Thursday, June 13, 2013

Tahukah Anda Rumahtangga Yang Paling Sadis Di Dunia?


Tahukah Anda? Labah-labah berburu dengan membina sarangnya untuk memerangkap mangsanya. Sarang ini diperbuat daripada sutera, seutas benang protein yang dihasilkan oleh haiwan berkenaan melalui hujung abdomennya.

Gambar hiasan

Labah-labah merupakan haiwan yang hidup secara bersendirian dan tidak mempunyai kehidupan bersosial. Ia tidak membiak secara berkumpulan kerana kehidupan sebegitu hanya dianggap sebagai suatu persaingan sesama mereka.

Dengan kata lain, hidup si labah-labah hanya berkisar di sarang mereka dan haiwan ini akan menjaga kawasan tersebut dengan sebaik mungkin. Kehidupan seperti ini adalah amat berbeza dengan serangga-serangga lain yang lebih banyak menghabiskan masa secara bermasyarakat.


Sebagai haiwan pasif dan tidak bersosial, pastinya labah-labah mempunyai cara tersendiri untuk terus hidup. Mereka memiliki keistimewaan tersendiri iaitu kemampuan untuk menghasilkan bebenang sutera dan kebolehan tersebut tidak ada pada haiwan lain.

Labah-labah akan menganyam bebenang sutera ini menjadi sarang dan perangkap yang rapi. Setiap serangga kecil dan pelawat yang memasuki lingkaran ini akan terperangkap, seterusnya menjadi hidangan kepada tuan empunya sarang.

Bukan itu sahaja, kegunaannya turut merangkumi perkara lain yang pelbagai. Antara lain, ia turut digunakan untuk memanjat, mengalas dinding yang licin, membina kantung telur, menyimpan makanan, membalut mangsa dan sebagainya. Pendek kata, kehidupan mereka bergantung penuh kepada bebenang protein ini.

Jika dilihat daripada perspektif mata kasar, anyaman bebenang yang dihasilkan oleh lelabah mengkin boleh dikatakan sebagai sesuatu yang sangat rapuh. Namun, kajian ilmiah telah menemui fakta sebaliknya.

Berdasarkan pemerhatian saintifik yang dilakukan oleh ahli araknologi dunia, binaan sarang labah-labah didapati tiga kali ganda lebih kukuh daripada sarang serangga-serangga lain. Malah, jika diukur berdasarkan berat sutera labah-labah adalah lima kali lebih kuat daripada besi keluli.

Perihal mengenai binaan sarang labah-labah ini turut disentuh oleh Allah SWT dalam Al-Qur'an melalui surah Al-Ankabut, ayat 41;

"Perumpamaan (bagi) orang-orang yang menjadikan selain dari Allah (sebagai) pelindung, umpama labah-labah yang membuat (tata'nith) sarang; dan sesungguhnya rumah yang paling lemah di antara rumah-rumah lainnya (adalah) sarang labah-labah...".

Jika dibaca sekali imbas, ayat diatas dilihat seperti mengemukakan perbandingan yang berbeza dengan kajian saintifik moden. Namun, tafsiran ayat berkenaan sebenarnya merupakan suatu kiasan untuk menerangkan maksud yang lebih mendalam.

Apa yang dimaksudkan dengan kerapuhan sarang labah-labah di dalam ayat berkenaan boleh ditafsirkan juga kepada kepincangan hidup berumah tangga di dalam komuntiti spesis haiwan ini.

Perkara tersebut berlaku disebabkan si betina menjadi dominan dan menggalas tugas yang sepatutnya diterajui oleh si jantan.

Secara realiti, labah-labah betina hanya memerlukan labah-labah jantan apabila mereka ingin mengawan. Si betina pada mulanya akan cuba menarik perhatian si jantan untuk bersama dengannya. Namun, apabila proses mengawan selesai, labah-labah jantan akan diperangkap, seterusnya dibunuh dan dijadikan sebagai makanan. Bagi sesetengah spesis, labah-labah jantan akan dijadikan makanan kepada anak labah-labah yang bakal menetas.

Sesuai dengan kehidupan mereka yang tidak suka bersosial, anak labah-labaj yang baru lahir akan berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan sumber makanan. Sampai kesatu tahap, labah-labah juga sanggup membunuh ibunya apabila merasakan diri mereka terancam.

Pendek kata, kehidupan berkeluarga haiwan ini boleh diterjemahkan sebagai rumah tangga yang porak peranda.

Daripada situasi ini, dapat dilihat bahawa betapa rapuhnya rumah si labah-labah kerana tiadanya hubungan kekeluargaan kerana masing-masing bersifat rakus dan mementingkan diri sendiri. Dan, kerapuhan itu dapat dilihat kerana tiadanya kasih sayang yang wujud sesama ahli keluarga.


Selain daripada kepincangan hidup berumah tangga, ayat daripada surah Al-Ankabut ini juga turut menyentuh tentang fakta biologi berkaitan dengan binaan sarang yang dianyam oleh labah-labah betina.

Melalui ayat ini, Allah menerangkan perkara tersebut menggunakan kata kerja 'tata'nith' yang membawa maksud 'sarang si betina'. Fakta itu adalah selari dengan kajian akademik pada abad ke-20 yang mendapati, hanya labah-labah betina sahaja membuat sarang, manakala labah-labah jantan sekadar menumpang.

Sudah pasti, ketika ayat ini diturunkan, perkara ini tidak pernah difikirkan manusia. Namun, menjelang abad ke-20 fakta ini telah dibuktikan melalui kajian ilmiah.

Secara tidak langsung, kita meyakini bahawa ilmu Al-Qur'an ternyata selari dengan ilmu pengetahuan zaman moden.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon