Monday, April 08, 2013

Kejam! Suami Isteri Bakar Enam Anak Sendiri Demi Wang


Sepasang suami-isteri dijatuhi hukuman penjara yang panjang apabila mahkamah mendapati mereka bertanggungjawab di atas kematian enam orang anak mereka yang masih kecil dalam satu kebakaran yang disengajakan demi untuk mencari helah menuntut wang ehsan daripada Jabatan Kebajikan.


Mick Philpott, 56, dihukum penjara seumur hidup manakala isterinya, Mairead, 32, pula dipenjarakan 17 tahun kerana membunuh tanpa niat dalam satu kes yang mengoncang sistem kebajikan Britain.

Hakim Kathryn Thirlwall dalam penghakimannya berkata yang Mick Philpott adalah seorang yang terganggu dan sangat berbahaya kepada masyarakat.

"Awak bukan sahaja berbahaya malah tidak ada kompas moral sama sekali," tegasnya di dalam mahkamah yang sesak.

Seorang lagi rakan mereka Paul Mosley, yang terlibat melakukan hubungan seks dengan isteri Philpott di hadapannya turut dihukum penjara 17 tahun atas pertuduhan yang sama.

Philpott dimaklumkan yang dia akan kekal berada di dalam penjara sekurang-kurangnya selama 15 tahun manakala isterinya dan Mosley sekurang-kurangnya lapan setengah tahun.

Dalam kejadian yang berlaku di kediaman mereka di Derby, tengah England, pada 11 Mei tahun lalu, ketiga-tiga mereka berpakat untuk membakar rumah tersebut selepas keenam-enam kanak-kanak malang yang berumur antara lima hingga 13 tahun itu tidur.

Mereka berkomplot demikian pertama untuk membalas dendam ke atas bekas teman wanita Philpott yang sebelum itu berkongsi rumah dengan mereka tetapi melarikan diri bersama-sama lima lagi anak Philpott hasil perhubungan dengan teman wanitanya itu.

Rancangan mereka ialah untuk menuduh wanita itu bertanggungjawab membakar rumah berkenaan.

Dalam rancangan jahat itu juga, Philpott sepatutnya dengan segera berlari ke tingkat atas untuk menyelamatkan anak-anaknya yang masih kecil itu.

Malangnya, rancangan bodoh mereka itu memakan diri apabila api marak dengan begitu pantas dan akhirnya Philpott gagal menyelamatkan walau seorang pun anak-anaknya itu.

Sebelum mereka melakukan rancangan tersebut, ketiga-tiga tertuduh terlebih dahulu melakukan hubungan seks di atas meja billiard yang terletak di ruang tamu rumah Philpott.

Rancangan kedua mereka ialah dengan memusnahkan rumah tersebut, Philpott dan isterinya berhasrat untuk menuntut kediaman yang lebih besar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertanggungjawab menyediakan rumah kepada pasangan kelamin yang mempunyai anak yang ramai.

Philpott mempunyai 17 orang anak bersama lima wanita yang berlainan termasuk anak-anak luar nikah bersama teman wanitanya.

Pasangan berkenaan kelihatan menangis teresak-esak selepas hukuman dibacakan ke atas mereka.

Tetapi kemudiannya mereka menunjukkan tanda lucah sambil mengukir senyuman ke arah orang ramai yang menjerit "pembunuh kanak-kanak" ketika dibawa keluar dari mahkamah.

Malah ahli keluarganya sendiri menepuk tangan sebaik sahaja hakim membacakan hukuman penjara seumur hidup ke atas Philpott.

Pendedahan mengenai gaya hidup Philpott sepanjang perbicaraan kesnya membuka mata ramai mengenai kepincangan sistem kebajikan Britain yang menanggung kehidupan seorang manipulator sepertinya.

Hakim Thirlwall berkata, plot jahat Philpott adalah di luar pemikiran manusia yang waras dan yang menjadi mangsa adalah enam kanak-kanak yang tidak berdosa.

-Sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon