Monday, July 08, 2013

Kekejaman AS Terhadap Tawanan Guantanamo


Guantanamo ditubuhkan pada 11 Januari 2002 oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush untuk menahan suspek yang ditangkap di Afghanistan dan di tempat lain selepas serangan 11 September 2001.

Nasib pemogok lapar Guantanamo.

Susulan timbulnya aktiviti penyeksaan, sekumpulan besar tahanan mula melancarkan mogok lapar pada pertengahan 2005.

Tahanan menganjurkan beberapa mogok lapar bagi membantah penahanan yang dibuat ke atas mereka tanpa sebab.

Sehingga ke hari ini, tindakan mogok lapar masih berterusan di pusat tahanan Guantanamo di mana memaksa pihak pengurusan pusat memaksa tahanan makan secara menyakitkan.

Pencabulan terang-terangan AS

Seorang penganalisis politik mendedahkan, keadaan tahanan yang dahsyat dalam penjara di bawah pengawalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Guantanamo Bay, Cuba, hanya sebahagian kecil daripada pelanggaran hak asasi terang-terangan Washington di seluruh dunia.

“Ia (Guantanamo) adalah bahagian kecil daripada bilangan itu kerana AS menguruskan begitu banyak penjara lain di seluruh dunia menerusi pelbagai negara,” Stephen Lendman, seorang pengarang terkenal dan Penyelidik Bersekutu di Pusat Penyelidikan Untuk Globalisasi, berkata dalam satu wawancara eksklusif bersama media antarabangsa, minggu lalu.

Beliau menambah bahawa Guantanamo adalah 'wajah awam Amerika yang hodoh'.

Lendman juga mengkritik Presiden AS, Barack Obama kerana gagal menunaikan janjinya untuk menutup penjara itu.

Penganalisis itu berkata lebih separuh daripada tahanan Guantanamo berhak untuk dibebaskan tetapi AS tidak melepaskan mereka atas sebab-sebab yang amat tidak munasabah.

“Tahanan di situ benar-benar putus asa. Mereka sanggup menahan lapar sehingga mati. Ia adalah satu pilihan yang lebih baik daripada tinggal di Guantanamo selama-lamanya," katanya. Lendman.

Dipaksa makan

Kira-kira 130 daripada 166 tahanan penjara Guantanamo yang melancarkan mogok lapar bukan sahaja dibiarkan di dalam kesejukan melampau, malah turut melalui prosedur paksa makan secara kejam dan berbentuk seksaan.

Menarik sekali, kesemua jururawat dalam penjara tidak memakai tanda nama bagi mengelak tahanan membuat aduan kepada peguam mereka.

Sebelum itu, tentera AS dengan mudah mengeluarkan kenyataan bahawa kira-kira 100 sahaja tahanan yang melancarkan mogok lapar dan dibantah oleh peguam tahanan yang memberitahu bilangan sebenar.

Seorang banduan yang masih melancarkan mogok lapar sejak Februari lalu menceritakan, majoriti pemogok lapar diseksa dan disakiti oleh pengawal penjara dan jururawat yang memaksa mereka makan.

Ahmed Belbacha, 43, warganera Aqlgeria berkata, proses pemaksaan makan telah mengakibatkannya muntah sehingga keluar darah.

"Ketika mereka memaksa kami makan di Kem 6, kaki dan tangan kami diikat dengan rantai besi. Kemudian, kami dipaksa duduk di kerusi sebelum mengikat kami di situ pula," kata Ahmed.

Kem 6, adalah sebuah bangunan penjara dilengkapi 200 sel dan pusat tahanan terbesar di Teluk Guantanamo.

Ahmed yang ditahan di pusat tahanan Guantanamo sejak 11 tahun lalu pernah dibebaskan selama enam tahun tetapi ditahan semula atas sebab tidak munasabah.

Laporan media menyebut, pegawai penjara memaksa banduan makan melalui tiub besi yang dimasukkan ke hidung tahanan. Kumpulan hak asasi kemanusiaan melabelkan tindakan paksa makan sebagai penyeksaan.

Dua minggu lalu, kira-kira 200 pakar perubatan dan profesional menghantar surat terbuka kepada Presiden AS, Barack Obama, memintanya untuk membolehkan tahanan dirawat oleh pakar.

Obama dikritik

Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Peter Maurer menggesa pentadbiran Obama untuk memperbaiki keadaan di Guantanamo dan mengkritik prosedur paksa makan sebagai penyelesaian kepada mogok lapar.

“Jika kita lihat mogok lapar hari ini, kita mentafsirkan ini sebagai gejala, sebagai petunjuk tentang kekurangan perspektif bahawa tahanan mempunyai, kesan daripada kerajaan AS yang tidak menepati janji yang telah dibuat dahulu," kata Maurer pada sidang akhbar baru-baru ini.

Sejurus dilantik sebagai presiden AS, Obama menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan jawatankuasa tentera dan menutup penjara Guantanamo menjelang 2010. Walau bagaimanapun, janji ini masih tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Pada awal 2009, Obama membuat perjanjian dengan jelas sekali untuk menutup penjara dalam masa 12 bulan.

Beliau malah menyalahkan Kongres atas kegagalan untuk membuktikan janjinya.

-Sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon