Sunday, April 21, 2013

Jose Mourinho Kembali Ke Chelsea?


Jose Mourinho mengakui bakal meninggalkan Real Madrid penghujung musim ini sambil tidak menolak kemungkinan kembali semula ke pangkuan kelab lamanya, Chelsea.


Jurulatih yang terkenal dengan gelaran 'The Special One' itu membuat pengakuan tersebut ketika mesyuarat bersama jurulatih skuad anaknya, Canillas semalam.

Sebelum ini, Presiden Real, Florentino Perez dilaporkan bersetuju membenarkan Mourinho meninggalkan Santiago Bernabeu sebaik musim ini berakhir.

Pengerusi Canillas, Manuel Alvarez ketika mendedahkan perkara itu berkata: "Mourinho memberitahu kami yang beliau tidak boleh menghadiri mesyuarat skuad anaknya itu musim depan kerana berkemungkinan besar tidak lagi berada di sini.

"Beliau juga memberitahu kami bahawa beliau sangat kagum melihat gambarnya yang tergantung di Stamford Bridge.

"Sudah tentu ia satu kerugian yang cukup besar buat bola sepak Sepanyol jika Mourinho pergi meninggalkan Real.

"Saya harap Perez dapat melakukan sesuatu bagi menghalang penghijrahan Mourinho," kata Alvarez.

Meskipun pernah bertelagah dengan pemilik The Blues, Roman Abra- movich, Mourinho kekal menjadi calon pilihan untuk mengemudi kelab London itu.

Selain dilaporkan bakal menerima gaji £12 juta (RM55.5 juta) setahun, Mourinho juga dikatakan mahu Frank Lampard kekal bersama kelab itu.

Hubungan Mourinho dengan beberapa pemain Real termasuk kapten, Iker Casillas juga dilaporkan semakin dingin, sekali gus memperkuatkan spekulasi yang beliau akan berhijrah.

-Agensi


Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon