama bagi mereka yang telah mencapai tahap menopaus, namun ianya juga jarang berlaku.

Semoga info mengenai penyakit ini dapat menambahkan pengetahuan anda tentang salah satu penyakit yang dihadapi oleh kaum wanita.

-Sentiasapanas.com


Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon