Sunday, August 04, 2013

Maradona Tendang Kemaluan Jurugambar!


Seorang jurugambar majalah selebriti mendakwa, Diego Maradona telah menendang kemaluannya mendorong dia membuat laporan polis terhadap legenda bola sepak Argentina itu.

Maradona menendang Enrique Garcia Medina yang cuba 
mengambil gambarnya dalam kejadian di Buenos Aires.

Jurugambar majalah Gente, Enrique Medina berkata, serangan tersebut berlaku di luar rumah bapa kepada bekas bintang penyerang itu pada Ahad malam ketika dia sedang menunggu untuk mengambil gambar pemain yang telah membawa Argentina menjulang Piala Dunia 1986 itu.

Medina memberitahu agensi berita antarabangsa, The Associated Press semalam bahawa Maradona berlari ke arahnya seperti mahu mengambil sepakan percuma dan melepaskan tendangan kuat di bahagian kemaluannya menyebabkan dia mengalami kesakitan yang teramat sangat.

"Ia bukan tendangan daripada orang biasa, ia adalah tendangan daripada seorang yang memang biasa menendang.

"Dia kelihatan sangat, sangat marah dan seperti hilang akal. Seperti sesuatu telah berlaku di rumah bapanya," cerita Medina.

Maradona selalu merungut mengenai media yang suka mengekori setiap gerak gerinya.

Pada 1994, dia pernah melepaskan tembakan ke udara untuk mengusir sekumpulan wartawan dan digantung dua tahun setengah daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak.

Pada Mei lalu, dia memberhentikan keretanya di lebuh raya dan membaling batu ke arah jurukamera yang mengekorinya pulang ke rumah dari lapangan terbang.

Maradona sedang pulang bercuti di Argentina kerana dia kini bekerja di Dubai sebagai duta sukan global di ibu negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu.

Bekas legenda berusia 52 tahun itu sering mencetus kontroversi kerana sikap panas barannya.

Dia juga pernah dikritik hebat ketika menjadi pengendali skuad bola sepak Argentina gara-gara tidak mempunyai pengalaman taktikal yang cukup bagus untuk menjadi seorang jurulatih antarabangsa.

Maradona disingkir selepas Argentina dibelasah 4-0 oleh Jerman pada suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Di luar padang, kehidupan peribadi Maradona sering menjadi sasaran media tempatan.

-AGENSI

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon