Tuesday, May 21, 2013

Adakah Anda Termasuk Dalam Golongan Cerdik atau Sebaliknya?


Allah telah menjadikan kemampuan tenaga manusia, sama ada tenaga lahirnya mahupun tenaga batinnya tidak sama di antara satu sama lain. Ini sudah tentu mempunyai hikmah yang tersirat; yang kebaikannya pasti kembali kepada manusia itu sendiri.


Sama ada untuk kebaikan individu mahupun masyarakat umum. Kita tidak memahami apa maksud sebenar Allah melakukan demikian itu.

Sebagai hamba, kita hanya meyakini pasti ada hikmah yang tersirat  di atas kehendak-kehendak atau ketentuan Allah Yang Maha berkuasa itu.

Di sini saya tidak akan memperkatakan tentang tenaga lahir; kerana tenaga lahir manusia mudah disaksikan dan mudah pula difahami oleh kebanyakan manusia.

Umpamanya kita boleh lihat manusia mengangkat berat, boleh menumpas lawan, boleh mengalahkan musuh, boleh membelah bumi, boleh melompat tinggi, berlari laju, berenang dan sebagainya.

Pada saya, semua itu mudah difahami oleh semua peringkat manusia. Tapi apa yang saya hendak perkatakan di sini ialah tentang perkara yang tidak mudah difahami oleh manusia umum iaitu tentang tenaga yang bersifat batiniah iaitu tenaga berfikir (IQ) manusia.

Secara umumnya daya pemikiran atau kemampuan fikiran yakni IQ (intelligent quotient) atau tahap kecerdikan manusia di dunia ini boleh dibahagikan kepada empat kategori:

Golongan IQ Luar Biasa


Golongan ini dikenali sebagai ahli fikir atau ahli falsafah iaitu yang mampu membuat teori atau pendapat-pendapat yang tersirat atau satu-satu kaedah yang belum diterokai oleh orang lain.

Atau dalam istilah bahasa Arab digelar  sebagai 'pembuat matan/sanad' atau kaedah-kaedah dalam sesuatu bidang ilmu; yang mana matan/sanad atau kaedah itu singkat tapi padat dan berkualiti tinggi; dapat dijadikan panduan (guideline) atau neraca dalam memahami satu-satu bidang ilmu.

Mereka ini di samping sangat mudah dan senang menangkap pandangan atau buah fikiran orang lain, mereka juga mempunyai idea atau buah fikiran sendiri.

Dalam ertikata lain, mereka mampu untuk membuat teori atau pendapat ciptaannya sendiri dan mampu pula menyampaikannya ke tengah masyarakat atau khalayak ramai atau kelompok umat.

Yang mana pendapat, teori dan matannya tadi sangat berlainan dengan pendapat atau teori atau matan/sanad daripada orang lain.

Kemampuan (fikirannya (IQ) yang luar biasa yakni dapat memahami perkara-perkara atau persoalan-persoalan yang halus dan tersirat, yang seni dan mendalam berserta yang simbolik.

Ini adalah hasil kemampuan (fikirannya (IQ) mengkaji, menganalisa dan menyelidik perkara-perkara yang tidak dapat difikir atau terfikir oleh manusia-manusia lain.

Kelebihan mereka selain mampu membuat teori atau kaedah matan/sanad, boleh pula menghurai dan menyampaikannya kepada orang lain.

Golongan yang memiliki daya fikiran yang luar biasa ini mungkin wujud hanya dalam 1-2 orang sahaja dalam kalangan kelompok umat, dalam tempoh 10 atau 20 tahun.

Oleh itu, mereka ini menjadi  tersangat penting kepada umat manusia. Kerana pada mereka ini ada sumber pengetahuan atau kaedah baru atau jalan keluar daripada masalah yang timbul dan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

Contoh yang terkenal dalam sejarah seperti ahli falsafah Barat iaitu Aristotle, Plato, Socrates dan ahli ilmuan Islam atau ulama'-ulama' muktabar seperti para mujaddid, Imam mujtahidin, Imam mazhab yang empat (Imam Maliki, Imam Syafi'ie, Imam Hanafi dan Imam Hambali), Imam Al-Ghazali, Imam As-Sayuti, Abu Hassan Al-Asya'ari dan di zaman moden ini iaitu As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

Golongan IQ Cerdik Biasa


Golongan ini tidak dapat membuat teori, matan, pandangan-pandangan atau kaedah sendiri. Kelebihan mereka yang menonjol ialah mudah memahami dan kuat mengingati pendapat atau pandangan orang lain.

Di samping itu, mereka boleh menyampaikan dan mengulas pandangan orang lain hingga dapat difahami oleh orang lain pula akan sesuatu ilmu atau sesuatu teori yang datang daripada golongan yang pertama.

Dalam menghurai, mengulas adakalanya mereka boleh membahagikan matan/sanad atau buah fikiran atau boleh mengkategorikan ilmu yang diterokai oleh golongan yang pertama.

Mereka cekap, bijak dan cantik mempersembahkannya ke tengah masyarakat supaya mudah difahami.

Golongan ini agak ramai dan boleh dinamakan golongan 'tukang syarah' di atas matan/sanad atau teori atau kaedah yang dicetuskan oleh golongan pertama (ahli-ahli fikir) dan boleh pula menghuraikan kehendak-kehendaknya yang sebenar.

Misalnya, mengkaji dan menelaah suatu bidang ilmu milik dan kemudiannya menghuraikan serta membahaskan mengikut kaedah dan kefahaman tersendiri dalam bentuk acuan golongan kedua ini.

Tidak ramai yang mampu mencapai tahap golongan yang kedua ini tetapi mereka lebih ramai daripada golongan yang pertama tadi.

Mungkin dalam seribu orang itu hanya ada lima orang sahaja yang tergolong dalam golongan kedua ini.

Golongan IQ Sederhana


Golongan ketiga ini terdiri daripada mereka yang mempunyai IQ yang mudah memahami ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh orang lain.

Mereka hanya sekadar boleh memahami untuk dirinya sendiri tapi tidak dapat menghuraikan atau menyampaikannya kepada orang lain dengan tepat. Kebanyakan manusia adalah pada tahap IQ sebegini.

Golongan IQ Lemah


Golongan keempat ini ialah mereka yang sukar untuk memahami apa-apa yang disampaikan oleh orang lain, lebih-lebih lagi untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Kalau benarlah mereka boleh faham, hanyalah dalam perkara-perkara atau hal-hal yang mudah atau yang terlalu senang dan tanpa menggunakan fikiran.

Mereka lebih mudah memahami apa yang dilihat oleh mata sahaja.

Oleh kerana lemahnya mereka berfikir, apabila ada perkara-perkara berat yang memerlukannya untuk berfikir, maka mereka tidak dapat menangkapnya dengan begitu jelas.

Fikiran mereka berada pada tahap samar-samar iaitu kelam dan kusut.

Anda termasuk dalam golongan yang mana satu?

BACA INI JUGA: Creative Questioning, Cara Kami Rangsang Anak Berfikir Secara Kreatif!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon