Thursday, April 25, 2013

Pengebom Profesional Sabotaj BN


Kejadian letupan di lokasi Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal di Taman Jawi dekat sini malam kelmarin sehingga mencederakan seorang petugas jentera pilihan raya BN, dilakukan oleh orang yang profesional berdasarkan cara ia dihasilkan.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian pukul 10.15 itu dipercayai menggunakan campuran peledak bagi menghasilkan letupan kuat bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Menurut beliau, Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia yang memeriksa tempat kejadian menemui bahan letupan buatan atau IED (improvised explosive device) di longgokan sampah yang terletak 10 meter di belakang pentas utama.

"Polis turut menemui satu lagi bahan letupan yang sama diletakkan di dalam kotak di sekitar kawasan ceramah pada pukul 2 pagi dan berjaya dimusnahkan sejam kemudian.

"Kita percaya suspek telah meletakkan alat mengawal masa agar meletup ketika ceramah berlangsung berdasarkan penemuan wayar yang dipercayai disambung dengan bahan letupan," katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan ke lokasi kejadian semalam.

Dalam kejadian tersebut, satu letupan kuat berlaku di kawasan longgokan sampah di belakang pentas utama sehingga menyebabkan seorang petugas parti, Zaidi Ramli, 35, cedera di kaki kanan terkena serpihan paip plastik daripada longgokan sampah berkenaan.

Letupan yang memeranjatkan kira-kira 3,000 penyokong BN itu berlaku ketika Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan sedang berucap.

Berikutan itu, polis menubuhkan pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlah Kesah bagi menjalankan siasatan.

-Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon