Friday, August 09, 2013

Awas Perangkap Maut Dalam Polemik Sunni-Syiah


Ulasan MAPIM mencadangkan agar pihak berkuasa menangani perbezaan aliran dalam Islam berdasarkan Deklarasi Amman atau Mesej Amman yang diisytihar dan disepakati oleh 552 pemimpin negara Islam, ulama serta cendekiawan sedunia pada 27 Ramadan 1425 Hijrah, bersamaan 9 November 2004.


Dokumen itu diisytiharkan oleh Raja Abdullah II Al Hussein di Amman, Jordan.

Deklarasi berkenaan diperakui oleh lapan wakil kepimpinan kerajaan dan ilmwuan Malaysia, termasuk Tun Abdullah Badawi yang hadir pada persidangan tersebut.

Raja Abdullah II menghantar tiga soalan kepada 24 ulama paling senior dari seluruh pelosok dunia untuk mengeluarkan fatwa masing-masing (10 ulama Sunni, 10 Syiah Jaafari, 2 Syiah Zaidi, seorang ulama Ibadi dan sepucuk surat HE Aga Khan) yang mewakili pelbagai cabang aliran Islam.

Soalan itu ialah: (1) Siapa Muslim? (2) Adakah dibolehkan untuk mengisytiharkan seseorang itu kafir (takfir)? (3) Siapa yang berhak mengeluarkan fatwa?

Berdasarkan fatwa yang disepakati oleh ulama tersohor (termasuk Sheikh Al-Azhar Ayatollah Sistani dan Sheikh Qaradawi) pada Julai 2005, Raja Abdullah II mengaturkan sebuah Persidangan Antarabangsa yang dihadiri 200 ulama utama dari 50 negara.

Persidangan itu bersepakat mengeluarkan fatwa mengenai tiga isu fundamental yang digelar "Tiga poin Mesej Amman".

3 poin diakui OIC

Ia secara khusus mengesahkan kesahihan semua lapan mazhab dalam Sunni, Syiah dan Ibadi Islam; teologi Islam (Ash'ari); tasauf Islam (sufi), dan aliran Salafi tulin, serta merumuskan takrif tepat mengenai siapa itu Muslim.

Berdasarkan takrif tersebut, mereka melarang sebarang tindakan mengkafirkan sesama kaum Muslimin.

Berdasarkan aliran Mazhab tersebut, mereka juga meletakkan prasyarat kepada sesiapa yang layak mengeluarkan fatwa atas nama Islam.

Tiga poin itu juga diperakui oleh kepimpinan Islam sedunia di persidangan OIC di Mekah pada Disember 2005.

Dan dalam tempoh Julai 2005 hingga Julai 2006, ia disepakati dan diterima guna oleh enam buah persidangan ilmuwan Islam, termasuk Akademik Fikah Antarabangsa di Jeddah pada Julai 2006.

Jumlah akhirnya seramai 500 ilmuwan Islam tersohor bersepakat menerima rumusan tiga poin dalam Deklarasi Mesej Amman tersebut.

Kesepakatan ini menjadi asas untuk kesatuan umat dibangunkan dan penyelesaian kepada pertelingkahan antara sesama Islam. Ia juga boleh dijadikan hujah untuk golongan bukan Islam.

Musuh ambil kesempatan

Memandangkan isu ini hangat diperdebatkan, kami berpandangan ia harus dibincangkan dengan bijak berdasarkan ilmu dan hikmah agar tidak menimbulkan kesan yang merugikan umat Islam seluruhnya.

Mengikuti perbahasan yang dibangkitkan secara bertalu-talu mengenai isu ini melalui media cetak dan media elektronik, kami khuatiri umat Islam akan terjebak dengan sikap permusuhan antara sesama sendiri yang akan menghancurkan kesatuan.

Untuk membendung sesuatu fahaman yang dianggap salah sesama umat Islam, cara yang tepat ialah dengan hujah ilmu dan kaunseling yang bijaksana sesuai dengan perintah Allah, yang bermaksud:

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Kami berpendapat, dengan mengangkat persoalan pertelingkahan aliran faham dalam Islam secara tidak berhati-hati antara umat akan memerangkap umat Islam dalam konflik sektarian yang akan menghancurkan kekuatan perpaduan umat Islam.

Kami mengingatkan konflik sektarian antara umat Islam yang berpanjangan di negara seperti Pakistan, Iraq dan Syria - antara yang paling ganas yang berlaku sehingga hari ini.

Konflik ini diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk menguasai negara-negara Islam.

Diheret ke gelanggang politik

Kami amat memandang serius betapa umat Islam sangat mudah berpecah, sedangkan perpecahan adalah haram di sisi Islam.

Yang jelas, permusuhan semasa sendiri akan diambil kesempatan oleh musuh untuk memusnahkan dan memecah belahkan lagi umat.

Sedihnya ia menimbulkan prasangka negatif di kalangan orang bukan Islam terhadap kesucian dan kemuliaan Islam.

Pandangan kami, sebaiknya perbicaraan soal aliran pemikiran Islam ini dilakukan secara berdepan dan berhujah berdasarkan ilmu bukan dengan menyerang melalui media dan mengguna seluruh agensi kerajaan.

Labih parah lagi ialah apabila isu ini diheret ke gelanggang politik yang menambah tajam lagi perpecahan umat yang sudah sedia berpecah.

Kami melihat ada niat jahat untuk memfitnah satu kumpulan yang menjadi seteru politik dengan tuduhan yang tidak berasas.

Tuduhan bukan berdasarkan bukti tetapi hanya sentimen dan persepsi. Namun ia diguna habisan-habisan untuk mendapat keuntungan politik.

Didalangi Barat

Apa yang perlu diawasi, janganlah perbezaan yang dibahaskan oleh ulama sejak ribuan tahun yang terdahulu dibawa semula dan dipertajamkan sehingga menimbulkan perbalahan di kalangan orang awam yang boleh merosakkan .

Bahaya kepada umat Islam yang jelas, bila kuasa imperialis Barat yang merosakkan faham Islam sehingga sekularisme menjadi aliran yang sangat dominan dalam masyarakat Islam.

Wujudnya khilaf dalam aliran yang ada dalam Islam hendaklah diselesaikan dengan secara muzakakah ilmu dengan sihat oleh mereka yang layak.

Mereka yang berbicara secara emosional dan bukan memiliki kearifan dalam disiplin Islam harus insaf dan akur kepada pandangan ulama bertaraf dunia yang jauh lebih layak untuk berbahas mengenai isu ini.

Ini jauh lebih baik untuk menjaga hal yang lebih utama iaitu kesatuan dan persaudaraan dalam Islam.

Kami berpandangan adalah bijak agar sebarang perselisihan pendapat diselesaikan dalam semangat disiplin keilmuan yang diteladani oleh para ilmuwan Islam terdahulu.

Malaysia tidak harus terperangkap dalam agenda mempertajamkan perselisihan sektarian yang didalangi oleh Barat.

MOHD AZMI ABDUL HAMID presiden MAPIM. [Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon