Thursday, June 13, 2013

Berita Global Menarik Hari Ini #1/13


Lelaki berusia 116 tahun meninggal dunia


Lelaki paling tua di dunia, Jiroemon Kimura menghembuskan nafas terakhirnya semalam pada usia 116 tahun.

Kimura yang lahir pada tahun 1897 meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kyotango, Kyoto, Jepun akibat sakit tua.

Dia mula dimasukkan ke hospital pada Mei lalu kerana mengalami pneumonia. Sejak beberapa hari lalu, doktor yang merawatnya memberitahu, keadaan Kimura semakin tenat.

Pada Disember 2012, Kimura diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai manusia tertua di dunia selepas seorang wanita dari Amerika Syarikat yang berumur 115 tahun meninggal dunia.

Kimura turut memecahkan satu lagi rekod apabila dia disahkan sebagai lelaki yang hidup paling lama selepas mencapai usia 115 tahun dan 253 hari.

Lelaki yang bekerja di sebuah pejabat pos selama 40 tahun itu meninggalkan tujuh orang anak, 14 cucu, 25 cicit dan 15 orang piut. -AFP

Ibu buang bayi sendiri dalam salur sampah flat

Jaymin Abdulrahman

Seorang wanita cuba membunuh bayi perempuannya yang baru berusia enam hari dengan membuang menerusi salur sampah setinggi lebih 40 kaki.

Wanita dikenali sebagai Jaymin Abdulrahman, 25 didakwa di mahkamah semalam kerana membuang bayinya dengan meletakkannya dalam pelongsor sampah dari flatnya di tingkat lima.


Jaymin cuba membunuh bayi perempuannya yang baru berusia enam hari dengan membuang menerusi salur sampah setinggi lebih 40 kaki.

Bayi itu kemudian ditemui bapanya sendiri keesokan hari selepas dibuang dalam keadaan tidak bermaya.

Bayi itu kemudian disahkan mengalami kerosakan otak dan juga keretakan pada tengkorak.

Jaymin pada mulanya memberitahu bayinya diculik dan menafikan dakwaan cubaan membunuh yang dikenakan ke atasnya.

Kes dibacakan di Birmingham Crown Court, semalam. -Dailymail

Rusia tawar suaka politik kepada bekas ejen CIA yang belot

Edward Snowden

Rusia menawarkan suaka politik kepada pembocor maklumat rahsia Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden tanpa syarat.

Media tempatan melaporkan pada AP, bekas ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) berusia 29 tahun itu kini menjadi pelarian politik selepas mengaku bertanggungjawab membocorkan rahsia kerajaan AS menerusi projek pengintipan yang boleh mengintip mana-mana individu dengan menggunakan internet dan talian telefon.

“Bekas pegawai teknikal itu kini berada di Hong Kong setelah melarikan diri dari Hawaii dan sedang menimbang untuk mencari perlindungan politik di Iceland,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, Presiden Vladimir Putin bersedia menawarkan perlindungan kepada Snowden.

Jurucakap Putin, Dmitry Peskov sebagai berkata, Rusia bersedia menerima kedatangan Snowden jika dia membuat permintaan rasmi.

Akhbar AS melaporkan, Snowden dikatakan telah meninggalkan hotel penginapannya di Hong Kong sejak minggu lalu.

“Kerajaan AS kini menerima desakan daripada ahli Kongres dan Senat yang mahu Snowden diekstradiksi untuk dibawa pulang dan dibicarakan mengikut undang-undang tempatan,” memetik laporan itu. -SinarHarian

Penduduk England gempar tangan putus ditepi jalan


Gurauan seorang jurusolek artis amatur ternyata menjadi apabila‘tangan putus’ yang direka dan ditinggalkan di tepi jalan jadi tumpuan ramai.

Polis juga terpaksa dipanggil bagi menyiasat kewujudan tangan manusia yang putus itu.

Paul Plumber, 34, mencipta tangan palsu yang sudah putus dan dalam keadaan ngeri di tepi jalan dan meninggalkannya untuk dijadikan bahan tontonan kepada sesiapa yang lalu di kawasan itu.

Gurauan itu ternyata tidak menjadi apabila salah seorang orang awam yang lalu di kawasan itu menghubungi polis kerana mempercayai tangan palsu itu merupakan tangan manusia yang betul.

Plumber terpaksa mengakui kepada polis beliau hanya cuba bergurau kepada orang yang lalu-lalang di tepi jalan di tepi jalan Hyson Green.

“Kami hanya memberi nasihat kepada Plummer berhubung tindakan gurauannya yang tidak kena pada tempat itu,” kata salah seorang pegawai polis Nottingham.

Lelaki Di China Kantoi Menipu Selepas Dakwa Menyimpan Mayat Makhluk Asing

Li menyimpan makhluk asing itu di dalam peti sejuknya.

Seorang lelaki China dicop penipu selepas mendakwa menyimpan satu mayat makhluk asing di dalam petik sejuknya.

Li Kai mencetuskan kegamatan apabila memuat naik beberapa gambar yang didakwanya mayat makhluk asing itu.

Bagaimanapun, penipuannya itu terbongkar selepas polis melancarkan siasatan berhubung cerita luar biasanya.

Li, dari Binzhou di wilayah Shangdong menulis dengan panjang lebar di dalam Sino Weibo, laman seperti Facebook di China, mengenai penemuan luar biasanya. Dia menceritakan bagaimana dia menemui makhluk bintang Marikh selepas mengekori beberapa pesawat UFO sepanjang Sungai Kuning di China.

Dia mendakwa melihat lima makhluk asing itu, termasuk seorang yang terhempas ke tanah selepas terkena perangkap arnab bervoltan tinggi yang dipasangnya.

Li seterusnya berkata, dia mengambil mayat itu dan membawanya pulang serta menyimpannya dalam peti sejuk.

Gambar itu menunjukkan wajah makhluk asing berkenaan dengan mata besar dan tangan yang kelihatan berurat serta sebungkus rokok merah pada tapak tangannya.

Gambar lain pula menunjukkan kaki makhluk itu diikat.

Bagaimanapun, kesangsian mengenai cerita Li itu timbul dan dia dipanggil oleh polis untuk disoal siasat.

Dia bertegas mendakwa ceritanya itu benar dan berkata ujian DNA membuktikan ‘makhluk asing’ itu memang datang ke bumi.

Li kemudian memberitahu pengikutnya bahawa polis menyekat berita itu dan mendesak supaya dia berdiam diri.

Bagaimanapun temberangnya terbongkar apabila polis mengumumkan penemuan menakutkan itu sebenarnya ialah ‘makhluk asing’ getah yang dibuat sendiri.

Polis Shandong semalam berkata, Li mengaku bahawa ceritanya itu palsu.

Menurut pegawai, lelaki itu membelanjakan lebih 120 yuan (RM65) untuk membuat ‘makhluk asing’ itu dengan getah dan bahan lain yang dibeli dari sebuah pasar tempatan berdekatan. -The Sun

Doktor Di Saman Gara-gara Zakar Tegang Selama 8 Bulan

Daniel Metzgar

Seorang pemandu trak menyaman seorang doktor selepas kemaluannya tegang selama lapan bulan dan kantung buah zakarnya membesar seperti bola tampar setelah menjalani pembedahan implan kemaluan.

Daniel Metzgar, 44, menjalani pembedahan itu pada 2009. Mahkamah Agung New Castle County di Wilmington, semalam diberitahu, pembedahan itu gagal dilakukan dengan sempurna.

Peguam pemandu trak itu, Michael C Heyden, memberitahu mahkamah, kegiatan harian Metzgar seperti menunggang motosikal atau mengambil surat khabar, menjadi masalah kerana kemaluannya yang sentiasa tegang.

Lelaki itu memasukkan tiga implan kemaluan boleh kembung dan ia dilakukan oleh Dr Thomas J Desperito.

Bagaimanapun, peguam pakar urologi itu yang menolak tuduhan bertanggungjawab terhadap masalah menimpa Metzgar berkata, kesan perubatan yang buruk boleh berlaku tanpa kesilapan sesiapa.

Mereka berkata, Metzgar sepatutnya menyedari kesilapan berlaku apabila kantung buah zakarnya membengkak sehingga sebesar bola tampar selepas pembedahan pada Disember 2009 itu.

Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai masalah itu sehingga April 2010.

Colleen D Shields yang mewakili Desperito memberitahu mahkamah, doktor itu menasihatkan pesakitnya menjalani pembedahan kedua empat bulan selepas pembedahan pertama mengeluarkan implan apabila dia mengadu berlaku jangkitan dan kemaluannya tegang berterusan.

Meskipun diberi amaran, Metzgar enggan bertindak sehingga beberapa bulan kemudian.

Kemaluan palsu itu akhirnya dikeluarkan pada 2010. Metzgar memberitahu mahkamah, dia terpaksa memencilkan diri dan mengelak majlis sosial kerana malu dengan kedudukan kemaluannya.

“Saya langsung tidak boleh menari dengan keadaan kemaluan yang tegang mencucuk teman saya,” katanya.

Metzgar dan isteri, Donna, menuntut bayaran ganti rugi yang tidak disebut jumlah daripada Desperito dan kumpulan perubatannya. -DM

Salman disyaki terbabit kematian Jiah Khan


Hari demi hari kes bunuh diri aktres Bollywood Jiah Khan menyaksikan pendedahan yang mengejutkan.

Selepas surat enam halaman Jiah didedahkan kepada umum oleh ibunya, Rabiya Khan dan anak lelaki Aditya Pancholi, Suraj ditahan kerana dakwaan mendorong kepada tindakan bunuh diri, lagi pendedahan baru dibuat ibunya.

Dalam satu wawancara dengan tabloid India, Rabiya berkata, aktor Salman Khan cuba memujuk Suraj agar memutuskan hubungan dengan Jiah. Dia juga berkata, bapa Suraj, Aditya berang apabila mendengar anak lelakinya menjalin hubungan dengan Jiah dan meminta bantuan Salman untuk menyelesaikan perkara itu.

“Saya tahu dia (Aditya) meradang apabila mendapat tahu mengenai hubungan anak lelakinya dengan anak perempuan saya. Malah, dia juga memberitahu Salman agar menasihati Suraj mengenainya,” lapor tabloid itu memetik kenyataan Rabiya.

Tetapi Rabiya menjelaskan bahawa apabila Suraj memberitahu aktor itu dia mencintai Jiah, Salman memahami perasaannya dan dapat menerima hakikat itu.

Syarikat penerbitan Salman akan menampilkan Suraj dalam pembikinan semula filem “Hero” dan Suraj turut menjadi pembantu pengarah dalam filem arahan Salman, “Ek Tha Tiger”.

Rabiya juga mendakwa tingkah laku Suraj berubah selepas dia menanda tangani filem baru dengan syarikat penerbitan Salman.

Dengan keadaan yang sudah berubah, tidak diketahui sama ada Salman masih membela Suraj atau dia perlu memikirkan semula mengenai keputusannya.

Tetapi, buat masa ini yang pasti nama Salman turut dikaitkan dengan episod bunuh diri Jiah Khan. -Bollywood Times

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon