Sunday, June 23, 2013

Samseng Black 505 Belasah 2 Pekerja DBKL


Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di Padang Merbok, di sini semalam kecoh apabila dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang sekumpulan peserta perhimpunan haram itu.


Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kedua-dua anggota terbabit menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak mendirikan khemah di padang berkenaan kerana melanggar Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 iaitu berkumpul tanpa permit dan kesalahan mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974.

Bagaimanapun, kumpulan itu yang tidak berpuas hati bertindak agresif membaling botol air selain mengheret, seterusnya mengasari anggota penguat kuasa itu sebelum mangsa berjaya diselamatkan polis dan ditempatkan sementara dalam kenderaan DBKL.

Peserta terus bertindak di luar kawalan apabila mengerumuni kenderaan terbabit selain mengugut mahu menterbalikkan van itu sebagai memprotes arahan DBKL, namun dihalang anggota polis bertugas.

Keadaan bertambah kecoh apabila kedua-dua anggota penguat kuasa DBKL itu, dibawa keluar daripada van berkenaan diiringi pegawai dan anggota polis termasuk mereka berpakaian awam untuk dihantar ke hospital.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mengesahkan salah seorang daripada anggota penguat kuasa terbabit mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Berdasarkan maklumat yang diterima polis, beberapa khemah didirikan tanpa kebenaran di Padang Merbok oleh kumpulan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Berikutan itu, dua anggota penguat kuasa DBKL bertindak melarang mereka meneruskan pemasangan khemah berkenaan.

Mangsa dipukul

“Bagaimanapun, ketika melaksanakan tugas itu, kedua-dua mereka dilaporkan dipukul, dengan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan dan terpaksa dihantar ke HKL untuk rawatan,” katanya.

Chin Wah berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk mengenalpasti individu yang melakukan serangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika ditemui, berkata walaupun berlaku kekecohan, keadaan secara keseluruhannya adalah terkawal dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop dalam kiriman sms malam tadi, memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Dalam kejadian berasingan, kira-kira 10 peserta perhimpunan memanjat landasan KTMB berhampiran Padang Merbok sehingga menyebabkan perjalanan komuter dari Batu Caves menuju ke Pelabuhan Klang tergendala selama hampir 15 minit.

Pembangkang degil terus berhimpun di Padang Merbok

Pembangkang menolak tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan mereka di Stadium Merdeka, sebaliknya berdegil untuk terus berhimpun di Padang Merbok di sini walaupun tanpa permit.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata selepas berbincang, kepemimpinan pakatan pembangkang sebulat suara bersetuju untuk tidak menerima cadangan dikemukakan kerajaan.

“Memang pada mulanya saya bersetuju untuk kita mengakhiri perhimpunan ini di Stadium Merdeka dengan berarak dari Padang Merbok tetapi disebabkan banyak pergerakan, kita memilih untuk tidak menerima cadangan itu,” katanya ketika berucap pada perhimpunan haram itu, semalam.

Anwar juga mengakui banyak pihak meminta supaya pembangkang menangguhkan perhimpunan berkenaan berikutan cuaca jerebu yang boleh mengganggu kesihatan.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pihaknya akan membuat laporan polis jika penganjur perhimpunan itu tetap meneruskan rancangan untuk mengadakannya di Padang Merbok.

“Pintu Stadium Merdeka juga sudah dibuka untuk mereka, cuma mereka perlu berurusan dengan polis untuk mendapatkan permit,” katanya selepas meninjau sekitar Padang Merbok bagi memberi sokongan kepada pegawai dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertugas di situ, tengah hari semalam.

-Bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon