Wednesday, August 21, 2013

Kaktus Peyote Dadah Yang Dianggap Suci Warga Mexico


Gisele Beker, seorang warga Argentina berumur 26 tahun, menapak berjam-jam lamanya di bawah terik matahari merentasi gurun Wirikuta, Mexico untuk memenuhi satu matlamat - melihat kaktus peyote. Kaktus itu merupakan tumbuhan halusinogen yang dianggap suci oleh penduduk tempatan.

Pelancong diingatkan agar menghormati kaktus peyote sepanjang upacara 
dijalankan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Selain Beker, ramai warga Mexico dan pelancong asing sanggup datang ke gurun tersebut demi peyote yang mempunyai alkaloid psikoaktif terutamanya meskalina iaitu alkaloid beracun yang menyebabkan halusinasi khususnya yang melibatkan warna dan muzik.

Disertai tiga teman dari Mexico, Beker merupakan salah seorang dalam gerombolan pelancong asing yang teruja merasai pengalaman mencari peyote atau nama saintifiknya, Lophophora williamsii.

"Adakah anda sudah menemuinya?" soal Beker kepada rakannya dengan penuh harapan, selepas meredah perjalanan sejauh 700 kilometer dan mencari sesuatu yang kecil di lantai gurun dengan penuh hati-hati.

Peyote secara teknikalnya merupakan dadah yang diharamkan, namun sejak berabad lamanya, ia memainkan peranan utama dalam kebudayaan penduduk peribumi di utara Mexico dan Texas (Amerika Syarikat).

Kesucian peyote menjadikan ia sebahagian daripada upacara kerohanian dan meditasi kepada kumpulan etnik Wixarika atau sinonim dengan nama Huichol di Sepanyol.

Sejak tahun 1960-an, gurun yang terletak di pedalaman San Luis Potosi itu menjadi tanah impian kepada mereka yang memburu tumbuhan eksotik tersebut, biarpun berdepan kerumitan logistik.

Upacara ke atas kaktus peyote memerlukan ia disiram 
sebelum bahagian kecil di atasnya dimakan.

Mereka tidak terhalang oleh kepayahan topografi, tidak juga mempedulikan papan tanda metal berkarat yang tertera amaran 'Menanam dan menjual Peyote merupakan satu jenayah persekutuan.'

Pihak berkuasa juga tidak berusaha untuk mengubah sikap pemandu pelancong yang akur dengan kemahuan pelawat asing setiap kali diminta dibawa ke gurun itu. Perkhidmatan haram itu kini sudah menjadi kemestian.

Salah seorang rakan Beker yang hanya mahu dikenali dengan nama Cesar mengimbas kenyataan pemandu pelancong yang membawanya: "Anda tidak boleh mencari peyote. Ia akan menemui anda."

Apabila kumpulan pelancong itu menemui apa yang mereka cari, upacara pemujaan dimulakan penuh teratur.

Mengikut proses normal, mereka akan meminta kebenaran daripada gurun Wirikuta kerana orang Asli di situ percaya ia merupakan lokasi permulaan alam semesta ini dicipta.

Kemudian pemujaan pun dijalankan terhadap tumbuhan tersebut. Orang ramai perlu berhati-hati agar tidak mencabut kaktus itu dari tanah.

Peyote yang ditemui itu disiram air dan bahagian berisi kecil yang berbentuk butang pada tumbuhan itu kemudian dimakan.

"Ia rasa seperti buah, lembut tetapi sangat pahit," jelas Beker.

Penduduk setempat menganggap tumbuhan itu sebagai simbol hati kepada Tuhan Rusa, yang juga menjadi perantara komunikasi bersama tuhan kepercayaan mereka.

Setiap tahun, komuniti tempatan pergi ke bukit Quemado sambil dipimpin seorang bomoh bagi menjalankan upacara pemujaan dan memberi restu kepada peyote.

Merasai aura mistik lokasi itu, Eliana, seorang warga Mexico sambil menggigit peyotenya berkata: "Ia seperti memasuki ke dalam roh anda sendiri."

Ramai orang berasa khayal, mengalami sinestesia, muntah-muntah dan efek lain ketika memakan kaktus itu.

Chris Biddle, lelaki berusia 32 tahun dari Afrika Selatan memberitahu, dia dan teman wanitanya terasa seperti bersatu dengan alam. Namun demikian, dia memaklumkan, perasaan itu tidak dapat dirasai semua orang.

Kaktus peyote

Kaktus peyote boleh menyebabkan si pemakan khayal dan mengalami sinestesia.

Seorang pakar tempatan, Jose Luis Bustos, 67, mendakwa individu yang melayan peyote tanpa hormat akan mendapat balasan setimpal.

"Peyote bukan dadah. Ia adalah tumbuhan suci dan mesti dilayan penuh kehormatan kerana sesiapa yang berbuat jahat, ia mngkin menghukum individu itu," katanya..

Penduduk setempat lain juga menceritakan terdapat kes-kes pelancong asing yang datang dari pelbagai negara mati keseorangan di gurun atau terpaksa dirawat di pusat psikiatri tempatan.

Sementara itu, Datuk Bandar bandar itu, Hector Morena memberi amaran: "Peyote hanya eksklusif untuk kebudayaan Huichol. Kita yang lain hanya berperanan untuk mempromosikan pemeliharaan dan menghomatinya." -AFP

-Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon