Monday, July 29, 2013

Ashraf Muslim Akui Sakinah Kawan Lama!


Sejak dua minggu lalu, nama Ashraf Muslim panas dengan kontroversi dia mengahwini isteri kedua secara senyap-senyap di selatan Thailand.


Tiga hari sebelum puasa, suami kepada Noor Dayana Lokman itu melangsungkan perkahwinan keduanya dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, pada 7 Julai lalu.

(Baca: Panas! Wan Sakinah Pernah Putus Tunang Kerana Ashraf Muslim!)

Perbuatan pelakon yang juga pengamal perubatan Islam itu dikecam pelbagai pihak. Bukan sahaja dia, isteri yang baharu dinikahinya, Sakinah juga berdepan tempias yang sama hebat. Isu menduakan isteri dan curang galak disebut-sebut orang.

Di pihak yang dimadukan, Noor Dayana pula dikatakan menerima pukulan yang hebat. Siapa sangka, perkahwinan yang baharu hendak mencecah dua tahun itu berdepan ujian yang sangat digeruni kaum isteri. Sama ada merelakan atau menentang, perkahwinan Ashraf sudah pun sah. Itu hukum agama yang tidak boleh digugat.

Kekecohan pernikahan rahsia Ashraf itu dibocorkan oleh isteri pertamanya. Tidak membiarkan masyarakat berlumba-lumba menghukum kesalahan dan kebenaran tindakan yang sudah pun tertulis, Ashraf akhirnya muncul membuat satu sidang media khas.

Biarpun tidak ditemani kedua-dua isteri yang didakwanya sedang keluar bersama-sama, lelaki berumur 32 tahun itu tenang merungkai persoalan. Paling utama, katanya, keputusan menikahi Sakinah tidak dibuat gara-gara ketiadaan zuriat sepanjang hidupnya bersama Noor Dayana.

Ashraf bagaimanapun, menafikan desas-desus yang selama ini mendakwa Sakinah sebagai kekasih lamanya. Wanita itu sebaliknya menegaskan dia hanya kawan biasanya.

"Saya berkahwin dengan Sakinah kerana memang hati saya terdetik untuk menikahi dia dan bukan kerana alasan ketiadaan zuriat.

"Saya mengenali Sakinah sebelum saya berkahwin dengan Dayana lagi. Saya bukan manusia sempurna," katanya pada sidang media yang dilakukan di Menara Mara, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dua tahun lepas, Ashraf mengahwini Noor Dayana, 26, di dalam bangunan Masjidil Haram, Mekah. Namun, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata.

Tindakan Ashraf yang berkahwin dulu dan kemudian baru memohon untuk mendapatkan kebenaran berpoligami menerusi mahkamah juga dipersoalkan ramai.

Ashraf berkata, tindakan itu berlaku disebabkan beberapa perkara yang terjadi di luar jangkaan. Pertama sekali, dia mahu menjaga hati ramai pihak.

"Pada asalnya, saya ingin memberitahu semua pihak selepas semuanya selesai tapi belum sempat berbuat demikian, Dayana sudah mengetahui terlebih dahulu apabila dia menjumpai beberapa bukti dan tiket penerbangan di dalam beg saya," katanya yang berjanji untuk berlaku adil ke atas kedua-dua isterinya itu.

Ashraf turut mendapatkan khidmat nasihat ustaz dan pakar berhubung soal poligaminya.

"Saya tahu, ia sesuatu yang sukar terutama sekali untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak. Dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri ada yang tidak bersetuju tapi, di penghujung ceritanya, ini tetap keputusan saya," tegas Ashraf yang meminta agar Dayana dan Sakinah diberi ruang privasi.

Atas sebab itu juga, Ashraf secara budiman hadir bersendirian tanpa perlu mengepit kedua-dua isterinya untuk ditayangkan kepada umum.

Menurut Ashraf, isteri pertamanya itu masih belum dapat menerima kehadiran Sakinah dalam hidupnya. Hal yang sama juga harus difahami oleh Sakinah.

"Mereka masih dalam proses (menerima hakikat). Hal itu tidak boleh saya cakap 100 peratus sebab itu hal perempuan. Sebagai lelaki, saya kena faham.

"Pada peringkat permulaan, memang sesiapa pun tidak akan suka tetapi sebagai ketua keluarga, saya kena jaga semua sekali. Jaga isteri-isteri saya, keluarga (dua) mertua dan keluarga saya," tutup Ashraf mengharapkan pengakuan terbukanya dapat meredakan isu yang hangat diperkatakan itu.

-Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon