Tuesday, September 24, 2013

Adam AF Dan Fiza Elite Bakal Bernikah 26 September!


Pelakon Fiza Abd. Halim, 32, bakal bergelar isteri kepada penyanyi Adam AF atau Mohd Aizam Mat Saman, 30, pada 26 September ini.

Adam AF Dan Fiza Elite

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim bakal bernikah buat kali kedua di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam, pada pukul 10 pagi.

Menurut Fiza yang pernah menganggotai kumpulan Elite itu, mereka berdua telah menjalani kursus perkahwinan di Medan MARA, Kuala Lumpur pada 18 dan 19 September lalu.

"Sebenarnya, saya pun tidak percaya akan bernikah dengan Adam kerana semuanya berlaku begitu pantas. Kami hanya bertukar-tukar nombor telefon pada bulan puasa lalu.

"Bertanya khabar macam rakan artis lain dan baru-baru ini sahaja semakin rapat sebab sering menjayakan persembahan bersama. Sebenarnya masa raya hari itu, saya dan anak-anak ada pergi beraya di rumah Adam di Sabah," ceritanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Tambah Fiza, apa yang membuatkan hatinya terbuka untuk menerima Adam adalah kerana penyanyi itu bijak mengambil hati anak-anaknya, Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, yang memanggil penyanyi itu dengan panggilan Abie.

"Saya boleh terima Adam pun sebab anak-anak selesa dengan dia, itu faktor utamanya. Bagi saya, yang sudah pernah melalui kehidupan rumah tangga, harap kali ini akan berkekalan hingga akhir hayat. Mungkin ini takdir saya, sebab soal jodoh itu urusan Allah," katanya yang telah bercerai dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 33, pada 4 November 2010.

Menurutnya, majlis perkahwinan mungkin hanya akan dibuat di sebelah pihak Adam sahaja kerana pihaknya setakat ini tidak bercadang untuk mengadakan majlis berkenaan.

Tidak Peduli Status Janda

Adam mengakui tidak peduli dengan status janda bakal isterinya iaitu penyanyi dan pelakon Fiza Elite.

"Secara jujurnya saya tidak pernah kisah tentang status seseorang wanita itu, memang ramai yang bertanya saya sama ada saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.
"Saya sudah bersedia insyaAllah, harap semua piahk dapat doakan agar saya dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan ikhlas," katanya.

Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang berita pernikahanya yang bakal diadakan pada Khamis ini di Jabatan Agama Islam Selangor pada pukul 10 pagi.

Biarpun baru mengenali wanita tersebut pada pertengahan Julai lalu, Adam berkata, dia mula jatuh cinta dan ingin menjadikan Fiza sebagai isterinya yang sah.

"Kami sebelum ini pernah berjumpa tetapi tiada apa-apa perasaan tapi selepas perubahan dia kearah menjadi insan yang lebih baik saya mula rasa ingin mendekati dirinya.

"Daripada beberapa pertemuan dengan dia, saya semakin suka dan jatuh hati sehingga melamarnya untuk dijadikan isteri yang sah," katanya.

Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana Ahmed Farriq, 3, dan Feeya Adyrra Ahmed Farriq, 2.

Tambah Adam, walaupun pada awalnya ibu agak risau dengan status Fiza yang juga merupakan seorang selebriti, namun tanggapan itu mula berubah selepas kedua-duanya dipertemukan.

"Ibu saya mula-mula risau sebab takut Fiza tidak boleh terima keluarga kami, maklumlah kami bukan golongan kaya dan hanya tinggal di kampung.

"Tapi selepas membawa Fiza bertemu dengan keluarga pada Hari Raya lalu, semua keluarga saya menyukai dia," katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata majlis pernikahannya akan dijalankan dalam keadaan yang sederhana yang hanya dihadiri kedua-dua belah pihak keluarga.

Bagaimanapun, majlis persandingan masih belum ditetapkan.

Sumber: UtusanOnline/mStar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon