Sunday, August 04, 2013

Bale Bakal Gantikan Ronaldo Dengan Yuran Perpindahan Termahal Dunia?


Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon percaya usaha kelab itu untuk membeli pemain Tottenham Hotspur, Gareth Bale bertujuan untuk menggantikan Cristiano Ronaldo.

Gareth Bale.

Madrid membuat bidaan rekod dunia 85 juta pound (RM418 juta) untuk Bale, yang menyatakan hasrat untuk berpindah dan Calderon mendakwa penggantinya, Florentino Perez mahu membuat persediaan dengan mendapatkan Bale, bimbang jika mereka kehilangan Ronaldo.

Ronaldo sudah lama dikaitkan dengan perpindahan semula ke bekas kelabnya Manchester United dan ada laporan bahawa tuntutan gaji baharu oleh pemain itu sukar untuk dipenuhi oleh Real.

Perez pernah mengisytiharkan Ronaldo akan kekal di Bernabeu sehingga pemain itu bersara namun penyerang mereka menafikan dia telah menandatangani kontrak baharu pada awal musim panas ini.

Calderon berkata, ketibaan Bale akan melegakan penyokong jika mereka Ronaldo memilih tidak mahu kekal di Madrid.

“Saya tahu Ronaldo tidak gembira dengan sikap dan tindak tanduk presiden kelab. Dia menuntut gaji baharu 20 juta Euro (RM86 juta) setahun yang sukar diterima oleh Real.

“Saya rasa presiden kelab mahu membuat persediaan sebaik mungkin jika Cristiano tidak mahu menandatangani kontrak baharu. Itu andaian saya.

“Presiden bimbang pada suatu ketika Cristiano mungkin akan berkata ‘saya tidak mahu terus berada di kelab ini’.

“Ia pastinya berita buruk buat Madrid. Saya memang mahu melihat dia bersara di Real namun sekarang keadaannya sukar. Sama-sama kita tengok minggu depan atau bulan depan sama ada masalah ini boleh diselesaikan dan dia mungkin kekal," kata Calderon.

Bale memberitahu bos Spurs, Andre Villas Boas bahawa dia mahu menyertai Carlo Ancelotti di Real Madrid pada hari pertama dia kembali memulakan latihan selepas bidaan sensasi Real.

Pengarah Sukan Real, Zinedine Zidane berkata, Bale sepatutnya dibenarkan merealisasikan impiannya untuk berpindah ke Sepanyol sambil menambah dia mungkin boleh menjadi pemain terbaik dunia di Bernabeu.

Kata Zidane: “Jika dia melahirkan hasrat untuk menyertai Madrid, Tottenham harus memberikan kebenaran kepadanya untuk berbincang dengan kami." -AGENSI

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon