Friday, April 05, 2013

Tevez Didapati Bersalah Memandu Tanpa Lesen!


Penyerang kelab bola sepak Manchester City, Carlos Tevez diarahkan untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama 250 jam.

Tevez (berbaju cerah) meninggalkan Mahkamah 
Majistret Macclesfield dekat Manchester semalam.

Dia dihukum melakukan kerja-kerja itu selepas Tevez mengaku bersalah semalam kerana memandu dengan menggunakan lesen yang digantung dan tanpa insurans.

Pemain pasukan kebangsaan Argentina itu turut menerima hukuman dilarang memandu selama enam bulan.

Dia juga diarah membayar kos mahkamah sebanyak AS$1,730 (RM5,330) selepas membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret Macclesfield dekat Manchester.

"Anda (Tevez) perlu sedar bahawa anda menjadi contoh kepada ribuan orang jika tidak berjuta-juta orang peminat.

"Bagaimanapun, tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang," kata Majistret Elizabeth Depares.

Tevez yang berusia 29 tahun ditahan polis semasa dia memandu sebuah kereta sport dekat rumahnya pada 7 Mac lalu.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari sebuah kelab golf.

"Saya tinggal tidak jauh dari sini. Dua minit sahaja (pemanduan ke rumahnya)," katanya kepada anggota polis yang menahannya.

Tevez yang bermain di England sejak tahun 2006 masih tidak mempunyai lesen memandu kerana dia tidak lulus ujian teori pemanduan dalam bahasa Inggeris.

-AP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon