Monday, May 13, 2013

Satu-satunya Pulau Di Dunia Khusus Untuk Wanita


Iran lebih dikenali kerana kontroversi program nuklearnya walaupun Presiden Ahmadinejad telah berkali-kali menafikan tuduhan Amerika Syarikat itu.

Wanita Iran tetap diwajibkan untuk memakai purdah
 walaupun mandi di pantai. - Gambar hiasan

Ia juga popular dengan dua ikon bandar lama iaitu Shiraz dan Isfahan.

Bandar Shiraz yang seluas 339 kilometer persegi tersohor dengan seni bina bersejarah, antaranya, Makam Ali Hamzein, Kubu Karem Khan dan pusara penyair Hafeiz.

Isfahan pula yang mendapat jolokan 'Separuh Daripada Dunia' menonjol dengan kehebatan arkitekturnya seperti Dataran Imam, Istana Ali Gapu, Istana Chahel-Sotoon dan Masjid Jamek Isfahan.

Dataran Imam yang didirikan pada tahun 1602 merupakan dataran kedua terbesar di dunia selepas Dataran Tiananmen di China.

Walaupun begitu, tidak ramai yang menyedari Iran juga memiliki keunikan budaya apabila kerajaannya mewartakan sebuah pulau iaitu Pulau Arezou sebagai tempat khusus untuk wanita melakukan aktiviti air pada tahun 2007.

Ini sekali gus memberi peluang kepada kaum Hawa untuk bersantai, beriadah dan bermain ski. Idea berkenaan muncul berikutan wanita Iran sukar untuk mandi-manda di laut walaupun memakai pakaian mandi yang menutup aurat.

Idea itu disokong sepenuhnya oleh Pemimpin Agung Iran, Ayatullah Ali Khamenei. Sebelum ini, terdapat beberapa taman awam di sekitar Iran yang dibina khusus untuk wanita.

Selain itu, Pulau Kish yang terletak bersebelahan Pulau Arezou turut dikhususkan untuk golongan tersebut. Pulau Kish terkenal sebagai lokasi eksklusif untuk aktiviti beli-belah, penginapan hotel mewah dan taman laut.

Pulau Arezou yang bermaksud harapan, terletak di Tasik Oroumiyeh yang memiliki 100 buah pulau. Tasik Oroumiyeh ialah tasik terbesar di Asia Barat dan telah diwartakan sebagai Taman Negara oleh Teheran.

Tiada hidupan akuatik di dalam tasik yang bersempadan dengan Turki itu berikutan tahap kemasinan airnya yang terlalu tinggi.

Tasik ini juga semakin mengecil kerana faktor ketidakstabilan cuaca dunia.

Wanita Iran juga terdedah dengan arus pemodenan semasa.

Kemudahan yang disediakan di Pulau Arezou cukup lengkap meliputi pengangkutan, restoran dan klinik dengan semua kakitangannya adalah wanita.

"Pulau Arezou akan dijadikan pulau khas untuk wanita," kata pegawai wilayah Azerbaijan Barat, yang hanya dikenali sebagai Aghai kepada akhbar Teheran Emrouz.

Menurutnya, tiada lelaki di pulau itu dan ia merupakan tempat pertama seumpamanya di negara ini dan mungkin juga di dunia.

"Ia diharap akan meningkatkan sektor pelancongan di kawasan itu yang sememangnya terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna. Selain itu, ini menunjukkan penghargaan Iran terhadap kaum wanita," katanya.

Ujarnya lagi, inisiatif pulau bebas lelaki itu tidak bertentangan dengan undang-undang syariah negara itu.

"Malah, pemimpin negara sendiri bersetuju dan majoriti rakyat menyokongnya," tambah lelaki itu.

Di bawah Kod Islam Iran, pendedahan aurat wanita kepada lelaki bukan muhrim dilarang sama sekali.

Kemudahan kios turut disediakan di Pulau Arezou dengan pengunjung wanita yang ingin memesan air minuman bersantai di kerusi di tepi pantai. Mereka juga bebas membuka tudung dan jubah mereka.

-Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon