Tuesday, July 23, 2013

Kelahiran Bayi Lelaki Kate Middleton Disambut Meriah


Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate Middleton telah menyambut kelahiran bayi lelaki mereka pada Isnin, jam 4.24 petang (waktu tempatan) di Hospital St. Mary, Paddington, London.


Dipetik daripada laporan Telegraph, Kate selamat melahirkan putera sulung mereka secara normal 11 jam selepas dimasukkan ke hospital dan William turut berada di sisinya ketika itu.

Jurucakap Istana Buckingham turut memberitahu Permaisuri Elizabeth II dan suaminya iaitu Duke Edinburgh, Putera Philip gembira dengan berita tersebut.

Malah William yang bersyukur dengan sokongan orang ramai turut memberitahu, "Kami terlalu gembira".

Bapa kepada William, Putera Charles dan Duchess Camilla Parker Bowles turut memberi kenyataan selepas menerima khabar gembira itu.

"Saya dan isteri gembira dengan kehadiran cucu pertama kami. Ianya waktu yang istimewa buat William dan Catherine dan kami teruja atas kelahiran bayi lelaki mereka.

"Bergelar datuk adalah cukup unik dalam kehidupan sesiapa pun seperti yang diberitahu oleh orang ramai kepada saya. Jadi saya cukup berbangga dan gembira menjadi datuk buat pertama kali dan kami tidak sabar untuk melihat bayi itu."

Kelahiran bakal raja itu telah diumumkan menerusi emel terlebih dahulu sebelum notis disiarkan di Istana Buckingham.

Bayi lelaki seberat 3.9 kilogram itu akan dikenali sebagai Putera Cambridge secara rasmi.

Bayi tersebut bakal mengadakan penampilan pertamanya apabila Kate dibenarkan keluar hospital yang dijangka hari ini.

William dan Kate, masing-masing berusia 31 tahun telah berkahwin pada 29 April 2011.


[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon