Sunday, June 30, 2013

Misteri Di Sebalik Supernova Bintang-bintang Gergasi


Ia merujuk peristiwa suatu bintang menjadi terang secara tiba-tiba. Nova ialah perkataan Latin yang bererti ‘baru’. Apabila kestabilan suatu bintang diganggu oleh bintang yang bersebelahannya, bintang tersebut akan meletup lalu mengeluarkan cahaya yang amat cerah.


Tenaga yang terhasil daripada bintang nova dalam masa beberapa hari boleh disamakan dengan jumlah tenaga yang dijanakan oleh matahari dalam masa 10,000 tahun. Pada tahun 1975, berlaku satu nova yang telah didokumentasikan secara terperinci oleh ahli astronomi dan ia diberi nama ‘Nova Cygni’.

Perkataan super di hadapan perkataan nova menunjukkan bahawa letupan yang berlaku adalah jauh lebih hebat daripada letupan nova, malah kecerahaannya adalah beribu kali kecerahan nova.

Cahaya yang dihasilkan menghampiri kecerahan bulan dan ia boleh dilihat walaupun pada waktu siang.tenaga yang terhasil dalam masa satu saat adalah sama dengan jumlah tenaga yang dihasilkan oleh matahari selama 60 tahun.

Tenaga yang terhasil dalam masa beberapa hari pula adalah setara dengan tenaga yang dihasilkan oleh berjuta bintang dalam sebuah galaksi. Dalam kedua-dua letupan, gas-gas panas disembur keluar, tetapi berbeza daripada letupan nova. Letupan supernova menandakan kematian sebuah bintang yang amat berat.

Dalam galaksi Bima Sakti (Milky Way), hanya satu supernova dicerap dalam tempoh lebih kurang 140 tahun. Ini bererti sejak 2000 tahun yang lampau, sebanyak 14 supernova telah dikenalpasti.

Satu kejadian supernova yang hebat telah dicerap di buruj Taurus oleh pakar astronomi China pada tahun 1054. Walaupun telah lama berlalu, sisa awan gas daripada letupan itu masih dapat dilihat sehingga kini. Awan gas ini dinamakan Nebula Ketam (Crab Nebula).

Supernova ini juga dipercayai telah dilihat di Arizona dan New Mexico. Selain itu, banyak lagi supernova telah dicerap antaranya pada tahun 185, 393,1006, 1181, 1575 dan 1604. Supernova yang dicerap pada tahun 1006, 1572 dan 1604 berlaku di dalam galaksi Bima Sakti.

Pada 24 Februari 1987, seorang ahli astronomi Kanada telah terlihat satu supernova dari sebuah balaicerap di Chile. Pada mulanya dia melihat satu objek yang malap di Awan Magellan Besar (Large Magellanic Cloud). Objek itu tiba-tiba menjadi cerah sehingga mencapai magnitud kecerahan 4.5 dalam masa beberapa jam dan dapat dilihat dengan mata kasar. Kecerahan itu kekal untuk beberapa bulan dan pudar secara beransur-ansur.

Letupan supernova berlaku pada bintang yang amat berat, hampir 30 kali lebih berat daripada matahari. Seperti bintang-bintang lain, bintang ini pada mulanya menukarkan hidrogen kepada helium di terasnya. Lama-kelamaan kadar pembakaran hidrogen berkurangan lalu teras mula menyejuk.

Ini mengakibatkan lapisan gas-gas di bahagian luar teras diserap ke dalam dan teras akan terus mengecut. Dengan itu suhu teras meningkat dan menjadi cukup tinggi untuk menukar helium menjadi karbon dan oksigen.

Suhu teras meningkat lagi menyebabkan tindakbalas terus berlaku sehingga teras menjadi besi. Apabila bintang kehabisan hidrogen untuk dibakar, penghasilan besi di bahagian dalam teras terhenti lalu teras mula menyejuk dan mengecut sekali lagi.

Kali ini, pengecutan yang berlaku menyebabkan teras terus dipadatkan sehingga akhirnya yang tinggal di teras hanyalah neutron-neutron.

Bintang tidak lagi dapat menampung beratnya. Jika wujud gangguan walaupun sedikit akan menyebabkan letupan yang sangat kuat yang dinamakan supernova.

Rujukan: Mazlan Othman, 1987. Astronomi Sezaman.

[Sumber]

1 comment

  1. Assalammualaikum..,kekawan...

    Tidak kamu lihat kepada bintang2,bulan dan matahari di langit adalah bukti kejadian yang Allah ciptakan ... begitu juga dengan penciptaan langit dimanakah kaki langit tidak kah kekawan berfikir itu adalah bukti agung-Nya penciptaan-Nya ...Allahuakbar....

    mselim3

    pls: rasa agung dan indahnya ciptaan-Mu Ya Allah...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon