Friday, July 26, 2013

300,000 Penganut Syiah Di Malaysia!


Dianggarkan bahawa, di Malaysia terdapat seramai kira-kira 200,000 hingga 300,000 orang pengikut pertubuhan Syiah ketika ini dengan 65 peratus daripadanya adalah beraliran Syiah Imamah atau Imam Dua Belas.

Syiah Di Malaysia

Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Zamihan Mat Zin berkata, pemerhatian pihaknya mendapati ada 250 akaun Facebook menyebarkan fahaman itu termasuk membabitkan anak muda Melayu. “Ada pihak daripada pertubuhan berkenaan mendakwa keahlian mereka mencecah sejuta orang, namun pada saya ia tidak benar dan hanya sekadar dakwaan agar masyarakat berpendapat mereka makin berpengaruh,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

KDN mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, berkata ia diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Zamihan berkata, pengikut pertubuhan itu mempunyai markaz di setiap negeri termasuklah di Kelantan, Perlis dan Johor.

“Malah, di negeri tertentu ada banyak cawangan seperti Gombak, Klang dan Ulu Klang di Selangor, selain di Kedah dan Kuala Lumpur.

“Penyebaran ajaran ini sering juga dikaitkan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tertentu termasuk di IPT awam,” katanya.

Ditanya punca menyebabkan sesetengah orang Melayu mudah tertarik dengan Syiah, katanya kerana amalan agama dalam fahaman itu sangat mudah, seperti solat jamak (himpun) dan qasar (pendek) bagi fardu Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak.

“Sebagaimana yang kita tahu, mereka juga mengamalkan nikah mutaah, iaitu tanpa saksi dan wali.

“Tempoh dipersetujui kedua-dua pihak (lelaki dan perempuan) dengan paling minimum 15 minit. Nikah ini tiada had bilangan isteri, malah boleh mencecah sampai 1,000 orang isteri.

“Ketika berpuasa pula, pengikut ajaran ini boleh melakukan jimak dengan isteri dan ini berbeza dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ). Mereka mengamalkan Islam secara jalan pintas,” katanya.

Menurutnya, fahaman itu bahaya sekiranya tidak dibendung kerana banyak anasir yang bertentangan dengan ASWJ, sehingga sampai menghalalkan darah pengikut ASWJ kerana dikatakan sebagai sesat.

“Oleh itu, kita berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam Negeri dapat mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang diperuntukkan bagi membendung ajaran ini,” katanya.

UPDATE

Dakwaan ada 300,000 pengikut Syiah di Malaysia tidak benar

Dakwaan kumpulan gerakan Syiah kononnya jumlah pengikut mereka di negara ini mencecah 300,000 orang adalah tidak benar.

Penyelidik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Aizam Mas'od, berkata perangkaan jabatan itu bersama polis menunjukkan jumlah mereka sekitar 3,000 orang saja.

Katanya, tindakan kumpulan itu menggembar-gemburkan jumlah yang besar hanya sebagai perang saraf untuk menuntut kebebasan mengamalkan ajaran berkenaan di negara ini.

"Angka yang mereka berikan hanya khayalan yang digunakan untuk mereka menuntut bergerak bebas mengamalkan ajaran Syiah tanpa kekangan undang-undang.

"Ia hanyalah perang saraf dan jumlah yang mereka dakwa itu bukan saja pengikut Syiah rakyat tempatan, malah mengambil kira warga Iran yang bekerja sementara di sini.

"Anggaran (JAKIM dan polis) itu berdasarkan kawalan dibuat oleh jabatan agama negeri dan polis yang menjalankan penguatkuasaan menyekat fahaman Syiah," katanya.

Mohd Aizam berkata, kerajaan tetap memandang serius gerakan penyebaran Syiah dan usaha mengekang ajaran itu walaupun jumlah mereka kecil berbanding negara lain.

"Kita tidak mengambil mudah. Kita yakin modus operandi mereka menyebarkan Syiah terus berjalan sama ada melalui keturunan iaitu perkahwinan dengan bukan Syiah serta secara tidak langsung iaitu melalui penjualan buku.

"Usaha menyedarkan masyarakat berhubung bahaya Syiah perlu diteruskan seperti seminar dan ceramah, selain media jangan mendiamkan isu ini kerana bimbang mereka bergerak secara perlahan tanpa disedari," katanya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon