Tuesday, April 02, 2013

Korea Selatan Negara kedua Terkaya Di Dunia?


Tahukah anda pada tahun 1950, Korea Selatan hanyalah sebuah negara miskin. Ekonomi negara ini ketika itu berasaskan pertanian dan berhadapan krisis kesan peperangan. Namun dalam empat dekad, Korea Selatan kini dikenali sebagai salah sebuah negara paling kaya dan tercanggih di dunia.

Hyundai Genesis

Goldman Sachs meramalkan Korea Selatan akan menjadi negara kedua terkaya di dunia pada 2050.

Negara ini juga sudah tercatat sebagai yang mengalami pertumbuhan ekonomi terpantas dalam sejarah dunia.

Apakah rahsia yang memungkinkan Korea Selatan bangkit menjadi antara negara termaju di dunia? Jawapannya, adalah kebangkitan manusia unggul yang lahir daripada pencapaian ilmu dan teknologi tinggi.

Negara ini berjaya membentuk sistem pendidikan antara terbaik di dunia. Pelbagai usaha dilakukan bagi menaik taraf universiti-universitinya setanding universiti terkemuka dunia terutama dalam pembangunan sains dan teknologi. Rakyatnya juga digalakkan belajar di universiti terkenal seperti Harvard, Princeton dan MIT bagi melahirkan golongan bijak pandai yang membantu kebangkitan kuasa Korea.

Tidak salahlah di bawah Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 lagi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih Korea Selatan di samping Jepun sebagai negara yang patut dicontohi.

Di Amerika, kereta Hyundai sudah lama dikenali tetapi hanya dianggap sebagai kenderaan murahan. Amerika menganggap kualiti Hyundai tidak terlalu bagus dan dijual dengan harga yang murah. Jadi, tidak hairanlah pembelinya ketika itu hanyalah golongan berpendapatan rendah. Itulah Hyundai di mata orang Amerika satu ketika dulu. Sehinggalah keluaran kereta Hyundai terbaru pada 2009, Hyundai Genesis, berhasil memenangi penghargaan automobil paling berpengaruh Amerika..

Sebelum ini, anugerah ini hanya dimenangi oleh syarikat automobil terkenal dunia seperti Toyota, Honda, Ford dan BMW.

Keunggulan Hyundai Genesis akhirnya membuka mata dunia sehingga industri automobil Korea meningkat naik.

Hyundai juga menjadi perusahaan automobil kelima terbesar dunia.

Samsung dan LG adalah jenama dari Korea yang telah menguasai dunia. Samsung kini antara pengeluar telefon pintar terbesar dunia. Galaxy S3 dan Galaxy Note 2 antara telefon pintar Samsung yang memberi sumbangan terbesar kepada keuntungan jenama itu sepanjang 2012.


Berdasarkan data antarabangsa, penganalisis percaya Samsung berjaya menjual 63 juta unit telefon pintarnya pada suku terakhir tahun lalu.

Pengeluar barangan elektronik, LG kini dikenali sebagai pengeluar televisyen plasma terbesar di dunia. Rekaannya yang kemas dan sofistikated sesuai untuk kehidupan urban masa kini.

Produk-produk Samsung dan LG ternyata berjuang berhabis-habisan untuk menembusi pasaran dunia demi kemajuan bangsa Korea.

Korea juga telah menjadi negara termaju di dunia dari segi infrastruktur teknologi. Sejak tahun 2000, seluruh masyarakat Korea telah menikmati jaringan Internet dengan kepantasan terbaik, siaran televisyen interaktif berdefinisi tinggi (HD) dan teknologi komunikasi 4G.


Korea berjaya mengembangkan industri-industri masa depan seperti nanoteknologi, bioteknologi, teknologi informasi, robotik dan teknologi ruang angkasa. Dalam pada itu, Korea mempunyai robot manusia (humanoid) kedua di dunia yang dikenali sebagai HUBO iaitu robot berkepala Einstein. Korea juga dijangka mencapai status ‘bangsa pengguna robot terbesar dunia’ pada 2025.

-Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon