Friday, May 31, 2013

Adakah Anda Memiliki Tabiat Pelik Tanpa Di Sedari?


Pernahkah anda terfikir kadang-kadang ada sesetengah benda yang kita lakukan sebenarnya pelik, atau dalam kata yang lebih mudah difahami iaitu tabiat aneh.


Tabiat merujuk kepada tingkah laku manusia. Tabiat aneh bermaksud kelakuan pelik dilakukan seseorang yang sama sekali menyimpang daripada kehidupan normal dan selalunya ia membabitkan perlakuan luar biasa. Manusia sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri dari segi penampilan, tingkah laku dan tabiat. Jadi apakah tabiat pelik manusia sering lakukan yang mungkin anda sendiri tidak sedar?

Penulis pasti setiap seorang daripada kita mempunyai tabiat pelik tersendiri. Sama ada sedar atau tidak, ia wujud dalam kehidupan seharian. Tapi kebiasaannya, sesiapa yang mempunyai tabiat aneh tidak akan sedar apabila dia sedang lakukan sesuatu perkara itu. Namun ada juga yang sedar apabila membabitkan tingkah laku di hadapan orang ramai.

Contoh aneh-aneh

Jika anda sedar, ada individu dalam kalangan kita bersangkut-paut dengan tabiat aneh. Ada sebilangan yang mementingkan kebersihan secara terlampau. Contohnya, setiap kali sebelum duduk, dia pasti akan mengelap kerusi bersungguh-sungguh walaupun keadaan kerusi bukannya kotor. Kalau perihal makan, dia akan pastikan apa yang dimakan sangat bersih hinggakan sebelum makan anggur pun dia sanggup mengelap setiap butir anggur satu persatu dengan tisu.

Selain itu ada juga segelintir manusia yang tidak kisah untuk memakai pakaian yang baru keluar dari tempat pengering. Mungkin disebabkan mereka gemar pakai pakaian lembap atau tidak mempunyai pilihan baju lain, itu persoalannya.

Ada golongan yang gemarkan bau-bauan. Contoh­nya, suka mencium bau buku dan perabot baru dibeli hingga melekat menjadi tabiat sampai ke tua. Lebih luar biasa apabila ada yang tidak boleh mencium bau minuman contohnya susu, susun baju di dalam almari mengikut warna dan parkir kereta di tempat sama setiap hari antara kelakuan pelik yang wujud di sekeliling kita.

Cara tersendiri

Kelakuan ganjil ini secara tidak langsung menjadikan individu itu berperwatakan unik. Lain kisahnya jika tabiat itu membabitkan perkara yang terlarang. Tapi bagi penulis, ia seolah-olah membentuk identiti kita sendiri tanpa sedar.

Mungkin sesetengah perlakuan aneh itu melecehkan dan mungkin juga menyenangkan. Kita boleh berkongsi dan bertukar pendapat mengenai hal ini dan tak mustahil ia boleh dijadikan bahan gurauan sekiranya membabitkan perkara lucu.

Tak kisah apa juga jenis tabiat, Allah SWT menjadikan kita berbeza untuk melengkapi antara satu sama lain. Setiap individu memiliki keistimewaannya tersendiri sekali gus menjadikan kita berlainan antara satu sama lain.

Tabiat kekal

Setiap manusia ada tabiat unik. Sama ada dari segi perbuatan, percakapan ataupun fizikal seseorang, wujud antaranya. Tidak keterlaluan jika dikatakan tabiat ini ibarat identiti seseorang, Jadinya, tidak mustahil ia akan kekal hingga ke akhir hayat.

Bagaimanapun, kita boleh mengikis tabiat sekiranya nekad untuk melakukannya. Jika anda rasakan tabiat unik anda itu tidak comel? Perlahan-lahan untuk belajar menghilangkannya. Dan jika difikirkan tabiat itu menampakkan anda macho sekali gus, kekalkanlah hingga ke usia tua.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon