Sunday, July 21, 2013

Soldatenkaffe Kafe Bertemakan Parti Nazi Cetus Kemarahan Di Indonesia


Pihak berkuasa Indonesia akan menyoal siasat seorang pemilik restoran kerana membuka kafe dengan tema Parti Nazi di Bandung yang mencetuskan kemarahan penduduk tempatan dan pelancong asing.


Kafe Soldatenkaffe milik Henry Mulyana yang terletak di sini, dalam wilayah Jawa Barat, telah dibuka sejak April 2011.

Timbalan Datuk Bandar Bandung, Ayi Vivananda berkata, sepucuk surat meminta Mulyana memberikan penjelasan berhubung tujuan dia membuka restoran itu telah dihantar kelmarin.

“Simbol-simbol Swastika (Parti Nazi) yang terdapat di kafe itu dikenali di seluruh dunia kerana sinonim dengan keganasan dan perkauman,” kata Vivananda.

Kafe tersebut dihiasi sehelai bendera dengan simbol swastika bersaiz besar dan potret gergasi bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler.

Dekorasi lain termasuk beberapa koleksi berkaitan Nazi yang digantung di dinding berwarna merah di kafe itu.

Premis itu mencetuskan kontroversi di Indonesia dan luar negara selepas satu artikel mengenainya tersiar di internet.

Mengulas kontroversi tersebut Mulyana memberitahu, dia tidak berniat untuk mencetuskan kebencian. Sebaliknya, dekorasi itu hanya untuk menarik pelanggan.

Peniaga itu turut menafikan dia seorang pro-Nazi atau menyokong Hitler yang bertanggungjawab ke atas kematian enam juta orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.

Katanya, kontroversi terbaharu itu memaksa dia menutup kafenya buat sementara waktu.


-AP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon