Sunday, September 01, 2013

Perisik Turki Yakin Tentera Syria Dalang Serangan Gas Beracun


Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu semalam menyatakan hasil maklumat risikan negara itu membuktikan pasukan tentera Presiden Bashar Al-Assad bertanggungjawab melancarkan serangan gas saraf di Damsyik pada minggu lalu.

Krisis Syria
Potret Bashar pada dinding bangunan Hospital Tentera Yousef 
di Damsyik semasa lawatan pasukan pakar senjata kimia PBB.

Sebelum ini, Ankara menegaskan bahawa pihaknya bersedia menyertai apa jua bentuk tindakan ke atas Bashar oleh Barat walaupun tanpa mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Turki juga telah meletakkan angkatan bersenjatanya dalam keadaan bersiap sedia bagi mengawal negara itu daripada ancaman Syria.

"Daripada pandangan kami, secara keseluruhan dan berdasarkan siasatan perisikan kami serta penilaian beberapa pakar, tidak syak lagi bahawa rejim Bashar bertanggungjawab melakukan serangan kejam itu," kata Davutoglu.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) akan menyiarkan laporan perisikannya berhubung serangan yang didakwa telah meragut lebih 1,300 nyawa itu hari ini.

Sekutu AS, Perancis pula menegaskan pihaknya sedia turut serta jika AS bertindak menyerang Syria sebagai menghukum rejim Bashar kerana menggunakan senjata kimia walaupun tanpa kelulusan PBB.

Senjata pemusnah besar-besaran itu diharamkan dalam Konvensyen Geneva.

Pendirian Paris itu berbeza dengan London.

Parlimen Britain semalam menolak campur tangan ketenteraan negara itu di Syria. -Agensi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon