Sunday, June 30, 2013

Lelaki Mati Terkejut Bil Elektrik Naik


Di Colombo, seorang lelaki maut selepas diserang sakit jantung sejurus melihat bil elektrik yang mengejutkan.

Gambar hiasan

Kejadian berlaku ketika mangsa berada di pejabat Lembaga Elektrik Sri lanka kerana membantah kenaikan bil elektriknya secara mendadak. Dia yang dimaklumkan bahawa kenaikan itu berpunca daripada peningkatan kenaikan tarif sejak bulan lalu diserang sakit jantung lalu rebah dan mati, lapor akhbar Ceylon Today.

Akhbar berkenaan tidak menyebut jumlah bil mangsa kecuali berkata, ia selaras dengan peningkatan tarif baru sebanyak 50 peratus.

Lelaki terbabit, SP Samaradasa rebah di atas kerusi, lapor akhbar berkenaan di muka depannya dengan tajuk ‘Tarif elektrik ragut mangsa pertama.’

“Punca kematian dikenal pasti sebagai serangan sakit jantung,” menurut akhbar itu.

Samaradasa mati setibanya di hospital.

Sri Lanka merupakan antara negara dengan tarif elektrik paling mahal di Asia apabila kos satu kilowatt sejam ditetapkan sebanyak 47 rupee (RM1.21).

Kira-kira dua pertiga tenaga elektrik diperoleh menerusi arang batu atau minyak sementara bakinya dari stesen tenaga hidro yang tidak boleh berfungsi ketika kemarau. Pihak berkuasa elektrik negara itu berkata, ia akan mengalami kerugian RM2.25 juta tahun ini.

Bagaimanapun, kenaikan tarif yang bermula Mei lalu itu akan mengurangkan unjuran kerugian kepada RM675 juta. –AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon