Friday, August 23, 2013

Dipenjara Dan Diancam Bunuh Hanya Kerana Misai!


Setiap hari, Malik Amir Mohammad Khan Afridi, 48, pasti memperuntukkan masa selama 30 minit untuk membasuh, menyikat, meletakkan minyak dan memintal misai sepanjang 76 sentimeter yang mencecah dahinya itu kepada dua bahagian.


Disebabkan misai yang unik itu, ahli perniagaan Pakistan itu pernah diculik, diugut bunuh dan dipindah secara paksa supaya hidup berjauhan daripada keluarganya.

"Masyarakat amat menghormati saya. Misai ini merupakan identiti saya," ujarnya ketika ditanya mengenai persediaan untuk menghadapi risiko yang berkaitan dengan misai kesayangannya itu.

"Saya gembira. Apabila sesuatu perkara itu menjadi kebiasaan, tiada sesiapa pun yang memberi perhatian. Saya suka menjadi perhatian orang ramai," jelas datuk kepada beberapa orang cucu yang kini menetap di barat laut bandar Peshawar.

Sejak beberapa abad lalu, misai yang dijaga rapi menjadi lambang kepada kelelakian dan kekuasaan di India.

Di Pakistan, pejuang Islam cuba menguatkuasakan undang-undang supaya misai perlu dipotong atau dicukur.

Daripada seorang yang terkenal, Malik bertukar menjadi banduan di Lashkar-e-Islam yang menjadi sekutu kepada Taliban dalam kalangan puak Khyber di sempadan Afghanistan.

Kumpulan tersebut meminta wang perlindungan sebanyak RM1,638 sebulan. Apabila dia enggan membayar wang tersebut, empat orang bersenjata menyerang rumahnya empat tahun lalu.

Menurutnya, dia dipenjarakan selama sebulan di dalam gua dan hanya dilepaskan setelah memotong misainya itu.

"Saya takut sekiranya dibunuh oleh mereka. Jadi, Saya terpaksa mengorbankan misai kesayangan dengan memotongnya," ujarnya.

Dia telah melarikan diri ke rumah saudaranya di Peshawar sebagai langkah keselamatan. Selepas itu, dia menyimpan semula misainya dan kembali menerima ugutan untuk menyembelihnya menerusi panggilan telefon pada tahun lalu.

Ekoran ugutan itu, dia melarikan diri sekali lagi ke sebuah bandar Punjabi, Faisalabad dan hanya kembali ke Peshawar sekali atau dua kali sebulan untuk melawat keluarganya.

"Saya masih takut. Sepanjang bulan Ramadan lalu, saya berada di Peshawar bersama keluarga. Tetapi hanya menghabiskan masa di rumah dan memberitahu orang ramai bahawa saya berada di Faisalabad jika mereka mahu berjumpa," ujarnya.

Misai yang panjang itu sedikit pun tidak mengganggunya mengambil wuduk untuk menunaikan solat setiap hari. Dia akan menyelitkan misai itu di belakang telinganya.

Perniagaan kain fabrik di Pakistan merupakan punca 
pendapatan utama Malik bagi menyara isteri dan 10 anaknya.

Kos sebanyak RM492 sebulan diperuntukkan bagi menjaga dan mengekalkan misai itu. Jumlah tersebut merupakan pendapatan bulanan yang diterima oleh seorang guru di Pakistan. Walaupun dia mendapat peruntukan sebanyak RM164 daripada pihak berkuasa di kawasan tersebut bagi menjaga misainya, dia tetap memilih untuk melarikan diri.

Pihak pentadbiran Khyber akan membayar wang berjumlah RM32 hingga RM197 sebulan kepada lelaki bermisai yang berjaya menarik perhatian sebagai simbolik penghargaan kepada keberanian dan sifat kelelakian mereka.

Malik menggunakan pengering rambut, sabun buku, syampu, minyak Jerman dari Dubai yang telah dibuang label kandungannya, cermin dan sebotol minyak kelapa buatan sendiri sebagai kelengkapan untuk merapi misainya.

Dia melumurkan minyak Jerman kemudian memintal-mintal dan mengeringkan misainya itu di hadapan cermin sebelum keluar ke pusat beli-belah. Kemunculannya di kawasan tumpuan itu ternyata menarik perhatian khalayak ramai.

Dalam pada itu, isteri Malik dan 10 orang anaknya kurang bersetuju dengan tindakan Malik menyimpan misai yang panjang.

"Keluarga menyuruh saya memotong misai kerana mereka mahu saya terus bersama mereka. Saya boleh meninggalkan Pakistan tetapi tidak akan sekali-kali memotong misai saya," ujar Malik.

Sekiranya dia mempunyai visa, impiannya untuk mencari perlindungan politik atau mewakili negara pada peringkat antarabangsa pasti tercapai.

Bagi mencapai cita-citanya itu, dia perlu memecahkan rekod misai sepanjang 4.29 meter sekali gus merupakan misai terpanjang di dunia yang dipegang oleh lelaki dari India. -AFP

-Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon