Saturday, June 01, 2013

Adakah Nurul Izzah Penjenayah Paling Kejam Bagi Rakyat Sabah?


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mempertikaikan tindakan kerajaan Sabah melarang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar daripada memasuki negeri itu malam semalam.


Ketua Penerangannya, Riduan Mohd. Nor yang berang dengan perkembangan tersebut turut menyindir kerajaan Sabah dengan membandingkan larangan yang dikenakan ke atas pemimpin pembangkang itu dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu sebelum ini.

(Baca: Nurul-Izzah Di Halang Memasuki Sabah Sempena Tadau Kaamatan Satu Tragedi)

“Nurul Izzah dianggap seperti insan yang paling berdosa dan penjenayah paling kejam bagi rakyat Sabah. Mungkin beliau adalah pengganas Sulu yang paling dikehendaki atau individu yang memiliki senjata api dan boleh membunuh rakyat di sana. Kerana itu beliau diharamkan dari menjejak kaki ke negeri tersebut,” sindirnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Riduan seterusnya mendakwa larangan memasuki Sabah yang dikenakan keatas Nurul Izzah tidak sepatutnya berlaku kerana setiap rakyat Malaysia berhak untuk melancong atau merantau ke setiap negeri dalam negara ini.

Dakwanya, warga Malaysia yang memiliki kad pengenalan sah dan tidak mempunyai rekod jenayah serta tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan tidak sepatutnya dihalang daripada memasuki Sabah.

“Tatkala pengganas Sulu berjaya menjejak dan mendarat di Lahad Datu, Nurul Izzah pula yang baharu sahaja dinobatkan sebagai Ahli Parlimen dinafikan hak untuk sampai ke Sabah,” sindirnya lagi.

Media semalam melaporkan Jabatan Imigresen Sabah mengesahkan bahawa larangan terhadap Naib Presiden PKR tersebut daripada memasuki Sabah dibuat mengikut lunas undang-undang.

Pengarahnya, Noor Alam Khan A. Wahid Khan dipetik sebagai berkata, larangan itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan pihaknya hanya mematuhi arahan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri.

“Beliau ditolak masuk mengikut Seksyen 65 (1)(a) Akta Imigresen 1959/1963 atas arahan pihak Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

-Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon