Tuesday, June 25, 2013

Sanggup Potong Tali Perut Kerana Makanan Sedap


Artemio Martinez membetulkan duduknya di atas bangku yang dirasakan agak kecil untuknya di gerai taco tepi jalan di bandar Mexico, menikmati tortila jagung berinti daging dan soda manis.

Minuman ringan bergas dianggap penyumbang utama masalah 
kegemukan 70 peratus rakyat Mexico - Gambar hiasan.

“Boleh berikan segelas lagi minuman supaya saya boleh habiskan taco kelima ini? Dan bilnya sekali ya,” kata Martinez, akauntan berusia 42 tahun yang mempunyai berat badan 140 kilogram kepada tukang masak merangkap pemilik gerai itu.

Apa yang perlu dibayar untuk sajiannya itu tidak banyak. Hanya 40 peso (RM9.60) untuk lima tortila daging dan 18 peso (RM5.10) untuk dua gelas soda.

Namun Mexico perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk gaya pemakanan seperti ini. Ia menduduki tangga teratas dalam pengambilan soda dan kedua tertinggi di dunia yang mempunyai penduduk obes selepas jirannya, Amerika Syarikat.

Mexico yang menjadi pemegang ekonomi kedua terbesar Amerika Latin selepas Brazil pernah mengalami zaman susah, khususnya ketika krisis peso pada 1994 dan kegawatan kewangan global pada 2009. Namun semua itu sudah berlalu, kini Mexico menikmati perkembangan ekonomi yang baik.

Pengarah Kuasa Pengguna, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Alejandro Calvillo berkata, pakatan perdagangan bebas membantu perkembangan ekonomi Mexico sehingga negara itu dilanda lambakan makanan yang kurang sihat.

“Dalam tempoh 20 tahun ini, tabiat atau gaya pemakanan masyarakat juga sudah berubah dengan ketara, apatah lagi dengan kemasukan industri makanan diproses seperti minuman bergas,” kata Calvillo.

NGO yang diwakilinya kini giat melobi supaya diadakan undang-undang bagi mengawal makanan ringan.

Dengan adanya pakatan perdagangan bebas itu, Mexico ‘terpaksa mengalah kepada nilai komersial daripada syarikat antarabangsa yang perlahan-lahan menggantikan pemakanan tradisional penduduk negara itu’,” katanya.

Dia turut menyalahkan iklan yang tidak henti-henti menayangkan produk seperti itu.

Menurut Akademi Perubatan Nasional, kadar obesiti di Mexico yang mempunyai 112 juta penduduk melonjak daripada 9.5 peratus pada 1988 kepada 32 peratus tahun lalu. Kira-kira 70 peratus penduduknya pula sentiasa berada dalam keadaan ‘berat badan berlebihan’ walaupun hampir separuh daripada rakyat Mexico hidup dalam kemiskinan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Universiti Yale, secara purata setiap penduduk Mexico mengambil 163 liter soda setahun. Kajian penyelidik Universiti Harvard mendapati 22,000 daripada 180,000 kematian tahunan di seluruh dunia yang dikaitkan dengan pengambilan minuman manis adalah penduduk Mexico.

Tahun lalu saja, minuman soda yang didatangkan dalam pelbagai perisa seperti kola, anggur, oren dan lemon menjadi pembunuh yang lebih besar berbanding perang dadah di negara itu yang mengorbankan 10,000 nyawa, tahun lalu.

Hujung tahun lalu, satu undang-undang diperkenalkan di Kongres Mexico untuk mengenakan cukai ke atas minuman manis bergas dan memantau aktiviti pengiklanannya tetapi malangnya inisiatif itu sudah digugurkan.

Mengikut sejarah, penduduk Mexico mengambil makanan yang dibuat daripada jagung yang ditanam sejak zaman nenek moyang mereka selain buah-buahan, sayur-sayuran dan herba.

Namun kini di susur jalan di bandar yang sesak dengan 20 juta penduduk itu dipenuhi gerai taco dan sandwic yang menjual pelbagai jenis tortila dan roti berinti daging berlemak.

Namun punca sebenar masalah ialah kekurangan air minuman menyebabkan penduduk beralih kepada minuman ringan, kata Yuritzin Flores daripada kumpulan kebajikan antarabangsa Oxfam.

“Jika diberi pilihan antara sebotol air kosong atau soda, penduduk akan memilih minuman yang memberi mereka tenaga dan status,” kata Flores.

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah obesiti di Mexico termasuk genetik. Namun tabiat pemakanan buruk yang diamalkan penduduk moden adalah penyumbang terbesar, kata David Garner, pengasas Klinik River Centre yang merawat pesakit mengalami masalah pemakanan.

“Hakikatnya, masyarakat berubah dengan cepat dan sekarang makanan boleh diperoleh pada bila-bila masa termasuk kebanjiran makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula,” sambung Garner.

“Kami tahu minuman ringan sama ada jenis diet atau biasa tetap memberi sumbangan kepada masalah obesiti dan penyakit jantung. Soalnya sekarang, tiada usaha dilakukan untuk menangani masalah ini,” katanya mengakui iklan minuman ringan sangat ‘berkuasa’.

Kerajaan Mexico, baru-baru ini mengumumkan akan mengatur strategi membendung obesiti, bagaimanapun tidak memberikan keterangan terperinci mengenai rancangan berkenaan.

Masalah berat badan penduduk yang dihadapi negara itu kini menjadi beban besar khususnya dalam sistem kesihatan awam. Dianggarkan penjagaan kesihatan membabitkan masalah berat badan di Mexico bakal mencecah RM37.4 bilion menjelang 2017.

Serangan sakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis punca paling lazim yang menyebabkan kemasukan ke hospital di Mexico. Kira-kira 14 peratus penduduknya menghidap penyakit ini yang membunuh 80,000 orang setiap tahun.

Untuk menangani masalah ini, beberapa klinik menawarkan pembedahan pintasan gastrik iaitu rawatan untuk mengurangkan saiz perut secara percuma atau pada harga rendah.

“Pembedahan tidak akan menyelesaikan masalah. Ia umpama menggunakan Band-Aid yang mahal,” kata Garner.

Namun pakar psikologi Universiti Autonomous Nasional Mexico, Leticia Bautista berkata, pembedahan itu adalah peluang keemasan yang sangat diperlukan individu obes.

Ofelia Montiel, 52, dulu mempunyai badan besar dengan berat 100 kilogram. Dengan ketinggian hanya 1.5 meter, dia kelihatan sangat ‘rendang’. Dia
mengakui, dulu dia minum tiga liter Coca-Cola setiap hari.

Setahun lalu, Ofelia menjalani pembedahan pintasan gastrik dan dia tidak kesal dengan keputusannya itu walaupun kini dia tidak boleh lagi menikmati makanan kegemarannya sepuas hati. Ini kerana pembedahan pengecilan perut itu membuatkan dia berasa cepat kenyang walaupun makan sedikit.

“Bagaimanapun, saya masih minum Coke untuk membuat saya sendawa. Dengan cara itu bolehlah makan lebih sedikit,” kata pesara itu yang kini mempunyai berat badan ideal iaitu 50 kilogram. -AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon