Thursday, June 13, 2013

Sandiwara Boikot Dewan Rakyat Terus Berlanjutan


Pas, DAP tidak boikot | Ahli Parlimen PR Selangor tetap akan menghadiri sidang Dewan Rakyat yang bermula 24 Jun ini, walaupun memboikot sesi taklimat, semalam.

Khalid Samad

Timbalan Pesuruhjaya III Pas, Khalid Samad berkata, setakat yang dimaklumkan, tindakan boikot hanya pada sesi taklimat.

“Kita dah menang, buat apa nak boikot? Walaupun ada penipuan, tetapi kita tetap menang.

“Rakyat susah payah beri kemenangan kepada kita, takkanlah tak pergi. Ahli Parlimen PKR pun akan hadir,” kata Khalid, yang juga ahli Parlimen Shah Alam kepada Sinar Harian.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Anthony Santiago berkata, tujuan PR memboikot sesi taklimat Parlimen sebagai simbolik kepada protes penipuan pada PRU13.

“Kita nak tunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa PRU13 adalah paling kotor dalam sejarah pilihan raya.

“Kita minta kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digantikan segera. Kita juga mahu undang-undang berkaitan pilihan raya seperti Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 digugurkan,” katanya.

Beliau, yang juga ahli Parlimen Klang turut memaklumkan akan menghadiri sesi Parlimen pada 24 Jun ini kerana tidak mahu mengkhianati kepercayaan rakyat.
“Rakyat dah beri kepercayaan kita harus hormati harapan rakyat, kalau ada ahli Parlimen lain nak boikot, terserah,” katanya.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, memaklumkan belum ada keputusan daripada pimpinan tertinggi PKR sama ada akan menghadiri sesi Parlimen 24 Jun atau tidak.

“Kita sedang adakan perbincangan dengan wakil-wakil PKR dan perkara ini akan dipanjangkan kepada wakil PR yang lain, sama ada akan hadir atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berhasrat untuk memboikot sesi pembukaan Dewan Rakyat ke-13 sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU13, 5 Mei lalu dan enggan membentangkan soalan di Parlimen.

Tarikh akhir bagi ahli Parlimen mengemukakan soalan untuk jawapan kementerian pada sesi yang bermula 24 Jun berakhir Rabu.

Anwar dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada mahu hadir majlis angkat sumpah Parlimen sebagai menunjukkan rasa kesal terhadap keputusan PRU13 yang didakwa wujud unsur penipuan.

Azmin: PKR tidak boikot majlis angkat sumpah | PKR tidak berhasrat memboikot majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat seperti mana yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini.

Azmin Ali

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya membuat pusingan 'U' terhadap cadangan penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pembangkang memboikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 24 Jun ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebaliknya menegaskan bahawa wakil rakyat parti itu tetap akan menghadiri upacara tersebut.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali mendakwa ia hanyalah spekulasi semata-mata dan pihaknya menafikan khabar angin itu walhal tindakan boikot itu hanyalah taklimat Parlimen pada 11 Jun lalu sahaja.

"Saya ingin menyatakan bahawa PKR tidak pernah memutuskan untuk memulaukan majlis angkat sumpah.

"PKR dan PR hanya memutuskan supaya memboikot taklimat Parlimen pada 11 Jun lalu.

"Boikot yang telah dijalankan sebagai protes berprinsip terhadap penipuan besar yang dilakukan oleh BN dalam PRU13 lalu," dakwanya yang dipetik dari media sosial Facebook (FB) PKR, malam tadi.

Beliau yang dipetik berkata, semua ahli parlimen PKR akan menghadiri majlis angkat sumpah itu dan berikrar akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan sebaik mungkin setelah dipilih rakyat pada PRU13, 5 Mei lalu.

Rafizi: 'Speaker tak ada hak boikot' | Ahli parlimen PR khususnya PKR tidak gentar jika hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya mereka tidak mengangkat sumpah pada 24 Jun ini.

Rafizi Ramli 

Sebaliknya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kelmarin tidak mengikut perundangan malah Speaker sendiri tidak boleh menolak majlis angkat sumpah pada tarikh lain yang dipersetujui ahli Parlimen PR.

"Itu adalah satu kenyataan yang tidak mengikut undang-undang yang dibuat oleh Speaker Parlimen, dan belum tentu pun dia akan jadi Speaker Parlimen.

"Kalau ikut pemahaman dan tafsiran undang-undang yang kita, Speaker tidak ada hak untuk menolak angkat sumpah kerana ahli Parlimen dilantik oleh rakyat.

"...kuasa yang kami ada sebagai mewakili kuasa rakyat tidak boleh dibatalkan hanya kerana seorang Speaker tunjuk lagak untuk tidak mahu menerima angkat sumpah kita," katanya kepada Sinar Harian Online, di Ibu Pejabat PKR, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa jika ahli parlimen pembangkang memulaukan majlis angkat sumpah dan tidak hadir selama enam bulan berturut-turut di Parlimen, mereka akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Malah katanya, beliau juga boleh bertindak boikot ahli parlimen pembangkang untuk upacara angkat sumpah di hari yang lain.

"Kalau mereka boleh boikot sistem demokrasi, saya juga akan memboikot mereka jika mereka mahu mengangkat sumpah pada hari lain.

"Ahli Parlimen yang tidak mengangkat sumpah tidak akan dibenar berada dalam Parlimen atau menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat," katanya.

-SinarHarian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon