Saturday, June 29, 2013

Penutupan Jonker Walk Adalah Penganiayaan Kepada Pusat Penjualan Barangan Tiruan?


Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron diserang bertalu-talu oleh parti-parti yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP kerana menutup Jonker Walk dengan alasan tindakan itu melenyapkan salah satu tarikan pelancong ke negeri itu.


Menurut blog House PK (parpukari.blogspot.com), media yang dikuasai oleh kaum Cina juga membantah keputusan Kerajaan Negeri Melaka dan bersedia mengadakan kempen bagi mempertahankan Jonker Walk - pasar malam ala Petaling Street di Kuala Lumpur yang dimonopoli sepenuh oleh kaum-kaum tertentu sahaja.

Justeru, kata blog ini, jika DAP berteriak mempertahankan Jonker Walk, beliau bersama rakan-rakan penulis blog lain akan mempertahankan keputusan Idris.

Wak Jengkol (ulatdankulat.blogspot.com) turut menilai Jonker Walk tidak lebih sebagai pusat jualan barangan tiruan oleh para peniaga haram yang seratus peratus dikuasai oleh kaum-kaum tertentu.

"Ketegasan Idris terhadap peniaga-peniaga haram yang sekian lama beroperasi di Jonker Walk wajar menjadi contoh yang perlu diikut dan dilaksanakan oleh pemimpin Melayu lain di negeri-negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

"Jika di Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh menganiaya peniaga-peniaga Melayu atas nama undang-undang jadi apa masalahnya kalau Ketua Menteri Melaka itu menutup terus Jonker Walk dengan menggunakan pendekatan serupa?" katanya.

Blog The Unspinners (theunspinners.blogspot.com) pula hairan dengan sikap DAP yang begitu emosi dengan tindakan Kerajaan Negeri Melaka itu sedangkan ia bertujuan melancarkan aliran trafik di bandar raya bersejarah itu.

"Sekarang DAP Melaka melalak-lalak membantah penutupan pasar malam tersebut. DAP kata Ketua Menteri Melaka tidak demokratik dan berdendam kepada pengundi-pengundi Cina di Kota Melaka.

"Ini bukan soal dendam, ini soal kamu (peniaga) tidak mematuhi peraturan dan undang-undang. Kamu berniaga tanpa lesen dan jual barang tiruan, itu satu kesalahan," katanya mempertahankan keputusan tersebut.

Helen Ang (helenang.wordpress.com) turut mengambil bahagian dalam isu ini. Beliau membidas Presiden MCA yang turut membantah keputusan tersebut dengan alasan Melaka bakal kehilangan salah satu tarikan pelancong ke negeri itu.

Bidas beliau: "Betulkah Jonker Walk ada mempamerkan kekayaan pelbagai budaya Malaysia ataupun ia sebenarnya lebih menjurus kepada penjualan barangan tiruan buatan dari China?"


Blog Melayu Maju (siemens-melayumaju. blogspot.com) turut membidas DAP yang terus menerus membuat provokasi dengan membangkitkan isu perkauman dan balas dendam berhubung penutupan Jonker Walk.

"Jika kerajaan Cina DAP boleh meruntuhkan premis perniagaan milik Melayu sesuka hati. Menutup bazar Ramadan yang rata-ratanya dijalankan oleh peniaga Melayu sesuka hati, berlandaskan kepada undang-undang, mengapa tidak kerajaan negeri Melaka?

"Adakah undang-undang hanya terpakai terhadap kaum Melayu sahaja, tetapi tidak terhadap kaum Cina?" bidas blog ini.

Blog Jiwa Paradox (alamijiwaparadox. blogspot.com) pula menempelak mereka yang membantah keputusan tersebut dan menjelaskan bahawa kerajaan negeri Melaka bukan menutup Jonker Walk, tetapi hanya membuka semula laluan tersebut untuk pengguna jalan raya.

Blog ini juga menempelak DAP yang cuba mengaitkan penutupan Jonker Walk dengan bazar Ramadan. Memetik kenyataan Tony Phua yang mahukan agar bazar Ramadan juga patut ditutup, kata Jiwa Paradox:

"Jangan pusing fakta untuk keuntungan politik kau. Bazar Ramadan ini setahun sebulan saja, bukan sepanjang tahun. Aku harap orang Pas boleh buka mata dengan kejahatan yang dibawa sekutu mereka ini.

"Ramai juga orang Pas yang berniaga di bazar Ramadan. Takkan nak setuju juga dengan DAP yang cuba menutup rezeki kalian ini?"

-Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon