Monday, April 15, 2013

Video Parodi Semakin Menjadi Kegilaan Ramai


Sana sini, orang sibuk memperkatakan mengenai video parodi yang semakin menjadi kegilaan ramai. Parodi membawa maksud karya sastera, seni yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yang melucukan atau menyindir.


Di laman perkongsian video, YouTube, terutamanya di kalangan remaja, mereka semakin ghairah mencipta video parodi masing-masing.

Malah, video lagu, Sayang, nyanyian Shae turut menjadi sebahagian daripada video parodi pilihan.

Bukan sahaja menerusi rancangan popular, MeleTOP, lakonan Jihan dan Azrul, malah kehadiran lelaki yang dikenali sebagai Bobo, nyata menjadikan video ini mendapat perhatian umum.

Berjaya meraih hampir 1 juta tontonan, gelagat Bobo dalam video itu turut ditiru pelawak, Johan Raja Lawak, menerusi majlis berprestij, Anugerah Bintang Popular (ABP), baru-baru ini.

Hakikatnya, penghasilan parodi ini bukanlah perkara baru dalam industri hiburan, malah kehadiran Cikgu Shida dengan beberapa video 'miming' pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu.

Begitu juga dengan duo, Belacan dan Paku (BP), yang meraih populariti hampir 500,000 tontonan menerusi video parodi sempena hari raya.

Namun, apa pula pandangan orang industri dalam fenomena ini? Adakah ianya hanya berbentuk hiburan semata-mata ataupun boleh membawa impak negatif?

Bagi pengacara, pelakon dan juga pakar motivasi, Datuk Dr Fazley Yaakob, beliau melihat isu tersebut dari dua sudut berbeza. Mengakui fenomena parodi semakin mendapat perhatian masyarakat, Fazley berkata, jika hanya sekadar tujuan hiburan, ia tidak mendatangkan kesalahan.

"Parodi ini merujuk kepada dua impak. Selain daripada untuk tujuan keseronokan, ia juga digunakan sebagai medan untuk menjatuhkan maruah seseorang.

"Jika ianya sekadar tarian, nyanyian atau bentuk hiburan lain, ia tidak mengapa. Namun, jika parodi itu turut mengheret orang-orang berpengaruh dan ahli politik, ia agak keterlaluan.

"Saya ada menonton beberapa video parodi hiburan dan isu semasa. Daripada situ, saya boleh lihat, parodi mampu mengganggu kesejahteraan masyarakat jika ia disalah gunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, bagi Presiden Seniman, Zed Zaidi, video parodi yang menjadi kegilaan ramai hanyalah sekadar hiburan ringan dan cara untuk menghilangkan stres.

Katanya, selagi ia tidak mendatangkan keburukan atau menyentuh soal sensitiviti kaum dan agama, ia masih boleh dijadikan bahan hiburan.

"Sebagai contoh, saya juga sering menonton video parodi di YouTube. Ada kalanya, jika kita tension, cara ini mungkin boleh buat kita lupa seketika mengenai masalah yang berlaku.

"Namun, tidak bermaksud kita boleh bergelak ketawa dengan video yang mungkin boleh membawa keburukan.

"Setakat ini, saya rasa, tiada lagi video parodi tempatan yang boleh mendatangkan kemudaratan dalam industri seni. Ia hanyalah hiburan semata-mata," katanya.

-Sinarharian


1 comment

  1. HUMMM BAIK LAYAN VIDEO ILMIAH MACAM NI http://datoksirkronik.blogspot.my/2016/12/video-pilihan.html

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon