Wednesday, August 07, 2013

Ancaman Serangan Besar-besaran Al-Qaeda, AS Tutup 19 Kedutaan


Amaran berjaga-jaga ke atas serangan pengganas di seluruh dunia sehingga menyebabkan 19 Kedutaan Amerika Syarikat (AS) ditutup di beberapa negara Islam adalah berpunca daripada mesej rahsia ketua al-Qaeda di Pakistan yang dihantar kepada rakan sejawatnya di Yemen.

Gambar arkib.

Dalam mesej daripada Ayman al-Zawari, pemimpin yang menggantikan Osama bin Laden kepada Nasser al-Wuhayshi, Ketua al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) itu, Zawari mengarahkan serangan besar dilancarkan.

Seorang pegawai perisikan AS dan diplomat di Asia Barat berkata, mesej yang dihantar pada beberapa minggu lalu itu bagaimanapun berjaya dipintas oleh mereka, sekali gus mengundang amaran berjaga-jaga ke seluruh dunia.

Pegawai perisikan AS sebelum ini menyifatkan perbualan itu sebagai ‘sangat penting’ yang sama seperti mesej yang berjaya dipintas sehari sebelum serangan 11 September.

Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan akan menutup pejabat kedutaan dan konsulatnya di 19 buah bandar di negara-negara Islam sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki memberitahu tindakan itu diambil berikutan timbulnya ancaman serangan keganasan yang serius daripada kumpulan Al-Qaeda.

Penutupan dilakukan sebagai bukti terhadap komitmen AS untuk melindungi kakitangannya dan pelawat di kemudahan terbabit.

Pejabat diplomatik yang akan ditutup sehingga 10 Ogos ini adalah di Mesir, Jordan, Libya, Yemen, Arab Saudi dan Kuwait. Tidak terkecuali pejabat kedutaan AS di negara Afrika termasuklah Madagascar, Burundi, Rwanda dan Mauritius.

AS bagaimanapun membuka semula pejabat kedutaannya di Kabul dan Baghdad semalam.

Jumaat lalu, Pentadbiran Presiden AS, Barack Obama mengumumkan penutupan pejabat konsulat dan kedutaan sepanjang minggu ini.

Jabatan Negara AS pula mengeluarkan amaran perjalanan kepada warga AS di seluruh dunia sambil memberi amaran yang kumpulan Al- Qaeda atau sekutunya mungkin akan menyerang kerajaan AS atau kepentingan Barat.

Perisikan AS turut menasihatkan Britain, Jerman dan Perancis supaya menutup pejabat kedutaan masing-masing di Yemen pada Ahad dan Isnin (semalam). Perancis semalam memberitahu bahawa ia akan menutup pejabat kedutaannya di Yemen sehingga esok.

Ahli Kongres AS, C.A. Dutch Ruppersberger yang juga wakil Ahli Jawatankuasa Perisikan memberitahu, ancaman serangan pengganas besar-besaran itu diketahui selepas perbualan pemimpin kanan Al-Qaeda di Semenanjung Arab diintip.

"Ini merupakan ancaman paling serius yang pernah saya lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata Senator Republikan, Sax- by Chambliss. -Agensi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon