Friday, April 26, 2013

Keajaiban Kumbang Manfaatkan Galaksi Bima Sakti Sebagai Kompas


Menurut penemuan terbaru seperti yang dilaporkan dalam laman sesawang sciencedaily dan beberapa laman sains yang lain, kumbang najis mempunyai keupayaan memanfaatkan galaksi Bima Sakti sebagai kompas atau penunjuk arah.


Mata spesis kumbang najis ini walaupun lemah, menurut saintis yang membuat kajian ke atasnya mendapati ia memiliki kemampuan untuk membezakan cahaya gelap dan terang yang diamati pada galaksi Bima Sakti.

Dengan mengikuti arah cahaya tersebut, serangga ini dapat memastikan bahawa ia terus bergerak ke hadapan dan bukan mengundur ke belakang bagi mengelakkanya bertembung dengan pesaing dalam kelompok yang sama ketika aktiviti menggolek najis di tanah.

Menurut Profesor Marcus Byrne dari Wits University, Johannesberg, “Spesis kumbang ini tidak mempedulikan arah mana ia bergerak, asalkan dapat melepaskan diri dari dan bertembung dengan pesaingnya”.

Byrne sebelum itu bersama ahli kumpulan penyelidikannya telah membuktikan bahawa kumbang najis menggunakan petunjuk arah matahari, bulan dan cahaya pengutuban sebagai orientasi untuk bergerak.

Byrne juga melaporkan penemuan menarik mengenai kumbang najis setelah melakukan eksperimen di Planetarium Wits, menggunakan simulasi objek-objek langit di waktu malam.

Beliau menyedari bahawa cahaya dari galaksi Bima Sakti adalah sumber cahaya terbaik setakat ini bagi kumbang tersebut sebagai penunjuk arah.

Menurutnya lagi, walaupun cahaya tersebut sangat berguna, tidak semua sumber cahaya dapat dimanfaatkan. Objek-objek di angkasa dijadikan panduan kerana kedudukannya yang relatif tidak bergerak menurut apa yang dilihat oleh kumbang najis dan membantunya untuk bergerak lurus.

Menurut penemuan yang dilaporkan, spesis kumbang ini melihat sumber cahaya yang paling utama sebagai rujukan. Sekiranya cahaya dari galaksi Bima Sakti dan bulan kelihatan, ia akan memilih salah satu antara dua sumber cahaya tersebut.

Banyak kajian yang dilakukan sebelum ini membuktikan bahawa haiwan-haiwan lain merujuk kepada bintang sebagai panduan arah.

Namun penemuan terbaru menunjukkan bahawa kumbang najis adalah serangga pertama menggunakan sumber cahaya dari galaksi.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon