Friday, August 16, 2013

Suami Dayus Belasah Isteri Menyerah Diri


Lelaki yang menjadi buruan polis selepas membelasah isteri dalam lif sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Isnin lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan jam 4.45 petang Khamis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 36 tahun itu menyerah diri pada pukul 4.45 petang.

“Saya dimaklumkan oleh IPD Kuantan, lelaki yang dikehendaki polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung rakaman CCTV yang membelasah isterinya telah menyerah diri di sana.

“Kita akan bawa lelaki itu balik ke Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Video Temubual Dengan Wanita Dibelasah Suami Dalam Lif



Tindakan Tatatertib Menunggu Suspek – KSN


Penjawat awam yang dilapor membelasah isterinya dalam lif seperti yang tersebar di laman web sosial akan dikenakan tindakan tatatertib jika terbukti bersalah, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Selepas polis membuat siasatan, kami akan ambil tindakan sewajarnya. Jika terbukti bersalah akan melalui hukuman yang dikenakan melalui mahkamah.

“Seterusnya tindakan mengikut peraturan yang sedia ada dalam perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Ketua Setiausaha Negara bersama masyarakat Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Sungai Melut di sini, Khamis.

Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebar secara meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali dalam sebuah lif hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun. -Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon