Saturday, August 03, 2013

Lelaki Rimas Dikawal Kekasih


Alahai! Baru beberapa jam saja ketemu, takkan nak berjumpa lagi? Asyik nak berkepit. Begitu juga apabila si kekasih dapat tahu ada nama perempuan lain tertera di dalam telefon bimbit teman lelaki, pasti disoal bertubi-tubi.

Wanita queen control
Gambar hiasan.

Belum lagi berkahwin atau bertunang tapi hidup bagaikan di dalam penjara dikawal selia setiap masa. Jika keluar dengan emak atau adik-beradik juga perlu diberitahu kepadanya.

Memang satu masalah besar juga kalau secara tiba-tiba telefon kehabisan bateri atau tertinggal di rumah. Apabila pulang ke rumah dan meneliti telefon bimbit, hampir 100 panggilan masuk terpampang.

Perempuan harus menyedari bahawa tidak semua lelaki mahu dikawal. Mereka punya keinginan sendiri untuk meluangkan masa bersama teman lain dengan aktiviti tertentu, bukannya menghabiskan masa yang ada dengan si ‘queen control’ saja.

Bukan curang atau membuat skandal dengan wanita lain tetapi keluar bersama dengan sahabat lelaki. Jika ada kawan perempuan juga, apa salahnya? Asalkan tidak melampaui batas sebagai seorang kawan.

Pada awal perhubungan, sikap buruk ini belum kelihatan. Namun apabila usia hubungan menjangkau setahun ke dua tahun, wanita akan cenderung mengawal setiap perilaku teman lelaki.

Bagaimana pula lelaki? Adakah lelaki juga ada yang bersikap ‘king control’? Mungkin hanya 30 peratus saja tetapi penulis bukan mahu menyebelahi mana-mana jantina tetapi itu realitinya.

Ada juga yang beranggapan lelaki dan wanita sama saja kuat mengawal kerana ragu dengan kesetiaan yang ditonjolkan kekasih. Sedangkan kepercayaan adalah dinding pengukuh hubungan.

Memang kelakar apabila terjumpa remaja yang bersikap optimis. Terlalu yakin akan bertemu jodoh dengan lelaki atau perempuan yang dicintai sekian lama.

Bagaimana jika dijodohkan dengan orang lain? Bayangkanlah!

Tinggalkan buah hati

Rimas dikawal setiap masa membuatkan lelaki akan mula memandang perempuan lain. Barangkali wanita yang baru dikenali dapat memberikan kebebasan kepada lelaki untuk bertindak sendiri tanpa perlu dikongkong.

Penulis sendiri ada seorang kawan lelaki, meninggalkan kekasihnya kerana rimas dikawal sehingga tidak berpeluang untuk berjumpa rakan yang lain.

Akhirnya dia membuat keputusan untuk meninggalkan kekasihnya itu dan beranggapan keadaan akan lebih parah apabila mendirikan rumah tangga nanti. Keputusan dibuat selepas meminta pandangan dan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman.

Lelaki tidak suka dikongkong dan disoal selidik sepanjang masa oleh kekasih. Mereka berasa diri tidak dipercayai dan seolah-olah tidak setia.

Apabila terjadinya anggapan itu, lelaki akan melakukannya secara realiti sehingga perempuan itu mendapat ganjaran setimpal seperti ditinggalkan dan tidak dipedulikan lagi.

Namun perlu melihat dulu definisi ‘queen control’ itu kerana melahirkan dua pendapat berbeza sama ada positif atau negatif.

‘Queen control’ yang terlalu mengawal pergerakan teman lelaki sehingga tidak mampu bersuara untuk melahirkan pandangan sendiri adalah tindakan negatif yang tidak harus wujud dalam hubungan cinta.

Lima perkara lelaki ingin di sisi wanita

1. Terima seadanya

Perkara yang paling penting adalah anda mengetahui mengenai lelaki, bukan mengubah lelaki menjadi orang lain.

Jika seseorang perempuan itu mengubah personaliti teman lelaki, berkemungkinan lelaki itu tidak menyukai perempuan itu. Terima lelaki seadanya seperti mereka sudi menerima anda.

2. Memahami sikap lelaki

Cuba memahami sikap dan tingkah laku lelaki. Kemudian menyesuaikan sikap itu dengan diri anda. Adalah lebih baik cuba mengubahnya dengan sesuatu yang tidak sesuai dengan diri anda. Asalkan tidak bertentangan dengan agama dan budaya.

3. Cuba memujuk

Siapalah anda untuk mengubah seseorang itu melainkan dengan kerelaan hatinya sendiri tanpa ada sebarang paksaan dan desakan daripada orang lain.

Cuba dulu pada diri sendiri dengan berubah ke arah yang lebih baik lalu mengajaknya pula untuk memperbaiki diri.

4. Saling mempercayai

Jika anda tidak mempercayai lelaki, jangan harap lelaki akan mempercayai diri anda. Untuk membuatkan diri tidak dipercayai bukannya payah dan untuk membuatkan orang percaya kepada anda bukan mudah.

5. Jangan merendahkan martabat lelaki

Apabila berkahwin, lelaki adalah ketua dalam rumah tangga. Maka perempuan jangan sesekali mengecilkan hati seorang lelaki dan membandingkan dirinya dengan lelaki lain. Kemudian membuatkan lelaki berdiam diri dan tertekan dengan sikap anda itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon