Tuesday, April 30, 2013

Peter Schmeichel Bakal Menjadi Pengurus Manchester United?


Penjaga gol legenda Manchester United (MU) Peter Schmeichel yang kini menjadi duta pasukan itu mahu kembali semula kepada sukan itu pada masa yang sesuai -- kali ini sebagai pengurus.


"Saya tidak mahu mengurus sebuah kelab untuk seketika. Jika diberi peluang dengan adanya pengerusi yang sesuai, pemilik dan pembiayaan, saya suka untuk kembali ke bola sepak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Maybank Manchester United Visa Infinite Card' di sini hari ini.

Schmeichel, 49, yang dipilih sebagai penjaga gol terbaik dunia pada 1992 dan 1993, memainkan peranan penting dalam membantu MU memenangi gelaran treble - Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA pada 1999.

Beliau juga mempunyai peranan dalam memujuk penyerang kelab Borussia Dortmund, Robert Lewandowski menyertai MU musim depan selepas pemain itu mengejutkan dunia bola sepak dengan menjaringkan empat gol menentang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada separuh akhir pertama Piala Juara-Juara Eropoh, Rabu lepas.

"Selain Lewandowski, saya harap pengurus United, Sir Alex Ferguson akan mengikat pemain sayap Tottenham Hotspurs, Gareth Bale dan menjangka Christiano Ronaldo kembali ke Old Trafford.

"Mereka adalah pemain hebat dan ia akan menjadi impian untuk mendapatkan mereka bermain untuk MU. Saya yakin mengikat mereka," katanya.

Schmeichel, yang menjangka Jose Mourinho yang bergelar 'The Special One' (kini jurulatih Real Madrid) kembali ke Chelsea, berkata menjuarai Liga Perdana musim depan akan lebih mencabar bagi MU.

"Kami mahu menyamai rekod Liverpool yang menjuarai Liga Juara sebanyak lima kali," katanya.

Schmeichel meninggalkan MU pada 1999 untuk menyertai kelab Lisbon Sporting dan kemudian mewakili Aston Villa dan Manchester City sebelum bersara pada 2003.

Pada 2003, Schmeichel disenaraikan dalam 'English Football Hall of Fame' atas impaknya dalam dunia sukan bola sepak Inggeris dan pada Mac 2004, beliau dinamakan sebagai salah satu daripada 125 pemain legenda bola sepak yang masih hidup sempena sambutan 100 Tahun FIFA.

Anak beliau, Kasper, yang juga penjaga gol, bermain untuk kelab Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

-Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon