Thursday, April 25, 2013

Luis Suarez Perlu Masa Setahun Kawal Kemarahan


Luis Suarez menunjukkan tanda klasik pemain yang memerlukan bimbingan untuk mengawal emosi, demikian menurut seorang pakar yang pernah membantu Wayne Rooney dan David Beckham mengatasi pergolakan dalaman.


Begitupun, pengarah latihan di Steppingstones UK, Jeannie Horsfield, turut memberi amaran bahawa penyerang Liverpool itu memerlukan setahun untuk menguasai kemarahan yang mendorongnya menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic di Anfield Ahad lalu.

Insiden terkini kegagalan Suarez mengawal diri menyebabkannya didenda £300,000 (RM1.39 juta) oleh kelab­nya dan penggantungan yang panjang daripada Persatuan Bolasepak Inggeris dijangka menyusul.

Dia turut ditawarkan prog­ram mengawal emosi oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional untuk mengelak perlakuan serupa yang turut membabitkan menggigit dan memukul pemain lawan selain mengeluarkan kecaman berbentuk perkauman kepada pemain Manchester United, Patrice Evra.

Jeannie, yang mula bekerjasama dengan Rooney tidak lama selepas dia menyertai United juga pernah menasihati Beckham selepas dia dilayangkan kad merah di Piala Dunia 1998 dan memberitahu Suarez menunjukkan karakter seseorang yang perlukan pertolongan.

“Tanda itu ditunjukkan di padang Ahad lalu dan ketika pergaduhan dengan Evra pada 2011, komen berbentuk perkauman. Itu adalah tanda yang cukup jelas.

“Mempamerkan tahap kemarahan seperti itu apabila seseorang menjadi agresif dan menggigit seseorang, ia menunjukkan ada perkara yang belum selesai.

“Apabila sikap liar dan agresif ditunjukkan, selalunya ia sukar dikawal.

“Melainkan jika mereka diserang secara fizikal dan perlu mempertahankan diri, ia cenderung untuk berada dalam apa yang kita panggil kemarahan terpendam.”

Jeannie, kaunselor sudah bekerjasama dengan ramai atlet daripada pelbagai sukan sejak 1990-an dan juga perunding bersekutu untuk Interaction UK.

Beliau percaya masa tiga bulan diperlukan untuk mengesan dan menangani apa yang menyebabkan seseorang itu hilang kawalan manakala penguasaan teknik akan mengambil masa lebih lama.

“Ia bergantung kepada individu, kesediaan untuk melihat sesuatu dan membuat perubahan.

“Ia juga boleh mengambil masa enam hingga 12 bulan. Ia bergantung kepada individu.

“Selalunya saya berdepan dengan mereka yang amat berjaya tetapi mempunyai isu de­ngan tekanan dan kemarahan, mereka bermula dengan prog­ram latihan selama 12 ming­gu, biasanya secara bersemuka.

“Kemudiannya ia akan berlanjutan hingga lebih setahun jadi mereka boleh datang kembali apabila ia berulang dan memerlukan beberapa sesi untuk kembali ke landasan sebenar.”

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon