Sunday, June 02, 2013

Pesawat Dron US Berjaya Membunuh Timbalan Ketua Pergerakan Taliban


Serangan sebuah pesawat dron tanpa juruterbang yang membunuh seorang timbalan ketua sebuah pergerakan Taliban di Pakistan, Waliur Rehman merupakan satu isyarat jelas yang dibuat oleh pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat (AS).

Dron tanpa juruterbang, Fire Scout Mq-8B.

Isyarat itu menunjukkan CIA bakal melancarkan serangan rahsia ke atas para militan di utara Pakistan tanpa memberitahu mana-mana pihak.

Ia juga merupakan isyarat bahawa serangan rahsia seperti itu akan diteruskan walaupun Presiden AS, Barack Obama membuat janji pada minggu lalu bahawa akan terdapat ketelusan dalam program penggunaan dron.

Sebuah dron milik CIA itu berlepas dari Afghanistan dan melancarkan serangan di kawasan penduduk suku kaum yang terpencil di Pakistan pada Rabu lalu.

Pihak CIA percaya, Waliur yang merupakan Timbalan Ketua Tehrik-e-Taliban Pakistan, tinggal di lokasi itu.

Pergerakan Taliban kemudian mengesahkan kematian Waliur yang dipercayai salah seorang perancang utama dalam serangan pengebom berani mati di sebuah pangkalan CIA pada tahun 2009 yang menyebabkan tujuh warga AS terbunuh.

Seorang jurucakap White House, Jay Carney pada Rabu lalu menyatakan, Waliur bertanggungjawab dalam serangan merentasi sempadan di Afghanistan dengan menyerang askar-askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara termasuk serangan membawa maut ke atas anggota-anggota tentera Pakistan dan orang awam.

Bagaimanapun, beberapa pegawai pejabat Presiden AS itu tidak membuat sebarang pengesahan berhubung serangan itu sekali gus mencetuskan persoalan tentang isu ketelusan walaupun Obama membuat janji dalam ucapannya pada minggu lalu tentang keselamatan negara bahawa beliau akan menjadi lebih telus berkaitan isu serangan antipengganas AS.

Serangan yang membunuh Waliur berusia 42 tahun itu merupakan yang pertama dilakukan selepas Obama mengumumkan garis panduan baharu tentang penggunaan dron itu.

Seorang lagi jurucakap White House, Josh Earnest kelmarin juga tidak membuat pengesahan tentang serangan yang membunuh Waliur tetapi beliau hanya menyatakan bahawa Obama berasa bertanggungjawab untuk melindungi tentera AS dalam peperangan di Afghanistan yang turut melibatkan Pakistan selain menyediakan perlindungan untuk askar-askar negaranya.

Dalam ucapan itu, Obama mengumumkan garis panduan baharu tentang dasar Presiden AS berhubung piawaian yang digunakan pentadbirannya apabila membuat keputusan untuk melancarkan serangan yang membawa kematian.

Piawaian itu termasuk garis panduan untuk melancarkan serangan hanya ke atas sasaran yang dianggap membawa ancaman terhadap keselamatan negara AS. Garis panduan itu turut menyatakan, serangan tersebut akan dilakukan jika sasaran serangan itu gagal untuk ditangkap.

Obama juga menyatakan keutamaannya untuk menggunakan tentera dan bukan CIA bagi tujuan melakukan serangan seumpama itu.

Bagaimanapun, Presiden AS itu memberi petunjuk bahawa CIA mungkin akan meneruskan kawalan program rahsia dron di tempat-tempat lain seperti Pakistan dan Yemen.

Pihak CIA telah mendapat kebenaran daripada pemerintah Yemen untuk melakukan serangan seperti itu.

Namun, dron agensi perisikan AS itu beroperasi tanpa mendapat kebenaran di Pakistan walaupun bakal Perdana Menteri negara itu, Nawaz Sharif menuntut supaya program dron tersebut ditamatkan.

Program penggunaan dron itu telah menyebabkan lebih 3,000 orang terbunuh sejak tahun 2004.

Menerusi program dron itu, puluhan militan termasuk Timbalan Ketua Al-Qaeda, Abu Yahya al-Libi terbunuh pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa pegawai AS berkata, ucapan Obama itu bertujuan untuk meredakan kontroversi berhubung serangan dron dengan membuat janji bahawa pihak tentera akan melancarkan serangan pada masa depan jika ia dianggap perlu dilakukan.

Beberapa pegawai AS juga menyatakan, serangan dron akan terus dilakukan dan ia akan dilancarkan di Pakistan dari Afghanistan atau dari lokasi tempat pergerakan Al-Qaeda serta sekutu-sekutunya beroperasi. Para pegawai itu turut memberitahu, pentadbiran pemerintah tempatan tidak mampu untuk bertindak balas berhubung serangan itu.

Dalam pada itu, seorang penganalisis keselamatan, Hasan Askari berkata, serangan dron itu akan meningkatkan tekanan ke atas Taliban kerana pergerakan itu tidak mampu untuk melancarkan serangan balas terhadap tentera AS.

"Ia merupakan satu tamparan buat Taliban Pakistan. Serangan itu menunjukkan kemampuan AS dan ia akan melakukan lebih banyak kesan psikologi terhadap Taliban," katanya.

-AP/AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon