Wednesday, September 11, 2013

Dakwaan 4,000 Pejuang Bersenjata MNLF Di Sabah Hanya Satu Propoganda!


Muslimin Sema, pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) sekarang, menyifatkan dakwaan 4,000 pejuang bersenjata Tausug kini berada di Sabah dan Sarawak sebagai "propaganda terang-terangan".

MNLF
Gambar fail MNLF.

Bekas Penolong Datuk Bandar Cotabato City di Filipina selatan itu meragui identiti "jurucakap MNLF" Emmanuel Fontanilla, yang membuat dakwaan itu.

"Saya tak kenal langsung tentang dirinya. Mungkin lelaki bernama Fontanilla ini agen 'dua muka'. Dakwaan beliau itu satu propaganda terang-terangan.

"Saya terkejut dengan dakwaan itu (mengenai kehadiran pejuang bersenjata di Sabah dan Sarawak)," katanya kepada Bernama dalam interbiu menerusi telefon dari Cotabato City Selasa.

Muslimin, yang dipilih sebagai pengerusi pada 2008 oleh jawatankuasa pusat MNLF, juga meremeh dakwaan Fontanilla mengenai "Tentera Bangsa Moro" yang beliau dakwa disertai oleh 4,000 lelaki bersenjata Tausug itu.

Muslimin berkata "Tentera Bangsa Moro" merupakan sayap tentera MNLF pada zaman perjuangannya pada 1970-an.

Sekalipun menjadi pengerusi MNLF, Muslimin mengakui bahawa organisasi yang cukup berkuasa satu masa dulu kini berpecah kepada beberapa kumpulan, setiap satu dipimpin oleh ketua yang berlainan.

Selain kumpulannya, yang terbesar dalam MNLF, ada sebuah lagi kumpulan dipimpin oleh pengasas MNLF, Nur Misuari, manakala Majlis Pemerintah Islam (ICC) memimpin sebuah lagi kumpulan dalam organisasi itu.

Muslimin berkata, Fontanilla hanya bekerja untuk kumpulan Misuari, oleh itu tidak diiktiraf oleh MNLF sebagai jurucakap organisasi itu.

Tentang serangan ke atas Zamboanga oleh beratus-ratus pejuang Misuari semalam, beliau berkata, ini akibat kekecewaannya terhadap apa yang beliau anggap kegagalan Manila melaksanakan perjanjian damai yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 1996.

Misuari, bekas gabenor Wilayah Autonomi Muslim Mindanao, telah menuntut kemerdekaan bagi sebahagian besar selatan Filipina termasuk Sabah dan Sarawak.

Muslimin berkata MNLF tidak menyokong sebarang tindakan keganasan dan telah mengarahkan askarnya tinggal kekal di berek.

"Kami (MNLF) inginkan penyelesaian damai di Fillipina Selatan," dan menyatakan beliau akan mengetuai delegasi MNLF di Jogjakarta Ahad ini untuk mengkaji semula perjanjian 1996.

Askar Filipina kini dikatakan sedang bertempur hebat dengan "400 hingga 700" pejuang yang setia kepada Misuari di Barangay Santa Barbara.

Kumpulan pejuang itu dipimpin oleh orang kepercayaan Misuari, komander Khabier Malik.

"Askar Filipina melancarkan serangan hebat dan bandar Santa Barbara musnah terbakar seluruhnya," kata beliau.

200 penduduk dijadikan perisai manusia


MNLF
Salah seorang militan berjaya ditangkap.

Militan kebangsaan Moro berbalas tembakan dengan tentera Filipina semalam dan menggunakan hampir 200 penduduk kampung sebagai perisai manusia, kata pegawai keselamatan.

Konfrontasi di antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di bandar Zamboanga masuk hari kedua yang sengaja dilancarkan kumpulan terbabit bagi menggagalkan rundingan damai Manila - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Setiausaha Dalam Negara Mar Roxas berkata pasukan keadaan keselamatan kini stabil.

“Pemberontakan sudah dikekang dan tidak akan merebak ke kawasan lain,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut Roxas, kerajaan juga sedang berunding dengan kumpulan pemberontak terbabit. 

Sementara itu, kira-kira 200 orang penduduk setempat dijadikan perisai manusia di enam kampung yang menjadi tempat pemberontak berlindung.

Kata Roxas kerajaan menganggap penduduk kampung itu sebagai “tebusan” tetapi dipercayai dibenarkan keluar dari situ jika mahu. 

Pemberontak MNLF mendarat dengan bot dan memasuki perkampungan nelayan pada kelmarin sebelum melancarkan serangan ke atas Zamboanga menyebabkan panik tercetus di bandar didiami hampir sejuta orang itu. 

Sementara itu, Pemimpin MNLF, Nur Misuari sebelum itu mengisytiharkan bahawa “kemerdekaan” untuk wilayah selatan Filipina dan menyeru pengikutnya menawan bangunan kerajaan. Presiden Benigno Aquino pula enggan menetapkan sebarang tarikh akhir untuk menyelesaikan krisis berkenaan. -AFP

-Bernama/Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon