Monday, June 24, 2013

Dewan Rakyat Kecoh Laungan Ini Kalilah!


Hari pertama persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ke-13 bermula kecoh apabila wakil rakyat pembangkang mempersoalkan mengenai proses pengundian bagi memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru.


Kekecohan mula ditimbulkan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang membangkitkan mengenai keperluan ahli Dewan menulis nama masing-masing di kertas undi.

Katanya berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4, ahli Dewan hanya perlu menandatangani kertas undi tanpa perlu menulis nama.

Bagaimanapun Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah tidak mengendahkan bantahan yang ditimbulkan Mahfuz.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, ini bukan kali pertama Dewan Rakyat mengadakan pengundian bersurat. Sila teruskan proses mengundi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Bagaiamanapun jawapan Roosme menimbulkan rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) berkata proses berkenaan sangat memalukan apabila proses pemilihan itu tidak mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada Isnin bermula dengan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dua tokoh dicadangkan bagi merebut jawatan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia, 58 sebagai Speaker Dewan Rakyat mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara di pihak pembangkang, Tan Sri Abdul Khalid (PKR-Bandar Tun Razak) mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker.

Cadangan itu disokong Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Keputusan menyaksikan Pandikar Amin menang dengan majoriti 133 undi sementara Abdul Kadir memperoleh 89 undi.

Ini kalilah!

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyeru semua Ahli Dewan Rakyat supaya berubah dan melakukan transformasi dalam usaha memartabatkan Parlimen Malaysia.

Menerusi ucapannya selepas dipilih semula sebagai Speaker Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-13, Pandikar Amin mencuri tumpuan persidangan apabila melaungkan beberapa slogan yang dipopularkan kerajaan dan pakatan pembangkang.

Katanya slogan seperti ‘ubah’, ‘transformasi’, ‘reformasi’ dan ‘ini kalilah’ yang dilaungkan pemimpin politik dan rakyat perlu dilihat dari sudut positif untuk kebaikan semua pihak.

“Bagi mereka yang mempopularkan seruan ini mungkin mempunyai pengertian tersendiri, akan tetapi seruan-seruan ini bermesej iaitu menyeru mengubah sikap untuk membuat kebaikan.

“Ayuh kita ubah, kita bereformasi, kita bertransformasi…kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi? Ini kalilah.

“Ini kalilah…kita julang memartabatkan Parlimen Malaysia ke tahap yang tinggi dengan menunjukkan sikap yang baik,” katanya sambil disambut tepukan ahli Dewan Rakyat.

-mStar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon