Saturday, August 17, 2013

Lee Kuan Yew Terlupa Sistem Politik Singapura Berdasarkan Perkauman


Memang menarik sekali pandangan yang diutarakan oleh bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew (LKY) dalam buku terbaharu beliau yang bertajuk One Man's View of the World. Ini kerana selama 52 tahun berada dalam Kabinet kerajaan Singapura dengan 31 tahun sebagai Perdana Menteri sudah pasti beliau memiliki pengalaman yang sukar ditandingi.


Buku setebal 400 muka surat dengan 11 bab itu merupakan buku yang keenam selepas Hard Truths to Keep Singapore Going (2011), My Lifelong Challenge: Singapore's Bilingual Journey (2011), Lee Kuan Yew: The Man and His Ideas (1998), dan juga dua buku berbentuk memoir, The Singapore Story (1998) dan From Third World to First (2000).

LKY sememangnya terkenal dengan pandangan kritis tanpa kekangan dan paling menarik dalam buku terbaru yang dihasilkan daripada beberapa siri wawancara dengan pengarang akhbar Straits Times Singapura adalah buat pertama kali beliau berada di luar kerajaan setelah meletak jawatan sebagai Menteri Mentor pada tahun 2011.

Sebahagian besar buku terbaru LKY tertumpu kepada isu dasar luar yang merangkumi Amerika Syarikat (AS), China, Eropah, Asia (Jepun, Korea dan India), Timur Tengah dan juga tidak ketinggalan rantau Asia Tenggara.

Dalam setiap buku LKY, sedikit sebanyak perbincangan mengenai jiran terdekat Singapura iaitu Malaysia sukar untuk dihindarkan sama ada secara tersurat atau tersirat kerana pertalian sejarah kedua-dua negara ini amat begitu rapat sekali sehingga ke hari ini. Begitu juga dalam buku terbaru LKY ada menyentuh beberapa isu berkaitan Malaysia.

Agak menarik sekali apabila LKY membuat tafsiran mengenai pengaruh Islam terhadap suasana politik Malaysia di mana beliau membuat andaian bahawa sikap kesederhanaan dalam pengamalan agama telah luntur di mana pengaruh dari Timur Tengah telah menjalar terutama sekali terhadap bangsa Melayu Malaysia yang menjerumus kepada sikap yang lebih ortodoks.

Pada pandangan LKY, rakyat Melayu Malaysia yang beragama Islam pada satu ketika dahulu tidak mempunyai masalah untuk bersalaman di antara lelaki dan wanita dan bertudung adalah sesuatu yang asing.

Suasana di mana minuman keras dihidangkan untuk tetamu bukan beragama Islam adalah sesuatu yang asing pada hari ini. Menurut tafsiran LKY lagi Malaysia tidak boleh dilabelkan sebagai negara Islam yang progresif.

Memang benar semua itu adalah tafsiran LKY semata-mata dan ada kalanya pendapat tersebut mempunyai kepincangan walaupun pernah satu ketika bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher mengisytiharkan LKY tidak pernah silap apabila membuat tafsiran. Tetapi perlu ditegaskan ketika buat pertama kali Barack Obama berucap sebagai Presiden AS di Kaherah, Mesir pada tahun 2009, beliau secara spesifik memuji Malaysia sebagai negara Islam contoh yang moden dan progresif.

Dalam buku Hard Truths to Keep Singapore Going yang diterbitkan pada tahun 2011, LKY juga ada menyentuh mengenai pengaruh agama terhadap rakyat Melayu Singapura yang beragama Islam. LKY telah menyarankan kepada Melayu Singapura supaya melunturkan pegangan agama Islam mereka supaya lebih mudah mereka bergaul dengan kaum lain.

Saranan LKY yang dianggap sebagai penghinaan terhadap pegangan agama Melayu Singapura telah mendapat bantahan keras bukan sahaja daripada rakyat malah telah dipergunakan sebagai modal kempen pilihan raya oleh pembangkang pada tahun 2011 walaupun LKY telah memohon maaf di atas keceluparan beliau.

Mengenai perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, LKY secara sinis menyatakan jika perkara tersebut tidak berlaku maka Singapura pada hari ini tidak akan bebas dan boleh diibaratkan seperti berada dalam penjara. Tafsiran tersebut perlu dikaitkan dengan perjuangan LKY pra-1965 yang mahu menghapuskan keistimewaan bangsa Melayu melalui konsep Malaysian Malaysia.

Sebab itu LKY berpendapat sistem politik Malaysia yang berasaskan kaum tidak akan berjaya kerana ia hanya memberi keutamaan kepada satu kaum sahaja, iaitu Melayu. Beliau memberi contoh penghijrahan rakyat yang mempunyai kepakaran ke negara lain seperti Singapura adalah disebabkan oleh sistem politik Malaysia.

LKY sebenarnya tidak mahu mengakui hakikat bahawa Malaysia menjadi begitu stabil dan makmur lebih daripada lima dekad lamanya adalah kerana sistem politik perkongsian kuasa yang diamalkan oleh semua kaum di negara ini. Perkongsian politik dan ekonomi tidak kira rakyat daripada golongan majoriti atau minoriti adalah tunjang utama amalan politik Malaysia.

Memang benar bangsa Melayu adalah golongan majoriti di Malaysia, tetapi kerana amalan perkongsian kuasa, jauh sekali Melayu berada dalam kedudukan dominan sama ada dalam politik atau pun ekonomi.

Sistem politik Malaysia menjadi agak kucar-kacir apabila ada parti politik yang mengamalkan strategi perkauman yang tebal demi meraih undi dan simpati pengundi. Bibitnya telah mula kelihatan pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan keputusan PRU 2013 adalah manifestasi sah amalan politik perkauman yang tebal.

Keputusan PRU 2013 Malaysia adalah mirip kepada PRU 2001 Singapura di mana pada ketika itu majoriti pengundi Melayu tidak menyokong kerajaan dari parti LKY iaitu PAP kerana merasa terkilan dengan pendirian Singapura yang menyokong kempen memerangi keganasan Washington yang ditafsirkan sebagai kempen menindas umat Islam.

Walaupun PAP memperolehi jumlah sokongan yang begitu padu iaitu sebanyak 75 peratus undi, tetapi sokongan tersebut hanya datang daripada satu kelompok pengundi sahaja iaitu kaum Cina.

Memang pandangan LKY dikatakan agak berterus terang dan bernas tanpa kekangan, tetapi kadang kala apa yang diperkatakan beliau secara negatif terhadap Malaysia sebenarnya juga berlaku di Singapura. -Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon