Thursday, June 13, 2013

Pekerja Malang! Gaji RM8 Sebulan Selama 40 Tahun


Demi sesuap nasi, dua orang wanita dari India telah menghambakan diri selama 40 tahun melakukan kerja-kerja mencuci tandas.


Percaya atau tidak, selama tempoh tersebut mereka mendakwa hanya dibayar sebanyak RM254 ringgit!

Itulah nasib malang yang dialami oelh kedua-dua wanita bernama Akku dan Lela Sherigar. Menurut kedua-dua wanita ini, mereka mula bekerja sebagai pencuci tandas ketika berumur 18 tahun pada tahun 1971.

Semenjak hari itu, mereka dipertanggungjawabkan untuk mencuci dan membersihkan tandas sebuah bangunan milik kerajaan di Institut Latihan Guru Wanita India.

Sepanjang tempoh itu, mereka diharuskan bekerja selama tujuh hari dalam seminggu. Lebih malang, mereka tidak mendapat apa-apa bayaran walaupun diarahkan bekerja pada hari minggu.

Hasilnya, wanita senasib ini cuma menerima gaji tahunan sebanyak RM8 setahun! Sangat tidak berbaloi dengan komitmen dan tenaga yang dicurahkan.

Menurut Akku dan Leela, sebelum ini mereka pernah dijanjikan dengan kenaikan gaji oleh pihak majikan. Namun sehingga hari ini, janji tersebut tidak dikotakan menyebabkan mereka mula hilang sabar.

Disebabkan itu, dua wanita berkenaan mengambil keputusan untuk memohon agar nama mereka disenaraikan dalam Guinness Book of World Records - sebagai individu yang dibayar gaji paling rendah di dunia.

Tindakan yang dilakukan oleh Akku dan Leela itu akhirnya mendapat reaksi orang ramai. Kebanyakan daripada mereka menyokong hasrat dua orang wanita tersebut. Tidak terkecuali juga ramai yang meluahkan rasa terkejut dan tidak percaya selepas mendapat tahu nilai gaji yang tidak setimpal diterima oleh dua orang pencuci tandas itu.

Malah, kisah mereka berdua turut mendapat liputan meluas daripada pelbagai agensi, termasuklah media cetak dan elektronik. Hinggakan ia menjadi satu berita hangat yang diperkatakan oleh semua orang.

Pada tahun 2001, dua orang wanita berkenaan membuat aduan di Tribunal Pengurusan Karnataka, yang terletak di daerah Udupi selatan India. Tindakan mereka itu bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang di pihak majikan.

Entah dimana silapnya dan tanpa sebarang penjelasan daripada pihak terbabit, gaji dua orang wanita ini tidak dibayar.

Bak kata pepatah, 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul', namun kedua-duanya tidak cepat melatah. Meskipun upah tidak dibayar, mereka tetap meneruskan tugas harian dengan mencuci 21 buah tandas sebanyak tiga kali sehari dan tujuh hari dalam seminggu.

Cuba anda bayangkan betapa tabahnya mereka bekerja selama lebih 10 tahun tanpa dibayar gaji hingga sekarang!

Menurut Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Udupi, India, Ravindrananth Shanbhag, ramai pekerja wanita khususnya di India mengalami masalah seperti ini. Pihak pertubuhan telah melakukan sedaya-upaya untuk membawa kes seperti ini ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, jelas Shanbhag masalah yang melibatkan isu pembayaran gaji sebenarnya terlalu sukar untuk diselesaikan. Meskupun wujud tribunal untuk membela nasib pekerja di negara India, ia bagaikan tidak berkesudahan. Malah tiada jalan penyelesaian positif yang dapat dicapai.

Begitu juga kes yang dialami Akku dan Leela. Pada peringkat perbincangan di Tribunal Pengurusan Karnataka sekitar tahun 2003, pihak majikan tetap berdegil tidak mahu membayar tuntutan dua orang pekerja mereka itu, meskipun telah diarahkan oleh pihak kerajaan untuk berbuat begitu.

Pada tahun 2004, perkara sama turut berlaku apabila memasuki fasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Karnataka. Tidak berhenti di situ, tuntutan tetap diteruskan sehingga pada tahun 2010. Malangnya, pihak majikan langsung tidak mengendahkan hal itu. Lebih teruk, mereka tetap dengan keputusan untuk tidak membayar upah dua orang pekerja wanita itu.

Jelas Akku dan Leela, mereka akan terus berusaha dan tidak sesekali berputus asa selagi hak mereka belum dikembalikan.

Malah, mereka turut berharap pihak mejikan dapat menunaikan apa yang dijanjikan sebelum ini.

-SP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon