Tuesday, March 05, 2013

Terkini - Masih Ada Tentangan Dari Pihak Musuh Selepas Serangan


Pasukan keselamatan telah melancarkan tindakan ‘offensive’ terhadap kumpulan pengganas yang bertapak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada jam 7.00 pagi tadi. Operasi ini dilaksanakan oleh PDRM bersama pihak ATM.


Sejak operasi ini dimulakan sehingga kini, masih terdapat tentangan dalam bentuk beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh. 

Ketika ini ‘mopping up’ dan penggeledahan sedang dijalankan. Bagaimanapun, jumlah kematian dan kecederaan di pihak musuh masih belum dapat disahkan dan setakat ini tidak ada kemalangan di pihak pasukan keselamatan.

Oleh itu semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat andaian atau spekulasi tentang sebarang kehilangan nyawa memandangkan operasi ini masih lagi berjalan. Berita-berita yang tidak tepat boleh menjejaskan operasi ini.

Orang ramai tidak perlu bimbang kerana operasi ini hanya dilancarkan di Kampung Tanduo sahaja. Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak masuk ke kawasan operasi dan seterusnya menerima arahan dan mematuhi nasihat pihak polis yang bertugas di sekatan jalanraya yang menghala ke Kampung Tanduo.

Pihak keselamatan telah melancarkan serangan ofensif di kawasan seluas 10 kilometer persegi di daerah ini dengan pengkhususannya di kawasan sekitar empat kilometer persegi iaitu di Kampung Tanduo.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya amat positif terhadap serangan yang dijalankan dan setakat ini tidak ada orang awam di kawasan tersebut.

"Kita perlu mempertahankan keselamatan negara setelah pihak keselamatan diserang sebanyak dua kali dalam tempoh beberapa hari lalu," katanya.

Beliau juga mengesahkan tiada kehilangan nyawa bagi pihak pasukan keselamatan negara manakala jumlah kumpulan penceroboh yang terbunuh atau tercedera belum dapat dipastikan.

"Kita sudah memberi amaran banyak kali kepada kumpulan penceroboh dan meminta mereka meletakkan senjata dan menyerah diri,''

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain berkata, operasi ofensif terhadap kumpulan penceroboh bersenjata api di Kampung Tanduo masih diteruskan.

Malah, katanya, sistem yang digunakan oleh pihak keselamatan juga tidak boleh didedahkan buat masa ini bagi menjamin keselamatan semua pihak.

"Sebelum memasuki kawasan serangan, kami amat positif tidak ada orang awam di kawasan yang diserang," katanya.

-SP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon